Ahad, 4 March 2018 | 7:40am

Neelofa dan pak cik bawang

KENDURI kahwin dahulu kala ketika zaman sebelum wujud dewan serbaguna, 'ballroom' hotel lima bintang serta katering dan tema perkahwinan, majlis kahwin yang diadakan di kampung biasanya dianjurkan dalam bentuk gotong-royong.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, budaya gotong-royong bagi mempersiapkan sesuatu majlis yang biasanya majlis perkahwinan dipanggil rewang.

Kegiatan rewang ialah apabila seluruh kampung, jiran tetangga, rakan taulan, sahabat handai dan saudara mara datang membantu untuk menyediakan masakan, juadah serta persiapan kenduri kahwin bagi membantu keluarga mempelai.

Antara aktiviti yang seringkali menjadi tumpuan dalam rewang ini adalah operasi memotong dan mengupas bawang, bukan sahaja kerana bawang itu ramuan penting dalam masakan Melayu dan ia memerlukan kemahiran dan kecekapan, aktiviti yang selalunya dikendalikan oleh gerombolan sukarelawan wanita atau lebih dikenali sebagai mak cik ini memberikan masa untuk pemotong bawang sama-sama berborak dan bertukar pendapat.

Khabar berita hangat terkini di kampung yang disulami gosip, umpatan dan sekali-sekala diselitkan juga sedikit cercaan seringkali dikongsi dalam aktiviti memotong bawang rewangan, maka hasil daripada perilaku sosial masyarakat Melayu ini timbullah kata simpulan 'mak cik bawang', satu nama samaran yang diberikan kepada seseorang wanita yang suka mengumpat dan mengutuk.

Memang menjadi stereoptaip di kalangan masyarakat Melayu bahawa golongan wanita ini dikatakan gemar umpatan, khabar angin dan gosip, diperkukuhkan lagi dengan melalui bacaan majalah URTV, blog sensasi selebriti dan apa-apa media yang berkaitan sewaktu dengannya rata-rata dikunjungi, digemari dan dihadam oleh wanita.

Tidak mengejutkan sesiapa apabila timbul satu kontroversi hangat baru-baru ini, sewaktu orang ramai sedang berdebar menyaksikan majlis perkahwinan #fattzura, tingkah laku selebriti sensasi tanah air Neelofa pula yang mencuri tumpuan.

Neelofa yang menganjurkan majlis pelancaran tudung baharunya di sebuah kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur dikatakan kurang peka akan penjenamaan tudungnya, agak janggal untuk tudung diperkenalkan dalam sebuah kelab malam yang mempunyai reputasi yang tidak sinonim dengan pemakaian hijab. Hasilnya muncullah golongan mak cik bawang yang datang berduyun-duyun di internet, berkongsi pendapat mereka melalui twitter, instagram hinggalah ke paparan Facebook.


NEELOFA pada majlis pelancaran tudung baharunya di sebuah kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pelbagai bentuk pandangan

Pelbagai bentuk pandangan, komentar dan tidak kurang juga cerita konspirasi yang timbul akibat tindakan Neelofa ini. Sememangnya ia tidaklah mengejutkan, apabila seseorang itu diklasifikasikan sebagai seorang selebriti sudah pasti gerak-geri mereka akan diperhatikan oleh masyarakat. Saya bukanlah hendak memberi komen terhadap Neelofa mahupun membuat komentar akan tindak balas dan kritikan netizen.

Apa yang menarik minat saya ialah kemunculan satu kumpulan baharu selain dari mak cik bawang, yang tidak kurang pedasnya dalam nista dan cercaan mereka serta cukup meriah disulami perasaan kemuliaan dalam darjat yang tinggi apabila mengkritik yang kadang-kadang melebihi dari golongan mak cik bawang. Golongan yang saya maksudkan ini adalah kemunculan kumpulan 'pak cik bawang'.

Mungkin kerana penggunaan media sosial semakin meluas ataupun mungkin masyarakat kita semakin maju dan progresif sudah mula keluar daripada kepompong stereotaip jantina, kini lelaki juga seiring sejalan dengan wanita dalam memberi komentar panas terhadap isu-isu semasa khususnya berkenaan selebriti sensasi tanah air.

Walaupun ia tidaklah asing bagi golongan lelaki untuk menulis dan mengambil berat mengenai isu gosip dan berita hangat dunia hiburan, malah kebanyakan penulis dan wartawan media hiburan yang tersohor terdiri daripada kaum Adam, apa yang berlainan pada kali ini ialah golongan lelaki biasa seperti suami, bapa dan profesional turut serta dalam aktiviti gosip ala memotong bawang rewang.

Banyak kita lihat di twitter, instagram dan facebook golongan lelaki yang meninggalkan komentar mengenai isu sosial terkini, dari pengeluaran fatwa ala ustaz segera, cercaan terhadap wanita yang berbaur seksis dan menghina hinggalah kepada nasihat tanpa tauliah kepada individu yang mereka tidak pernah jumpa mahupun kenal.

Ini membuatkan saya terfikir adakah fenomena pak cik bawang ini sesuatu yang baharu ataupun adakah ia memang wujud di kalangan masyarakat kita sejak dahulu tetapi baru kini kita mula perasan.

Mungkin kalau komentar ke atas berita selebriti atau hiburan kita kekok melihat lelaki biasa untuk menjadikan topik perbualan di kedai makan, tetapi ia tidak menjadi asing untuk kita melihat gerombolan lelaki di kedai kopi berbicara dengan penuh perasaan sampai menimbulkan pergaduhan kalau ia melibatkan isu politik.

Politik, hiburan tak lari jauh

Kalau kita fikir semula, bukankah hiburan dan politik itu tidak lari jauh dari segi ciri-ciri dan topik perbualan? Daripada kritikan golongan yang rasa mereka lebih mulia daripada golongan lagi satu, cercaan dan umpatan yang dengan mudahnya disemburkan hinggalah kepada penceritaan dan penyebaran khabar angin dan berita palsu.

Apabila kita melihat dari sudut bahawa politik itu tidak lari jauh daripada dunia hiburan, maka tidak menghairankanlah bahawa sebenarnya pak cik bawang ini sudah lama wujud di kalangan masyarakat kita, cuma kini mereka sudah mula menceburi bidang baru.

Dengan penggunaan media sosial dan penyebaran berita dan media melalui aplikasi whatsApp, berita dan isu terkini tidak lagi diasingkan mengikut topik tetapi ia disebarkan mengikut kehangatan berita itu dan sambutan orang ramai terhadapnya.

Walaupun kita mungkin tidak meminati sukan bola sepak, namun sekiranya berlaku apa-apa kontroversi yang membabitkan sukan berkenaan, sudah pasti ada sahaja insan yang akan mengirimkan atau berkongsi berita dan khabar itu melalui kumpulan whatsApp, bukan?

Mungkin atas sebab inilah pak cik bawang ini yang dahulunya hanya terperangkap dalam kepompong politik dan berita sukan, sudah mula mengorak langkah ke isu-isu hiburan dan kisah sosial masyarakat, daripada berbual mengenai apa yang dikatakan menteri kini ia telah bercambah pula kepada topik apa yang dikatakan oleh isteri menteri yang sedang hangat bergaduh secara terbuka di media sosial.

Malah dalam sesetengah kes, dari sudut pandangan peribadi saya, golongan pak cik bawang ini lebih pantas dalam menyebarkan dan menerima maklumat mengenai gosip-gosip terkini, jauh meninggalkan geng mak cik bawang.

Jangkaan dan spekulasi saya mengenai mengapa perkara ini berlaku ialah kerana tidak seperti mak cik bawang yang sememangnya mempunyai banyak kerja rumah untuk disiapkan (seperti memotong bawang) golongan pakcik bawang ini banyak masa terluang untuk melepak di kedai kopi sehingga larut malam, maka mereka ini lebih tertumpu kepada telefon pintar mereka dan pantas menjejak berita sensasi terkini di ceruk media sosial dan seluruh pelosok internet.

Apa pun tidak kisahlah sama ada kita ini pak cik ataupun mak cik bawang, akhir kata kita ini semua manusia biasa dan manusia yang biasa itu sudah tentu tidak lari daripada kesilapan. Tidak salah untuk kita memberi pandangan dan komentar mengenai satu-satu perkara dan isu, cuma kadang-kadang berpada-padalah dalam menyemburkan kata-kata.

Jangan lupa untuk cermin diri sendiri sebelum kita mengata seseorang itu kerana takut-takut ia akan terpalit pada diri kita jua, ibarat sepotong nasihat yang pernah dikongsikan oleh Ustaz Kazim Elias mengenai netizen "seolah-olah mereka yang komen di Facebook ini sudah pasti menjadi ahli syurga, dan yang mereka kutuk dan hina itu sah-sah akan menjadi ahli neraka" fikir-fikirkanlah.

Penulis adalah bekas personaliti TV

35854 dibaca
Berita Harian X