Rabu, 28 Februari 2018 | 6:45am

Media sosial mampu pengaruhi pengundi PRU-14

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan berunsur 'Facebook Election' berikutan populariti media ini yang menyalurkan maklumat yang lebih banyak berbanding dengan platform media sosial lain seperti Twitter dan Instagram.

World Internet Stats merekodkan daripada penduduk Malaysia mencecah 31 juta, pengguna plaform Facebook sahaja mencecah hampir 20 juta orang.

Ini menunjukkan hampir dua pertiga daripada masyarakat kita lebih terdedah kepada penggunaan Facebook, terutama dalam menyalur dan berkongsi maklumat secara online, apatah lagi aliran ini akan melonjak berkali ganda apabila musim PRU.

Ia juga banyak berkait rapat dengan elemen yang mampu disalurkan oleh platform ini berbanding platform media sosial lain, seperti versi berita online oleh pemberitaan agensi media perdana mahu pun media internet persendirian, portal, blog, video interaktif, mahu pun video yang dimuat naik oleh netizen yang mempunyai keluhan pendapat tersendiri dan unsur lain yang dimuat naik serta dikongsi banyak kali.

Pembentukan masyarakat berteknologi

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 2004 pernah mencatat status 'pilih raya internet" berikutan penggunaan e-mel yang tinggi oleh pemimpin politik mereka dalam menghubungi sasaran pengundi di sesuatu kawasan. Pilihan Raya Presiden AS 2008 pula menyaksikan aliran 'pilihan raya media sosial' berikutan penggunaan Twitter dan Facebook yang tinggi dalam kalangan sukarelawan Barack Obama.

Saya pernah menjalankan penyelidikan dalam tracking trend internet election dalam kalangan negara Asia dan Barat sejak 2008 dan sehingga kini, ia jelas menunjukkan beberapa faktor penting diambil kira untuk mengenal pasti sama sesuatu pilihan raya itu mempunyai faktor pengaruh internet.

Antara elemen utama yang diambil kira ialah keberkesanan pembangunan teknologi dan 'pembentukan masyarakat berteknologi' di sesuatu negara, jumlah yang aktif dalam perbincangan online, jumlah jam berhadapan di internet, kemahiran penggunaan internet, momentum untuk memuat sesuatu post, skop informasi yang dimuat naik, jenis laman web, trend yang wujud hasil komunikasi politik dan darjah pembabitan faktor internet dalam hujahan politik.

Kini, internet menjadi faktor penentu dalam pilihan raya Malaysia memandangkan isu politik dan kempen politik kini lebih banyak bergantung kepada media dalam talian.

Internet pada 1998 mempunyai pengaruh yang kecil berikutan penerapan yang kecil. Hari ini, internet digunakan untuk mempengaruhi pandangan umum dan netizen Malaysia menyedari mengenai kesan internet dalam mempengaruhi undi. Jutawan media, Rupert Murdoch menyatakan menjelang 2050, media akan menjadi dalam talian atau elektronik sepenuhnya, dan media cetak akan menjadi satu perkara yang tidak wujud lagi.

Pemimpin politik, cabaran media sosial

Dalam aliran penyalahgunaan media sosial dengan kadar ledakan berita palsu, media sosial tetap menjadi pilihan utama untuk uar-uarkan aktiviti politik oleh pemimpin politik negara. Persoalannya sejauh manakah pembabitan mereka? Sektor politik perlu bersedia menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), iaitu revolusi yang menyaksikan Internet of Things (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan seharian.

Industri ini meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian kerana semua urusan dijalankan secara digital. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyentuh tahap kesediaan IR 4.0 yang membawa kepada kejayaan wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Industri 4.0 akan membawa perubahan besar, antaranya kepada media tradisional apabila manusia hanya menggunakan telefon pintar dan komputer untuk membaca berita dan bukan lagi surat khabar.

Persaingan media

Persaingan media bukan lagi sesama sendiri tetapi bersaing dengan media sosial yang lebih menarik perhatian pembaca.

Pemimpin yang tidak celik teknologi maklumat (IT) dianggap ketinggalan dalam arus mengejar penyaluran maklumat kerana hampir keseluruhan platform media sosial digunakan untuk memacu agenda politik menjelang PRU-14.

Suatu ketika dahulu poster dan gegantung menjadi pilihan utama ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Ke-13. Namun, hari ini penggunaan Twitter, Instagram, video pendek dan pelbagai aplikasi aktiviti politik lain diwujudkan dalam telefon pintar menjadi pilihan utama dan tidak menelan kos.

Persoalannya ialah keberadaan online dan tahap diskusi antara pemimpin dan rakyat amat penting bagi pemimpin politik. Facebook sudah tentunya menjadi platform utama perbincangan hujah politik. Dalam menyahut cabaran berita palsu, kepantasan mencantas sesuatu berita palsu oleh pemimpin politik penting dalam konteks media sosial ini.

895 dibaca
Berita Harian X