Jumaat, 6 March 2015 | 12:09am

Makna kebebasan, dari sastera kepada agama


NURAMIRAH Erfansul membaca buku Adab Dan Peradaban karya pengitirafan untuk Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang dilancarkan di Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

'DENGAN harapan kita dapat memperbetul keadaan, sesekali kita perlu kembali kepada asas kebenaran. Banyak perkara yang menuntut kebijaksanaan semua pihak, dari peringkat tertinggi dalam pemerintahan negara hingga ke kampung terpencil merentasi laut, gunung, lurah dan denai.'

Perenggan di atas membuka novel Semenanjung Menangis karya Ariff Mohamad yang diangkat antara 10 novel terbaik Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-BH pada tahun lalu, bergerak dari latar kemelut politik pada tahun 1998 yang mengubah landskap politik selepas itu.

Karya ini meskipun tidak memenangi tiga karya teratas sayembara terbabit, ia disifatkan Editor Dewan Sastera, Fadli al-Akiti dalam blognya, Kubu Buku, sebagai novel yang mempunyai ciri besar untuk menyampaikan wacana yang murni dan utuh dalam keadaan yang begitu genting lagi diperlukan sekarang.


EDITOR Dewan Sastera, Fadli al-Akiti. - Foto Nik Hariff Hassan

Kebetulan saya sedang membaca Semenanjung Menangis ketika timbul ungkapan yang tidak enak terhadap sastera dan pengarang yang dianggap tidak memberikan suara kepada golongan yang kononnya didiami serta dibisukan atau lebih tepat kepada kelompok yang dianggap menyeleweng dalam Islam, iaitu Syiah mahupun Ahmadiyah.

Suara untuk golongan salah

Pandangan itu sekiranya dilihat berdasarkan kerangka pluralisme dan penafsiran hak asasi Barat, sudah tentu ia mengesahkan keperluan untuk memberikan suara termasuk dalam bentuk kesusasteraan kepada golongan berkenaan, waima salah atau sesat pun mereka.

Pandangan seumpama itu bagaimanapun membawa masalah besar untuk ditegakkan kerana apakah nilai yang menentukan atau garis pemisah yang membezakan golongan `salah' yang berhak diberikan suara dengan kelompok 'salah' yang perlu dikekang?


BUKU pengikut ajaran Syiah yang dirampas pihak berkuasa. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Golongan orientasi seksual yang songsang terhadap kanak-kanak pada masa kini dianggap penjenayah, tetapi apakah jaminan ia tidak akan menjadi norma yang diterima dalam masyarakat?

Ia mungkin contoh yang ekstrem, tetapi tidak mustahil kerana gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang 50 tahun sebelum ini tidak diterima sepenuhnya, hatta dalam masyarakat Barat, tetapi selepas Revolusi Seksual di Amerika Syarikat pada dekad 1960-an penerimaannya memperlihatkan perubahan yang ketara termasuk hak berkahwin serta hak menjadi agamawan.

Begitu juga seks sebelum perkahwinan dalam masyarakat Barat pernah dianggap 'dosa' mungkin 50 hingga satu abad sebelum ini tetapi masyarakat pascamoden tidak lagi menganggapnya abnormal asalkan wujud persetujuan bersama.

Menggunakan kerangka pluralisme dan hak asasi Barat yang kemudian 'dipaksakan' pada negara yang berpegang kepada agama dan budaya ketimuran bukanlah hak atau kebenaran yang hakiki. Makna hak dalam pandangan Islam berbeza dengan hak yang difahami Barat.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan Anugerah Merdeka kepada Syed Muhammad Naquib (kiri) sambil diperhati Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Raja Dr Nazrin Shah (kini Sultan Nazrin Shah) pada Malam Anugerah Merdeka di Dewan Filharmonik Petronas, pada Disember 2012. - Foto Khairull Azry Bidin

Makna kebebasan, pandangan Islam

Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Magnum Opusnya, Prolegomena to the Metaphysics of Islam yang kemudian dipetik dan dihuraikan juga oleh Wan Azhar Wan Ahmad dalam buku Adab dan Peradaban sudah pun menjelaskan makna kebebasan yang berkait dengan istilah ikhtiar dalam bahasa Arab, iaitu keupayaan membuat pilihan.

Keupayaan pula memiliki akar kata 'khair' dalam bahasa Arab, iaitu baik yang juga makna kepada perkataan haqq atau hak dalam bahasa Melayu sehingga Wan Azhar menyimpulkan kebebasan dalam Islam ialah kebebasan yang selamanya untuk memilih sesuatu yang baik atau yang lebih baik, benar, betul, elok atau yang terbaik antara semua pilihan yang ada.

Bagi mereka yang pernah mengikuti pendidikan Islam sama ada syariah atau usuluddin, sudah tentu biasa dengan perbincangan apakah kebaikan itu ditentukan oleh akal sepenuhnya seperti yang dipegang golongan muktazilah atau oleh syaari', iaitu Allah seperti yang dipegang oleh ahli sunnah wal jamaah (ASWJ).


NURAMIRAH Erfansul membaca buku Adab Dan Peradaban karya pengitirafan untuk Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Kebaikan meskipun sebahagiannya boleh ditentukan oleh akal tetapi secara mutlaknya adalah berdasarkan ketentuan Syaari' itu sehingga seandainya wujud pertembungan antara akal dengan kehendak syaari', maka mereka yang berpegang dengan iktikad ASWJ pasti mengetahui pilihan yang sebenar. Sasterawan dan pengarang termasuk mereka yang pernah mengikuti pendidikan Islam lebih patut memahami hal ini.

Jangan disebabkan tidak mahu dilabelkan sebagai pengarang yang syok sendiri ketika berkarya, maka penulis itu pun menanggalkan pakaian adab hingga mendedahkan segala kebengkokan dan kekerdilan pemikirannya.

153 dibaca
Berita Harian X