Isnin, 19 Februari 2018 | 7:10am

SIP lindungi pencarum hilang kerja

Pekerja aset penting yang menjadi tulang belakang dalam pembangunan negara. Menyedari hal ini, kerajaan mengambil langkah proaktif melindungi kepentingan golongan terbabit, terutama dalam mempersiapkan mereka ke arah Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0), apabila peralihan automasi dan teknologi baharu dijangka menyaksikan ramai kehilangan pekerjaan.

Justeru, pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkuat kuasa 1 Januari lalu adalah satu inisiatif jangka panjang yang akan memberi kesan positif terutama kepada pekerja swasta dan majikan dalam berdepan kemungkinan berkenaan.

Kita harus ingat apabila pekerja kehilangan pekerjaan, mereka juga kehilangan sumber pendapatan. Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya majikan melarikan diri atau tidak membayar pampasan.

Ketika tempoh tidak bekerja, mereka mungkin tidak mampu menyara diri dan keluarga, manakala sesetengahnya pula tidak dapat mencari pekerjaan lain yang sesuai kerana kemahiran dimiliki tidak lagi relevan dalam pasaran kerja.

Keadaan ini, jika dibiarkan tanpa penyeliaan boleh membawa kepada kesan negatif sosioekonomi seperti kemiskinan, konflik keluarga, salah laku dan jenayah. Di sini, SIP berperanan mengekalkan kestabilan masyarakat.

Secara dasarnya semua majikan dan pencarum yang berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) diwajibkan menyertai skim ini. Bagaimanapun, majikan perlu membuat pengesahan makluman memandangkan kedua-dua pihak, iaitu majikan dan pekerja tertakluk di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Namun, bagi pekerja sektor perkhidmatan awam, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, mereka dikecualikan mencarum dalam sistem ini mengikut Jadual Pertama Akta 800. Pelaksanaan SIP ini bertujuan memperkasakan perlindungan keselamatan sosial, terutama dalam membantu pekerja yang terjejas akibat diberhentikan kerja, dalam situasi sekiranya syarikat tempat mereka mencari rezeki mengalami pengecilan saiz operasi, penutupan atau kebankrapan.

Pun begitu, seperti kebanyakan pelaksanaan sesuatu sistem baharu, akan timbul rasa tidak puas hati sesetengah pihak, biarpun ketika sesi libat urus sebelum pelaksanaannya, langkah ini disambut sebulat suara sebagai perluasan kepada perlindungan keselamatan sosial pekerja sedia ada.

Akhirnya hari ini semua pihak sudah menyatakan persetujuan terhadap cadangan mewujudkan SIP pada kadar caruman 0.4 peratus sebulan. 

Manfaat 6.8 juta pekerja

Kemungkinan rasa tidak puas hati yang kedengaran itu timbul disebabkan kurangnya pemahaman dalam kalangan pencarum sehingga ada yang mempersoalkan kadar potongan 0.2 peratus oleh pencarum, selain 0.2 peratus lagi yang perlu dibayar pihak majikan.

Sedangkan SIP adalah untuk dimanfaatkan oleh 6.8 juta pekerja yang membolehkan mereka menerima faedah termasuk bantuan kewangan, latihan vokasional dan penempatan pekerjaan, sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.

Elaun yang diperoleh sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban sara hidup buat diri dan keluarga, sementara mereka mencari dan mendapatkan pekerjaan baharu. Malah, bantuan kewangan tambahan juga akan diterima sekiranya dalam tempoh berkenaan, pekerja terbabit turut menjalani program latihan yang diakreditasi untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Sementara faedah penuh SIP bermula 1 Januari 2019 nanti, pekerja yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini layak menerima faedah Interim SIP, iaitu elaun tunai sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan dan menyertai program perkhidmatan pekerjaan hingga mereka berjaya bekerja semula.

Manfaat inilah yang tidak disedari oleh kebanyakan pencarum memandangkan ramai dalam kalangan kita yang tidak pernah menjangka perkara sebegini mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa. Sistem ini terpakai untuk semua pekerja sektor swasta dan mereka yang mencarum dengan SIP berhak menuntut faedah berkenaan, sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa semua faedah berkenaan terkecuali dan tidak layak diterima bagi pencarum yang kehilangan pekerjaan kerana masalah disiplin. Pekerja yang bersara, kontrak perkhidmatannya tamat atau kontrak perkhidmatan ditamatkan atas persetujuan bersama majikan, juga tidak layak menerima faedah SIP.

Sehingga 7 Februari lalu, PERKESO menerima 1,272 permohonan bantuan interim SIP dengan 264 daripadanya sudah diluluskan untuk menerima bayaran bulan pertama pada Januari. Selain menerima elaun, pencarum juga dibantu menerusi program perkhidmatan pekerjaan semula untuk mendapatkan carian kerja menerusi kaunseling kerjaya dan pemadanan kerjaya. Setakat ini, PERKESO sudah membantu enam pencarum kembali mendapatkan pekerjaan menerusi program berkenaan.

 

Kongsi risiko bersama

Jika dilihat pada kadar caruman yang dikenakan iaitu sebanyak 0.2 peratus, ada yang mempersoalkan sekiranya ia cukup untuk membayar faedah SIP bagi membantu pekerja yang diberhentikan. Berdasarkan rekod pemberhentian kerja Jabatan Tenaga Kerja tahun lalu, seramai 35,097 diberhentikan dan jika tiada peningkatan kadar berhenti kerja, caruman keseluruhan 0.4 peratus itu dilihat mampu bertahan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Namun, jika berlaku kegawatan ekonomi seperti yang pernah terjadi pada 1997/1988 dan 2008/2009, kita bimbang dana SIP tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung tuntutan faedah yang besar, terutama apabila berlakunya RI 4.0.

Ini berdasarkan pengalaman beberapa negara yang sudah melaksanakan sistem ini, simpanan sebanyak 1.5 peratus hingga dua kali ganda daripada perbelanjaan tahunan SIP diperlukan sebagai jaminan untuk menampung tuntutan faedah. Perlu diingat, PERKESO mengguna pakai konsep solidarity fund, pooling of resources dan sharing of risks dalam mentadbir dan menguruskan insurans sosial pekerja yang bertindak sebagai jaringan keselamatan sosial yang mementingkan kebajikan pencarum tanpa mempunyai elemen keuntungan kepada organisasi.   

Secara prinsipnya, menerusi konsep ini, setiap pekerja berkongsi risiko yang sama dan dengan rela hati membenarkan PERKESO menggunakan wang caruman berkelompok mereka, bagi tujuan membayar faedah kepada pekerja memerlukan. Pada hakikatnya, pengenalan SIP ialah komitmen kerajaan dalam memperluaskan jaringan keselamatan sosial pekerja, sekali gus menjadikan pencapaian kita setanding dengan negara maju, dalam usaha memberi jaminan perlindungan sosial pekerja.

Penulis adalah Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

3523 dibaca
Berita Harian X