Sabtu, 2 Disember 2017 | 7:01am
DATUK Seri Hishammuddin Hussein.- Foto Eizairi Shamsudin

Gelanggang pencetus tsunami Melayu

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2017 bermula Selasa ini adalah landasan terbaik mengukuhkan perpaduan, terutama bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Persoalannya apakah betul akan berlaku 'tsunami Melayu' dan bagaimana ahli parti bersiapsiaga untuk menjawab segala tohmahan pembangkang. Ikuti temu bual wartawan BH, Mohd Anwar Patho Rohman bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

S: Setiap tahun perhimpunan UMNO akan mempunyai agenda khusus dan kali ini adalah untuk menghadapi PRU-14. Bagaimana hendak pastikan perhimpunan ini menjadi satu jaminan orang Melayu dan rakyat menyokong UMNO dan BN?

J: Ya, memang ini perhimpunan terakhir UMNO sebelum PRU. Kita bukan hendak meyakinkan orang Melayu sahaja, tetapi juga bukan Melayu. Kita hendak tunjukkan UMNO adalah parti inklusif dan ambil kira kepentingan mereka.

S:Ada andaian yang perhimpunan kali ini menjadi medan pencetus tsunami Melayu untuk dijadikan landasan bersatu, bersama menyokong UMNO dan BN?

J: Kalau tsunami Melayu, biarlah ia yang membina dan memastikan kaum lain terbabit bersama secara inklusif. Jangan jadikan tsunami Melayu boleh mendatangkan kesan memecah-belah kaum lain. Perlu sedar, kekuatan kita diiktiraf pemimpin Islam dunia. Mereka kagum melihat kepemimpinan Islam dan Melayu mendapat sokongan bukan Melayu dan Islam melalui perjuangan parti kita. Ia hasil kebijaksanaan pemimpin kita yang memahami prinsip 'jangan menang sorak, kampung tergadai'.

S: Sejauh mana pencapaian UMNO dalam perjuangannya membela nasib bangsa, agama dan tanah air?

J:Dalam hal ini, saya lihat dalam konteks lebih luas. Perjuangan kita mengikut landskap dunia. Sekurang-kurangnya penghormatan dan persepsi pemimpin dunia terhadap kita masih pada tahap tinggi. Cabaran yang kita hadapi hari ini ialah bagaimana hendak menjamin kedudukan Islam dan Melayu dalam keadaan dunia tidak menentu, sekali gus memastikan perjuangan UMNO relevan. Cabaran ini tiada formula yang dapat kita fahami contohnya ancaman ideologi Daesh. Dunia masih terkapai-kapai hendak mendepaninya, ketidaktentuan ekonomi dunia tidak macam dulu. Perlu fokus terhadap agenda pembelaan orang Melayu, kos sara hidup, infrastruktur dan kebajikan. Semua ini mesti diselami dan difahami. Saya lega sekurang-kurangnya mereka di luar masih melihat perjuangan dan kepemimpinan Malaysia ditunjangi UMNO dan BN mampu berdepan cabaran semasa. Masa depan kita bergantung kepada mandat diterima parti. Apa yang kita lakukan hari ini bukan kebetulan, tetapi perlu perancangan keyakinan dan keberanian. Kita bukan melakukan perkara populis, tetapi hendak memastikan generasi selepas kita berada di landasan betul dalam dunia tidak menentu hari ini.

S:Menyentuh soal dapat mandat orang Melayu, bagaimana hendak pastikan UMNO dan BN mampu merebutnya?

J: Kita perlu memastikan tiada pihak sabotaj dan ganggu agenda ini. Masa PRU nanti mesti ada pihak yang mempunyai agenda sendiri bersandarkan kebencian, memecah-belah. Ini akan digunakan golongan ini. Isu kaum, agama, bandar dan luar bandar tidak terkecuali.  Isu berkaitan anak muda dan aspirasi mereka akan dimainkan. Ini akan dilontarkan secara bermusim. Akan tetapi, mereka (pembangkang) tidak pernah sepakat. Berbeza dengan UMNO dan BN, kita konsisten dari dahulu, tidak berkisar kepada kepemimpinan individu dalam parti tetapi kepada parti.

S: Menyentuh soal perhimpunan, apa agaknya yang perwakilan akan bangkitkan kali ini dalam konteks mendepani PRU-14?

J: Saya harap mereka memahami dan menginsafi perjalanan kita ke perhimpunan bukan mudah. Dua atau tiga tahun lalu kita menghadapi serangan bertubi-tubi dan secara terancang bukan sahaja dari dalam tapi dari luar negara. Ini menuntut ketabahan, kesabaran, kesefahaman dan kesetiaan ahli kita. Pesanan saya, tumpu kepada PRU yang akan dihadapi. Kita ketepikan agenda peribadi. Harap tidak ada perkara yang sentuh pemilihan parti. Tidak ada maknanya kalau kita pentingkan jawatan dalam parti kalau parti kita tidak dapat mandat besar dalam PRU. Harapan saya fokus dengan apa dilakukan sebelum ini agar dapat disemarakkan dan disatukan dengan ahli akar umbi.

S:Adakah sebarang sekatan dikenakan kepada jurucakap untuk berucap?

J: Tidak. Belum pernah dalam sejarah kita boleh sekat. Tetapi kita rayu mereka kalau serang parti lain, jangan hanya popular dan mendapat tepukan atau tunjuk pandai berucap, akhirnya diekploitasi untuk melagakan kita, bukan saja bersama pemimpin UMNO tetapi dengan parti komponen BN serta rakyat. Dari dahulu saya lega apabila jumpa wakil perhubungan, mereka tidak lari daripada perkara pokok. Mereka faham yang uniknya perhimpunan kita ini menghimpunkan orang lama dalam politik. Kita tidak perlu ajar mereka tetapi mereka ajar saya. Kalau dua atau tiga tahun lalu keadaan agak kritikal, saya harap dalam keadaan kita yang agak reda, semua tanda tanya sudah dijawab, kita hendak fokus kepada PRU-14. Kita tidak boleh rancang segala-galanya tetapi kita masih parti inklusif dan demokratik. Kita tidak boleh kongkong tetapi kita hanya boleh beri bimbingan dalam persiapan berhimpun minggu depan. Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Usul boleh memberi bimbingan kepada jurucakap. Kita teliti dengan mendalam usul yang dibawa dari bahagian. Ada 836 usul yang saya kumpul dari suara akar umbi. Saya mahu ingatkan kepada semua, suara dari bahagian dan cawangan penting kerana didengari dan diambil tindakan pucuk pimpinan.

S:Mengapa usul agama dan pendidikan digabung dalam perhimpunan kali ini?

J:Kerana kekangan masa. Ketika ucapan dasar, kita benarkan semua jurucakap negeri berucap. Usul ekonomi kita pecahkan sebahagiannya wakil perhubungan, sebahagian bercakap soal pendidikan dan agama. Kita kesuntukan masa kerana kita tidak ada ruang untuk semua. Tetapi pada pandangan kita, selalunya waktu mencukupi. Kalau tambah masa nanti kita bincang perkara sama secara bertindih.

S: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak seperti menampakkan 'mood menyerang' dalam beberapa keadaan. Adakah 'mood' sama akan ditonjolkan dalam perhimpunan nanti?

J Najib juga orang biasa macam kita, mempunyai kesabaran yang tinggi. Tetapi apabila sudah diserang bertubi-tubi, dia jawab tetapi tidak selalu Najib serang sebegitu rupa. Mungkin sebab sudah terlalu peribadi. Kalau presiden dulu-dulu, hari-hari dia serang balik tetapi Najib sabar orangnya. Kesabaran dia mengizinkan kita berhimpun dalam keadaan bersatu. Kalau dia boleh terima kritikan, sekali sekala serang balik, tapi tidak berterusan. Kalau saya, tidak mungkin saya ada kesabaran seperti itu, mungkin sudah lama saya serang balik. Namun bagi saya, daripada kita menyerang, lebih baik kita cerita perkara yang membina. Banyak orang di luar sana tidak tahu apa kita lakukan dalam parti dan kerajaan. Daripada kita serang, lebih baik kita menjawab tuduhan tidak berasas oleh mereka. Bagi saya itu satu perkara lebih membina. Kalau kita serang balik akhirnya tiada keuntungan untuk kita. UMNO mesti lebih besar daripada itu supaya rakyat dapat bezakan kita dengan orang lain.

S:Sudah dua tahun perhimpunan UMNO diadakan, parti hanya mempunyai dua Naib Presiden. Adakah Datuk Seri tidak berasakan sebarang kejanggalan?

J: Kalau janggal, sudah dua tahun situasi itu berlaku. Saya rasa kali ini sudah lega. Saya tidak nafikan saya tidak tahu dua tahun lepas apa akan berlaku kepada UMNO. Saya tengok ketegangan perwakilan di bawah sebab mereka menunggu apa isyaratnya. Hari ini, Alhamdulillah kita sudah lalui episod itu. Situasi itu menjadikan hubungan Najib, saya dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lebih erat. Kami laluinya bersama Majlis Tertinggi (MT). Pasukan yang melalui tempoh ini berada dalam keadaan lebih kukuh bukan kerana mengampu atau hendakkan sesuatu, tetapi kita lalui ancaman secara realiti. Suka atau tidak, kita terpaksa hadapi. Ini mengeratkan hubungan sesama kita, memahami kita tidak boleh lakukan sendirian. Secara peribadi, hubungan di peringkat tertinggi parti kukuh.

S:Dalam menghadapi PRU, kita dapat lihat, individu dalam parti menjadi sasaran serangan untuk melemahkan UMNO. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Itu datangnya bersama jawatan. Bila sesiapa sahaja pegang jawatan tinggi, serangan dihalakan kepada pemimpin berkenaan dengan harapan kalau dapat hakis keyakinan orang ramai kepada pemimpin tertinggi, ia akan melemahkan struktur parti dan kesetiaan ahli kepada presiden. Ini bukan baharu. Bagi saya apa yang dilontarkan kepada Najib bukan kerana beliau adalah 'Najib' tetapi kerana dia Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

S : Jika perhimpunan kali ini tertumpu kepada persiapan menghadapi PRU-14, apakah gerak kerja UMNO untuk menangkis serangan menerusi media sosial yang mendominasi hari ini?

J: Saya lihat keadaan kita hari ini lebih baik berbanding dua atau tiga tahun lalu. Masa itu banyak tanda tanya, banyak perkara yang ahli kita keliru
dengan isu semasa dengan pendirian bekas pemimpin kita dan pemimpin keluar parti. Tetapi dalam parti yang keadaan cukup kukuh sekarang, kita himpunkan mereka yang setia kepada parti. Kalau tidak setia, mana mungkin mereka tetap bersama kita. Sebab itu saya lihat perhimpunan kali ini dianggap sebagai perhimpiunan 'orang UMNO'. 'Orang UMNO' menjiwai perjuangan, setia kepada parti, bukan individu. Mereka cinta negara, agama dan bangsa lebih mencintai daripada diri sendiri. Saya harap perhimpunan ini dapat tunjuk kepada orang ramai, majoriti 'orang UMNO' tetap bersama UMNO. Itu mesej hendak dibawa dalam perhimpunan nanti.

S: Apa komen Datuk Seri terhadap pandangan mengatakan UMNO lemah dan parti komponen BN tidak relevan lagi?

J: Saya tidak setuju. Itu hanya pandangan bermusim. Kalau kita lemah, komponen bersama kita. Dalam sejarah apabila UMNO berpecah, orang bukan Melayu beri sokongan padu kepada BN. Dalam hal ini, parti komponen juga perlu kerja kuat. Tetapi saya juga hendak tanya adakah pembangkang lebih baik dari kita. Apakah DAP boleh senada dengan dengan PKR. Adakah parti pembangkang lain boleh kerjasama dalam isu tertentu. Jika orang bukan Melayu boleh kata pembangkang adalah alternatif, jelaskan kepada saya kekuatan mereka dan bandingkan kelemahan kami. Secara peribadi saya lihat pembangkang lebih kecoh dan berkecamuk berbanding UMNO dan BN. Parti pembangkang perjuangannya tidak senada dan rakyat bukan bodoh.

S: Bercakap soal hendak berdepan PRU-14 dalam perhimpunan nanti, adakah UMNO
sudah mempunyai senarai calon?

J: Ada. Pucuk pimpinan akan tentukan siapa calonnya, kali ini kita akan ketengahkan calon diterima rakyat. Kalau popular tetapi tidak disukai rakyat, tidak guna juga. Dalam PRU, popular dengan rakyat jadi keutamaan kerana kita hendak menang PRU.

345 dibaca
Berita Harian X