Ahad, 11 March 2018 | 7:19am

Filem biografi suntik semangat ke Seluruh England

PELUANG menyaksikan tayangan perdana filem biografi saya yang bertajuk Lee Chong Wei; Rise of The Legend bersama 20,000 penonton yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, malam kelmarin adalah suatu pengalaman yang cukup bermakna buat saya.

Saya sendiri tidak percaya kisah kehidupan saya akan difilemkan. Selama ini tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk berkongsi kisah bagaimana dan apa yang saya lalui untuk berada pada tahap sekarang.

Pihak produksi filem ini sebenarnya sudah mula bertemu saya untuk mengangkat kisah kehidupan saya menjadi sebuah filem selepas tamat Olimpik London 2012. Namun, disebabkan jadual saya yang terlalu padat dengan latihan dan kejohanan antarabangsa, saya hanya memberi persetujuan untuk berkongsi cerita selepas tamat Olimpik Rio 2016.

Apa yang membuatkan saya lebih bangga adalah tayangan perdana filem ini turut menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records. Ia menjadi tayangan perdana terbesar di Malaysia dan Asia dengan kehadiran penonton 20,000 selain dipancarkan menerusi skrin gergasi terbesar bersaiz 40 meter lebar dan 17m tinggi.

Apa lagi yang saya mahukan, ia malam yang cukup indah untuk saya. Sejujurnya, saya tidak pernah menonton filem ini biarpun sudah disiapkan lebih awal sehingga malam kelmarin. Apa yang boleh saya perkatakan, saya cukup berpuas hati dengan hasil filem ini. Apa yang penonton lihat dalam filem itu, itulah yang saya lalui sebagai pemain utama dunia.

Kisah benar kehidupan

Ia berdasarkan kisah benar kehidupan saya sejak zaman kanak-kanak lagi. Saya sendiri tersentuh menyaksikan filem berkenaan kerana ia secara automatik mengingatkan saya semula mengenai suka duka yang saya pernah lalui sepanjang 19 tahun bergelar pemain badminton kebangsaan. Dalam skuad kebangsaan, saya adalah pemain yang paling senior dengan usia kini 36 tahun.

Saya sendiri tidak percaya masih bergelar pemain pada usia ini. Ironinya, tayangan perdana ini diadakan sehari sebelum saya berlepas ke Birmingham, malam tadi bagi menghadapi saingan Seluruh England yang bermula Rabu ini.

Penonton yang hadir menyaksikan tayangan perdana, kelmarin dapat menyaksikan bagaimana saya digugurkan pada saat akhir oleh jurulatih, Datuk Misbun Sidek untuk membuat penampilan pertama pada saingan Seluruh England. Mereka dapat lihat ketika babak itu bagaimana kecewanya saya apabila tidak dapat bersama rakan sepasukan yang lain ke saingan Seluruh England. Namun, pada masa sama saya tidak pernah berputus asa sebaliknya terus bekerja keras bagi mencapai apa yang saya mahukan dalam kerjaya saya.

Sejak awal lagi saya diajar tiada jalan pintas untuk kita mencapai kejayaan. Semuanya memerlukan pengorbanan besar untuk menjadi pemain utama dunia. Penonton juga dapat menyaksikan bagaimana saya korbankan zaman remaja saya semata-mata mahu mengejar impian menjadi pemain badminton nombor satu dunia.

Secara peribadi saya berasakan tayangan perdana ini diadakan tepat pada masanya. Peluang menyaksikannya bersama penonton yang hadir meningkatkan lagi semangat saya untuk menghasilkan keputusan positif pada saingan Seluruh England kali ini. Entah mengapa secara tiba-tiba saya menjadi cukup bersemangat untuk ke Birmingham selepas menyaksikan filem ini.

Ia mungkin disebabkan filem ini membuatkan saya kembali sedar masih banyak yang saya perlu lakukan untuk terus melakar kejayaan. Saya perlu terus bekerja keras kerana kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang berterusan.

Ketika saya bersetuju untuk berkongsi kisah kehidupan saya menjadi sebuah filem, bukan keuntungan yang saya fikirkan. Sebaliknya, saya mahu semua yang saya lalui mampu menjadi inspirasi kepada pemain muda dalam misi melakar kejayaan di pentas dunia.

Pengorbanan 19 tahun

Filem ini menjadi bukti terhadap pengorbanan yang saya lakukan selama 19 tahun bergelar pemain kebangsaan untuk mencipta kejayaan di pentas dunia. Saya mahu semua tahu apa yang saya lakukan selama ini adalah demi mengharumkan nama Malaysia.

Saya juga berharap filem ini dapat membuatkan ibu bapa memberi galakan kepada anak yang berminat dengan badminton untuk terus bekerja keras bagi mencapai kejayaan. Berilah sokongan kepada anak yang berminat dengan sukan badminton kerana sukan ini turut menjanjikan sumber pendapatan lumayan. Mungkin hadiah kemenangan wang tunai tidak sehebat wang sukan tenis ketika ini, namun saya percaya penambahbaikan akan terus dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Penulis adalah Pemain badminton nombor dua dunia

632 dibaca
Berita Harian X