Ahad, 18 Februari 2018 | 6:45am
GAMBAR hiasan.

Tolak golongan munafik untuk rosakkan wanita

GONG Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le buat semua rakyat Malaysia berketurunan Cina yang menyambut tahun baharu. Walaupun kita daripada bangsa berbeza dan dalam budaya kita tidak menyambut perayaan ini, atas semangat muhibbah dan meraikan kegembiraan bersama apa salahnya kalau kita turut memeriahkan hari besar jiran tetangga kita.

Saya juga turut serta seperti rakyat Malaysia yang lain singgah menyinggah ke rumah rakan taulan dalam sesi rumah terbuka mereka dua hari lalu. Kebetulan pula pada hari sama saya diperkenalkan oleh rakan melalui kiriman WhatsApp satu muzik video daripada seorang Muslimah dari Amerika Syarikat bernama Mona Haydar dengan lagu rapnya berjudul DOG yakni anjing yang saya rasakan amat cocok dengan Tahun Baharu Cina kali ini di mana 2018 adalah Tahun Anjing.

Lagu Dog dalam erti bahasa pasar Inggeris Amerika adalah satu terma yang diberikan kepada lelaki hidung belang atau miang seperti kita di sini menggelarkan mereka sebagai buaya darat. Sudah pasti berdasarkan tajuknya, lagu ini mengisahkan ciri seorang lelaki miang yang bermuka-muka.

Ini bukan perkara baharu, namun apa yang menarik perhatian saya ialah lagu yang dinyanyikan dalam nada pop dan hip-hop ini datang daripada seorang Muslimah di mana dalam liriknya mengisahkan ciri seorang lelaki miang beragama Islam. Rata-rata lirik lagu ini dipenuhi dengan beberapa bait lagu yang menyindir golongan lelaki berlagak alim lagi mulia, pada masa sama, di belakang tabir sebenarnya adalah seorang individu yang amat miang dan gatal. Bait-bait seperti:

'Say you can save my spirit.
But you're a dog at night.
We can see right through him.
He's a dog.
If I'm all you need.
Tell me how come
You gotta wife'.

Diterjemahkan secara kasar bermaksud: "Kau kata kau boleh menyelamatkan jiwaku, tapi sebenarnya kau lelaki miang bila malam menjelma. Kau kata bahawa akulah satu-satunya kau perlukan, tapi ku ingin bertanya bukankah kau sudah beristeri?

Walapun lirik lagu ini datang daripada seorang gadis Muslimah dari Michigan Amerika Syarikat, bukankah kita di Malaysia juga banyak terserempak dengan perkara sama. Banyak golongan lelaki yang berlagak alim dan warak, tetapi sebenarnya mempunyai nafsu buas yang tanpa rasa segan silu menggunakan agama sebagai modal untuk memikat wanita. Saya anggap golongan lelaki seperti ini sama seperti mereka yang menggunakan agama untuk membuat duit menjual produk dan menipu orang ramai.

Alasan ingin mendidik

Dengan menggunakan alasan ingin mendidik, berdakwah atau membawa seseorang itu ke jalan benar, yang menghairankan pula yang hendak dididik atau didakwah itu pandai pulak memilih yang cantik, anak dara dan muda sahaja.

Yang menghairankan, kalau benar niat nak membantu serta menyelamatkan seseorang wanita itu, tidak pernah pula terdetik untuk membantu golongan ibu tunggal anak lima dalam lingkungan 50-an yang benar-benar memerlukan. Ini asyik nak membantu ibu tunggal berusia 30-an sahaja sambil berselindung di balik agama berlakon ala alim ulama, tetapi sebenarnya lelaki durjana ibarat ular dalam semak.

Namun kalau kita hendak menyalahkan lelaki golongan ini sahaja sebagai mereka yang bertanggungjawab merosakkan wanita, saya rasakan itu tidak tepat. Berdasarkan amatan saya, mengapa lelaki golongan ini boleh hidup dan mencari 'makan' kerana kita golongan wanita dengan mudah memberi peluang kepada mereka untuk mekar membiak.

Mana tidaknya, asalkan lelaki itu berpakaian warak, berjanggut atau berjambang dan boleh pula menyebut satu dua ayat al-Quran, terus kita percaya sepenuhnya. Habis segala produk yang dijual kita beli dan apa segala hukum hakam yang keluar daripada mulutnya kita percaya tanpa langsung soal selidik apa yang diperkatakan. Dengan hanya bermodalkan air liur dan pemakaian warak terus status selebriti agama kita berikan kepada mereka tanpa mengira latar belakang atau lulusan keilmuan yang mereka miliki.

Golongan Muslimah di Malaysia amat mudah memberikan kepercayaan tanpa soal selidik, kalau kita dengar di ceramah tak kira di masjid, surau hatta radio sekalipun, asyik dikatakan isteri mesti dengar cakap suami, isteri mesti layan suami, syurga di bawah tapak kaki suami, isteri mesti setia.

Baguslah begitu, tetapi takkan isteri seorang sahaja yang setia? Suami tak payah setia ke? Tak perlu melayan isteri dengan baik? Tak pernah kita bertanya apakah hukum seorang lelaki bercanda di tepi pantai dengan anak dara dengan alasan hendak berkongsi ilmu agama sambil ditinggalkan isteri yang terperok di rumah menjaga tujuh anak?

Bukankah kebanyakan wanita yang dikahwini Rasullulah SAW dan dijadikan madu datang daripada golongan balu perang yang hidup mereka susah dan mempunyai anak ramai. Ini tidak, apabila bab berkahwin lagi bukan main nak ikut sunah Nabi, tetapi nak ikut yang tertentu sahaja... yang menyedapkan diri sahaja.

Wanita sering dipersalah

Namun inilah masalahnya masyarakat kita hari ini yakni golongan wanita membenarkan perkara ini berlaku. Kita seringkali menyebut golongan lelaki hidung belang, tetapi ada sahaja wanita dan anak dara sanggup menjadi pasangan mereka.

Kalau kita dengar ada kisah skandal atau hubungan sulit dengan suami orang, seringkali kita menyalahkan wanita itu sebagai perosak rumah tangga tanpa langsung menyalahkan si suami itu yang sah memang tahu lagi sedar bahawa dia sudah beristeri.

Sudah tiba masanya kita sebagai wanita tidak dengan semudah membenarkan budaya seperti ini berlanjutan, seperti dalam bidang politik, ekonomi dan korporat, sudah tiba masa golongan cendekiawan Islam wanita lebih diketengahkan bagi menyumbang kepada pandangan akan hukum dan fatwa dari sudut pandang wanita.

Sudah sampai masanya Muslimah di Malaysia wajib menolak golongan munafik yang menunggang agama berpura-pura alim, tetapi sebenarnya golongan mereka yang memperdaya dan merosakkan wanita. Akhir kata, saya tinggalkan serangkap lirik lagu Mona Haydar yang saya rasa menyimpulkan bahaya golongan perosak seperti ini;

Sheikhs on the DL.
Sheikhs in my DM

Begging me to shake i

On my cam in the PM.

Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim adalah bekas personaliti TV

1360 dibaca
Berita Harian X