Ahad, 6 Mei 2018 | 7:00am

'Sabah selamat buat BN'

Kehidupan nun di pedalaman Sabah dengan muka bumi bergunung-ganang dan laluan pemanduan serba mencabar, sememangnya jauh lebih mudah. Namun demikian, keadaannya berbeza dengan politik, dalam keadaan pembangkang menampilkan tentangan terbesar untuk mencabar persekitaran semasa.

Dengan pelbagai parti politik mengintai kerusi, pertarungan di Sabah menirus kepada Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah, parti serpihan UMNO yang mencari ruang untuk menghasilkan kejutan.

Mereka yang baru mengenali politik Sabah pasti tenggelam dalam lautan akronim abjad mewakili parti Negeri di Bawah Bayu. Antaranya ialah PCS, PHRS, PKAN, PPRS, SAPP, PPRKS, PKS dan STAR Sabah serta STAR Sarawak.

Kebanyakan perhitungan sengit berlaku di kawasan membabitkan kerusi Kadazandusun Murut (KDM) yang menjadi tapak pengaruh Warisan dan beberapa parti tempatan.

Selepas BN yang bertanding di semua kerusi, Warisan memulakan percaturan sulungnya pada pilihan raya sebagai satu-satunya parti yang meletak calon di sebahagian besar kerusi di Sabah, membabitkan 17 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), BN memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen dan 48 daripada kerusi DUN. Majoriti mudah di negeri itu memerlukan 31 kerusi.

Berdasarkan anggaran kasar, BN mungkin memenangi 18 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN, sekali gus menafikan peluang Warisan memegang tampuk kuasa di Sabah.

"Sabah selamat buat BN," kata seorang penganalisis politik.

Bagaimanapun, cabaran kempen pilihan raya di negeri itu tidak ubah seperti muka bumi Sabah.


- Keratan akhbar hari ini.

Pertandingan empat penjuru

Kiulu sebagai contoh, daerah kecil yang tenang di kaki Gunung Kinabalu dan terpulihara daripada arus pembangunan moden, bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru menjelang PRU-14, Rabu ini.

Lembah Kiulu dalam daerah Tuaran di utara Sabah, mempunyai kira-kira 12,000 pengundi.

Terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, masyarakat tempatan bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan. Ia termasuk getah, kebun buah-buahan, padi dan kebun campuran (kebanyakannya sayur-sayuran, nanas dan halia).

Nama Kiulu berasal daripada tumbuhan dipanggil Tulu, iaitu sejenis buluh kecil yang tumbuh melata di tebing sungai.

Poring, satu daripada 105 kampung di Kiulu, mempunyai sebuah sekolah rendah dengan hanya 12 murid. Bagaimanapun, 12 guru mengajar di situ.

Untuk bergerak dari kampung ke kampung, mereka bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda, merentasi bukit-bukau, laluan berlopak dan sungai berbatu.

Menjelang hari penentuan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu menjadi antara tumpuan seluruh negeri susulan persaingan antara bekas ratu cantik menentang bekas wartawan yang beralih angin menjadi ahli politik.

Graduan undang-undang, Jo-Anna Sue Henley Rampas, 29, adalah bekas Unduk Ngadau atau ratu cantik Pesta Menuai Sabah, penyanyi dan model. Beliau bakal menentang penyandang kerusi daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai.

Bapa saudara Jo-Anna, Louis Rampas, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS sebelum Joniston memenangi kerusi itu atas tiket BN dengan majoriti tipis 44 undi pada PRU-13.

Dua lagi calon yang melengkapkan persaingan bagi DUN Kiulu ialah Terence Sinti daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Gaibin Ransoi mewakili Parti Cinta Sabah (PCS).

Ibu Jo-Anna adalah daripada etnik Kadazandusun di Kiulu, manakala bapanya warga British.

Jo-Anna dilahirkan di Kota Kinabalu dan dibesarkan oleh neneknya di Poturidong, Kiulu, sehingga berusia sembilan tahun sebelum berpindah ke Penampang dan Kuala Lumpur. Jika meraih kemenangan, beliau mahu meningkatkan pendapatan penoreh getah dan memperjuangkan hak pemilikan tanah.

"Saya harap saya tidak dinilai dari segi paras rupa semata-mata," katanya.

Joniston berkata, seorang wakil rakyat perlu dinilai berasaskan pencapaian, bukan hanya wajah.

"Sebagai anak tempatan, saya memahami denyut nadi rakyat di sini. Saya berasal daripada keluarga miskin dan terpaksa berjalan jauh untuk ke sekolah," katanya.

Harga komoditi yang rendah menjadi bualan hangat dalam kalangan petani pada pilihan raya kali ini. Semestinya juga, isu Sabah bagi rakyat Sabah menjadi slogan utama Warisan yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, STAR dan parti kecil lain.

Projek IC

Bagaimanapun, sebahagian besar kemarahan ahli politik Sabah dihalakan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan peranannya dalam 'Projek IC' yang memberi keahlian kepada warga asing sepanjang 22 tahun menguasai tampuk pemerintahan.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata Dr Mahathir tidak pernah meminta maaf terhadap 'Projek IC' yang mencetuskan kontroversi ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Tegas Madius: "Sabah tidak akan lupa."

"Selama 22 tahun beliau menjadi PM, 22 tahun juga rakyat Sabah menderita," kata Datuk Seri Radin Malleh, yang mempertahankan kerusi DUN Melalap. Beliau antara yang paling lantang mengkritik 'Projek IC'.

Melalap ialah satu daripada kerusi dalam Parlimen Tenom dengan majoriti penduduknya adalah etnik Murut.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, yang singgah di Tenom di tengah-tengah kerancakan kempen selama 11 hari, memberitahu jentera parti BN bahawa Warisan diterajui Shafie bukan parti untuk masa depan dan rakyat Sabah mesti menolak pemimpin yang hanya mempunyai kepentingan peribadi.

Kesinambungan menjadi intipati utama dalam setiap majlis anjuran BN, selain komitmen Kerajaan Persekutuan membangunkan negeri itu serta langkah mengembalikan semula hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Salleh menekankan bahagian Sabah dalam projek Lebuhraya Pan-Borneo, yang akan membuka kawasan ekonomi baharu dan menjana peluang pekerjaan.

Shafie yang tersingkir daripada UMNO dan Kabinet Persekutuan pada 2015, dilihat cenderung mengajak penyokong meluaskan pengaruh melangkaui kubu kuatnya di Semporna dan menggerakkan kempen menggulingkan BN di Sabah.

'Musuh ketatnya' sejak sekian lama ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. Shafie menggunakan setiap peluang yang ada untuk menyerang Musa dan pentadbirannya.

Pernah sekali tahun lalu, Shafie menaiki kereta api dari Beaufort untuk ke Tenom. Bagaimanapun, kereta api itu terpaksa berhenti di pertengahan jalan selepas asap dikesan keluar dari bawah gerabak.

Menyentuh mengenai kejadian terbabit di Tenom selepas itu, Shafie mengecam perkhidmatan kereta api di Sabah yang teruk walaupun sudah 54 tahun mengecap kemerdekaan.

"Apakah ini yang kita mahukan sebagai negara berdaulat - kereta api dari zaman 1950-an? Insya-Allah, jika kita memerintah Sabah, sistem pengangkutan Sabah akan diubah esok," katanya.

"Kita tidak mahu kerbau bergerak lebih laju berbanding kereta api," katanya.

Dimulakan pada penghujung kurun ke-19, laluan kereta api Sabah ditutup pada 2007 bagi kerja-kerja penyelenggaraan selepas berlaku nahas besar.

Minggu lalu, Musa membidas kenyataan 'remeh dan kebudak-budakan' Shafie terhadap kekerapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke Sabah, kononnya kerana 'takut' kehilangan negeri itu.

Musa berkata, kenyataan Shafie itu adalah lambang kelemahan.

"Komennya kebudak-budakan dan beliau berkata demikian semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri. Hanya pemimpin yang berasa tergugat akan membuat kenyataan remeh seperti itu," katanya.

Musa mencabar Shafie terhadap keyakinannya untuk mengambil alih kuasa Sabah.

"Jika Shafie begitu kuat, apa perlunya beliau risaukan siapa yang datang melawat dan betapa kerap mereka datang," katanya.

4833 dibaca
Berita Harian X