Ahad, 8 Oktober 2017 | 8:59am
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar penerangan oleh Pengurus Besar Perancangan Strategik dan Korporat, Datuk Ragu Sampasivam (tiga dari kanan) dan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengenai projek dan program Wilayah Ekonomi Pantai Timur di Daerah Mersing, ketika melawat sekitar ekspo selepas merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, semalam. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Kejayaan Johor cerminan prestasi Malaysia

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. Kunjungan Perdana Menteri kali ini menggambarkan sokongan beliau yang sangat tinggi dan padu kepada pembangunan dan kemajuan Johor.

Malah sebelum ini Perdana Menteri pernah melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor pada 6 Mac 2016. Penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan yang bermula sejak semalam sehingga 14 Oktober ini sangat besar maknanya kerana ia memperaga segala usaha, inisiatif, dasar, bantuan serta pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan Johor, khususnya di bawah kepemimpinan progresif Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sejak 2013.

Ekspo Johor Berkemajuan yang buat julung kali diadakan ini memberi tumpuan kepada 12 aspirasi Johor ke arah merealisasikan Wawasan Johor Berkemajuan seperti Johor Prihatin, Johor Selamat, Johor Berbudaya, Johor Islami dan Perumahan Johor. Selain itu, hampir 31 program ikonik akan diadakan selama sembilan hari ekspo berlangsung, dalam bentuk pameran, pelancaran, persembahan dan pencerahan mengenai peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tiga kluster utama jadi tumpuan, iaitu Kluster Kerajaan Negeri, Kluster Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor (PPSNJ) dan Kluster Sektoral. Sebagai negeri di selatan tanah air yang berhampiran dengan negara jiran, iaitu Singapura, pembangunan dan kemajuan Johor sering jadi sorotan dan perhatian umum.

Apa yang jelas, matlamat utama pembangunan dan kemajuan Johor bukan untuk menyaingi Singapura, tetapi apa yang lebih penting ialah memberikan kesejahteraan hidup rakyat di Johor yang akhirnya menyumbang kepada kemakmuran Malaysia secara keseluruhannya. Kepesatan pembangunan dan kemajuan Johor dipandu untuk mencapai matlamat kesejahteraan rakyat. Ini bermakna, agenda pembangunan dan kemajuan tidak boleh lagi berkisar tentang pencapaian ekonomi semata-mata, tetapi bermatlamat membentuk masyarakat yang berfikiran dan mempunyai sistem nilai yang maju.

Justeru, pada 4 Januari 2016, gagasan Johor Berkemajuan telah diperkenalkan buat kali pertama kepada umum oleh Khaled. Sewaktu menjelaskan mengapa gagasan ini diperkenalkan, beliau berhujah betapa perlunya satu anjakan sosial ke arah mewujudkan pemikiran, budaya dan sikap yang berkemajuan.

Johor mahu kemajuan itu bermaksud masyarakat dibaluti dengan perwatakan maju dan adil yang akhirnya mampu menterjemah kesejahteraan, kemakmuran dan peradaban unggul pada tahap layak dinikmati oleh semua.

Pendek kata, Johor bukan sekadar ingin menjadi wilayah termaju, tetapi masyarakat yang maju. Sokongan Orang Muda Pembangunan dan kemajuan mesti didukung oleh semua pihak khususnya generasi muda.

Kumpulan ini juga perlu memahami proses pembangunan dan kemajuan tidak berlaku sekelip mata. Sebaliknya, ia ditentukan dengan wawasan jelas dan perancangan rapi lagi tersusun.

Ambil peranan jayakan pembangunan, kemajuan

Kefahaman ini akan mendorong mereka bersama-sama mengambil peranan menjayakan pembangunan dan kemajuan, bukan menuding jari ini semua urusan pihak kerajaan. Ekspo Johor Berkemajuan sangat mengalu-alukan penyertaan dan pembabitan generasi muda. Mereka wajar melihat segala potensi yang dimiliki Johor dan dengan itu, berbangga dan berusaha sedaya upaya menyumbang kemakmuran negerinya.

Menurut Khaled, kunjungan orang muda ke ekspo penting kerana mereka harus mengambil peduli kedudukan semasa Johor agar semua melonjakkannya ke tahap lebih baik. Selain itu, orang muda turut berperanan membangunkan Johor kerana mereka mewarisi dan meneruskan perjalanan. Pada masa sama, Ekspo Johor Berkemajuan memaparkan perpaduan Bangsa Johor. Semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, umur dan latar belakang, mesti menjiwai pembangunan Johor, seterusnya membantu menambah baik semua ini. Mesej Khaled jelas.

"Demi masa depan, Johor sangat memerlukan orang mudanya. Mereka yang patriotik, yang berilmu dan memahami aspirasi serta realiti semasa. Saya ingin mengajak semua orang muda Johor untuk tampil dan membantu saya membangunkan Johor dan masa depannya.

"Berikan pencerahan tentang bentuk dan corak masa depan yang anda semua impikan, dan kita akan menjayakannya bersama-sama. Masa depan Johor adalah tanggungjawab bersama kita. Marilah kita mengukuhkan muafakat untuk menjayakannya".

Johor Berbudaya sebagai sebuah negeri yang mempunyai sejarah unik dan tersendiri, Johor sama sekali tidak melupakan sejarah, warisan dan seni budayanya untuk maju. Di bawah sektor Johor Berbudaya, Johor berhasrat menjadi Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa yang berkepentingan global. Matlamat ini bakal menyaksikan kemampuan Johor meneraju pembangunan tamadun Melayu dalam konteks yang menyeluruh, bertunjangkan nilai luhur dan budaya tinggi.

Bagi mencapai tujuan ini, satu Pelan Tindakan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa sedang dibangunkan. Maklumat asas mengenai pelan dipamerkan sepanjang ekspo kali ini. Pihak berkepentingan dan orang ramai dipelawa untuk memberikan maklum balas dan pandangan terhadap pembangunan pelan tindakan ini bagi memastikan ia benar-benar membawa aspirasi Johor untuk membina sebuah bangsa yang mempunyai jati diri yang utuh dan berbudaya tinggi.

Justeru, Johor berhasrat menjadi pusat rujukan tamadun Melayu oleh pengkaji dan pelancong seluruh dunia. Apa yang jelas, Ekspo Johor Berkemajuan berusaha memperaga pelbagai dimensi pembangunan dan kemajuan Johor yang bermakna. Paparan kejayaan Johor ini sangat penting kerana ia juga adalah kisah kejayaan Malaysia. Kehadiran Perdana Menteri merasmikan eskpo hari ini dan kemudian, Timbalan Perdana Menteri pada majlis penutup 14 Oktober depan membuktikan kebenaran kenyataan itu. Untuk Johor dan Malaysia!

Penulis adalah Prof Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN)

565 dibaca
Berita Harian X