Isnin, 25 Disember 2017 | 12:20pm

Kejutan 'skandal' tanah FELDA

Minggu lalu rakyat negara ini dikejutkan berita mengenai FELDA menghadapi risiko akan hilang haknya ke atas hartanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dengan tajuk berita ‘Pindah milik tanah FELDA Jalan Semarak dicurigai’ terbitan Berita Harian (BH), Khamis 21 Disember 2017).

Di tapak hartanah itu kini dibangunkan projek mega ‘Kuala Lumpur Vertical City’ (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Carian dalam portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh wartawan akhbar itu mendedahkan projek Menara KLVC Tower1A (bangunan setinggi 68 tingkat) sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa perancangan tempatan.

Laporan akhbar Khamis lalu mendedahkan pindah milik hartanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama tiga tahun lalu (pada 3 Jun 2014), yang mana syarikat berkenaan ada diberikan surat kuasa wakil penuh untuk membangunkan hartanah terbabit.

Surat kuasa wakil (power of attorney) adalah satu dokumen biasa disediakan oleh peguam bagi membolehkan sebuah syarikat pemaju membangunkan hartanah milik orang lain.

Andainya pemilik tanah kurang berhati-hati atau tidak mendapatkan nasihat yang betul ketika dokumen ini disediakan, tidak mustahil dia akan mengalami masalah pada masa depan.

Akhbar itu juga menyatakan ketika perjanjian dibuat dengan syarikat pemaju, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memegang jawatan Pengerusi FELDA, juga Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Pengerusi FIC.

Berpandukan laporan akhbar itu, pembaca boleh membuat kesimpulan bahawa pada tarikh perjanjian dibuat dengan syarikat pemaju pada Jun 2014 itu, individu yang memegang jawatan tertinggi dalam kumpulan FELDA keseluruhannya adalah Isa. Berasaskan prinsip kebertanggungjawaban korporat, beliau perlu menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Dari sudut undang-undang, seorang ketua memang boleh mewakilkan atau menyerahkan tugasnya kepada orang bawahan, tetapi dia tidak boleh menyerahkan
kebertanggungjawabannya kepada orang bawahan. (A leader can delegate his duties, but he cannot delegate his responsibility).

Akhbar itu menyatakan lagi bahawa semua keputusan mengenai pelantikan syarikat pemaju itu dibuat oleh FIC pada Jun 2014 tetapi perkara ini hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA pada 2 September 2014, iaitu tiga bulan kemudian. Lembaga Pengarah FELDA khabarnya memberi kelulusannya secara retrospektif (berkuat kuasa kebelakang).

Selain persoalan mengenai keluarbiasaan prosedur mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarah FELDA itu,timbul persoalan kedua membabitkan hak milik hartanah yang hendak dibangunkan.

Mengikut laporan akhbar itu lagi, carian rasmi yang dilakukan di Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan Kuala Lumpur mendedahkan bahawa satu daripada hartanah berkenaan (iaitu Lot 390, seluas 16 hektar) yang sebelum ini menjadi tapak Ibu Pejabat lama FELDA, Anjung Felda dan Wisma Felda telah ‘ditukar nama’ (maksudnya dipindahmilik) kepada sebuah syarikat lain pada Julai 2016.

Pada asalnya, hartanah milik FELDA di Jalan Semarak ini dirancang dimajukan Encorp Berhad (sebuah anak syarikat FIC) sebagai projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM500 juta.

Bagaimanapun, beberapa bulan selepas pengumuman awal itu (iaitu pada November 2014), DBKL (selaku pihak berkuasa perancangan tempatan) menerima permohonan kebenaran merancang membabitkan tanah sama daripada KLVC, bukan daripada Encorp Berhad.

Mengaku FELDA hilang tanah Dalam satu temu bual antara Isa dengan akhbar berkenaan selepas pendedahan berita itu, beliau khabarnya mengakui FELDA ‘kehilangan’ tiga bidang hartanah itu.

Beliau sendiri khabarnya ‘tidak faham’ bagaimana hartanah milik FELDA itu boleh berpindah milik kepada syarikat lain. (http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15- tanah-air/4497-skandal-tanah-feldanajib-perlu-ambil-cuti).

Pada Jumaat 22 Disember lalu, Pengerusi FELDA yang baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dipetik sebagai berkata bahawa beliau yakin berlaku penipuan membabitkan urusan pindah milik hartanah FELDA di Jalan Semarak itu.

Berasaskan hasil siasatan yang dibuat oleh Bahagian Undang-undang FELDA dan nasihat oleh Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara, beliau yakin FELDA boleh mendapatkan semula hak milik hartanah itu ‘melaluiprosedur undang-undang.’

Shahrir turut mengesahkan satu laporan polis mengenai isu ini dibuat pada 12 Disember lalu. Selain itu, FELDA akan mengambil tindakan undang-undang sivil ke atas pihak yang terbabit dalam perkara itu.

Beliau juga menyatakan tindakan telah diambil untuk ‘menukar’ status kaveat persendirian yang dimasukkan pada 14 April lalu kepada kaveat pendaftar untuk mengukuhkan penguasaan pemilikan terhadap tanah itu.

Pada hari sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan (menerusi akaun Twitternya) bahawa dia telah meminta FELDA ‘mengambil tindakan yang sepatutnya bagi melindungi kepentingannya’.

Beliau mahu satu siasatan terperinci dijalankan untuk mengetahui ‘sekiranya ada kecuaianatau salahlaku oleh mereka yang terbabit’.

Terkini, PDRM mengesahkan satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat skandal terbaru FELDA ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, pasukan itu kini mengumpul maklumat dan mengenal pasti individu yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau tidak menolak kemungkinan polis akan memanggil Isa dalam masa terdekat untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, yang dijalankan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan (kesalahan menipu).

Sebuah portal berita memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebagai berkata bahawa pihaknya mendapati ‘tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kes berkenaan.’

Namun beliau menambah terdapat ‘unsur pecah amanah’, oleh yang demikian, kes itu wajar diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Dari sudut undang-undang tanah negara, apabila seorang itu didaftarkan secara sah sebagai pemilik sebidang tanah, dia menikmati hak milik yang tidak boleh disangkal atau dipersoal, dipanggil prinsip indefeasibility – seksyen 340(1) Kanun Tanah Negara 1965.

Bagaimanapun, andainya semasa proses pindah milik tanah itu dilakukan, wujud unsur penipuan, pemalsuan, pengaruh tidak wajar dan perkara lain yang serupa, hak milik orang itu masih lagi boleh dipersoal dan dipertikai di mahkamah – seksyen 340(2).

Tindakan oleh mana-mana pihak mempertikai dan mencabar hak milik yang sudah didaftarkan itu mestilah dibuat sebelum tanah berkenaan dipindah milik sekali lagi kepada pihak ketiga.

Andainya tanah itu telah dipindah milik kepada pihak ketiga (seorang bona fide purchaser, BFP), tindakan mencabar atau mempersoalkan pindah milik sudah terlambat

Penulis adalah Pengamal Undang-Undang dan bekas Penulis Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

7695 dibaca
Berita Harian X