Selasa, 3 Oktober 2017 | 12:00pm
Projek kerjasama Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) bukti hubungan rapat dan saling mempercayai antara Malaysia dan China.

Hidup bersama secara aman teras hubungan

EMPAT tahun yang lalu, Presiden Xi Jinping melakukan lawatan negara pertama ke Malaysia. Negara ini yang memiliki tarikan mempesonakan di Asia selain menjadi destinasi penting di Jalan Sutera Maritim Purba hingga lima kali dikunjungi Laksamana Zheng He (Cheng Ho).

China dan Malaysia mempunyai hubungan mendalam selama seribu tahun. Negara ini adalah anggota ASEAN pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China. Kedua-dua negara telah memupuk kemesraan dan kepercayaan antara satu sama lain. Malaysia juga umpama tanah air bagi lebih tujuh juta warga Cina yang mempunyai hubungan budaya unik dengan negara China. Lawatan Xi Jinping ke Malaysia melakar sejarah hubungan China-Malaysia yang mencapai tahap perkongsian strategik yang komprehensif untuk mempromosi kerjasama rapat ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai duta besar China ke Malaysia ke-14, saya bersyukur tiba di Malaysia dalam 100 hari selepas lawatan Presiden Xi. Mengikuti pelan tindakan dilakar oleh pemimpin kedua-dua negara untuk mempromosi dan melaksana kerjasama, saya menyaksikan perkembangan hubungan dua hala yang komprehensif dan pantas ke tahap terbaik dalam sejarah dan sentiasa mendahului hubungan China dengan anggota ASEAN lain. Dalam tempoh empat tahun lalu, kerjasama menang-menang antara kedua-dua negara terus memaju ke tahap baru. Dari segi politik, ekonomi, budaya dan keselamatan, hubungan dua hala diperkukuhkan secara matang, stabil, komprehensif dan pantas.

Perhubungan peringkat tinggi semakin rapat membawa kepada rasa saling percaya yang semakin mendalam. Ini berikutan kunjungan lebih daripada 10 pemimpin dari parti, kerajaan dan tentera China, termasuk Perdana Menteri Li Keqiang, Hu Chunhua, Meng Jianzhu, Liu Yandong, Xu Qiliang, Yang Jiechi dan Wang Yong. Kekerapan kunjungan delegasi peringkat tinggi mencapai hampir setiap bulan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah lima kali melawat China dalam tempoh empat tahun, manakala banyak pemimpin Malaysia termasuk bekas Yang di-Pertuan Agong Al Marhum Sultan Abdul Halim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan lain-lain juga melakukan lawatan.

Pemimpin kedua-dua negara sering bertemu berikutan hubungan China-Malaysia semakin kukuh. Kedua-dua pihak sentiasa berpegang teguh pada dasar saling menghormati dan saling percaya umpama sahabat untuk membincangkan cara menangani isu sensitif dan perbezaan pandangan supaya mencegah campur tangan pihak asing.

Persahabatan di antara kedua-dua negara telah diperkukuhkan dalam perayaan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik, dan menjadi semakin mendalam selepas menangani bersama tragedi pesawat MH370, isu banjir dan cabaran lain. Pemimpin kedua-dua negara itu telah berulang kali mengatakan bahawa hubungan China-Malaysia adalah yang terpenting antara hubungan luar negara. Kedua-dua negara saling bergantung antara satu sama lain sebagai jiran yang baik, rakan baik dan sahabat baik yang dapat membangun bersama.

Kerjasama pragmatik dan kesalinghubungan amat diperkembangkan, yang mana China sentiasa mengamalkan prinsip kesaksamaan serta untung bersama, dan menjadikan kemanfaatan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia sebagai matlamat penting.

Malaysia adalah salah satu rakan dagang China yang paling penting, apabila China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan dua hala setahun bernilai hampir AS$100 bilion (RM422.17 bilion). Persetujuan kerajaan China untuk mengimport minyak sawit Malaysia tanpa mengehadkan telah memberi manfaat kepada beribu-ribu penanam. Rundingan import sarang layang-layang tanpa memprosesnya dari Malaysia ke China kini sedang dilakukan, dan akan memberi manfaat kepada beratus-ratus orang dalam industri ini.

China adalah rakan kongsi utama sektor pembinaan Malaysia selama bertahun-tahun, dan telah menjadi sumber pelaburan asing terbesar dalam industri pembuatan menjelang akhir 2016. Dengan sumber kewangan dan teknologi yang kuat, strategi kerjasama bersesuaian dan perkhidmatan selepas jualan yang baik, perusahaan China banyak memberi dorongan kepada perkembangan ekonomi Malaysia.

Pada Ogos tahun ini, saya menyaksikan bahawa ramai penduduk tempatan amat bersuka hati dan berminat dengan pembentangan model ketika Majlis Pecah Tanah Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL). Ramai orang memohon mengikuti Kursus Latihan Kemahiran Rel China-Malaysia.

Perlu dinyatakan bahawa Malaysia memberi tindak balas terawal antara negara sekeliling untuk inisiatif 'Belt and Road' dan juga salah satu negara yang mendapatkan hasil awal yang paling produktif. Taman industri Qinzhou dan Kuantan mencipta satu cara baru bagi kerjasama keupayaan penghasilan.

Malacca Gateway, ECRL, saluran paip gas Sabah, saluran paip minyak Semenanjung dan projek penting lain dijalankan dengan lancar. Syarikat China sedang menyediakan bidaan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur- Singpura.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Jack Ma telah melancarkan Kawasan Perdagangan Bebas Digital Malaysia. Geely dan PROTON bekerja sama untuk memulihkan jenama kereta domestik Malaysia. Projek aset nuklear EDRA, loji minyak Hengyuan, loji kaca Xinyi dan projek lain-lain mendorongkan pembangunan ekonomi dan penaiktarafan industri Malaysia.

Hubungan perkongsian strategik lebih gemilang

Rangkaian saling hubungan di laut dan udara disempurnakan dengan seluruhnya. Perikatan Pelabuhan China-Malaysia telah diwujudkan manakala penerbangan langsung secara beransur-ansur berkembang bahawa 11 laluan baru akan dibuka dalam tahun ini.

Kedua-dua negara akan memperluas tukaran wang dan kerjasama kewangan dengan penubuhan Bank Kliring Renminbi dan cawangan Bank Pembinaan China(CCB) di Malaysia.

Kedua-dua negara juga menjalinkan hubungan kuat antara rakyatnya.

Pertukaran budaya semakan aktif dengan penerbitan Empat Kesusasteraan Klasik China Terkenal dalam versi Bahasa Melayu. Pada bulan Ogos 2015, pada sesi pleno IOC di Kuala Lumpur, Beijing memenangi hak menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Universiti Xiamen menjadi universiti China yang pertama membuka kampus di Malaysia. Fasa pertama kampus universiti ini sudah siap dan pendaftaran pelajar telah dimulakan. Kampus ini akan menjadi sebiji permata di Jalan Sutera Maritim Abad ke-21. Pusat Kebudayaan China akan beroperasi di Kuala Lumpur. Malaysia telah menubuhkan konsulat Nanning dan Xi'an manakala China di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang. Untuk memudahkan lagi perhubungan rakyat, kerajaan Malaysia menyediakan perkhidmatan visa elektronik kepada pelancong China apabila Pejabat Visa China Pulau Penang ditubuhkan.

China adalah sumber terbesar pelancong asing ke Malaysia. Jumlah pelancong China tahun ini dijangka mencapai tiga juta yang membawa sekurang-kurangnya RM15 bilion pendapatan kepada Malaysia. Panda Xing Xing dan Liang Liang menjadi simbol persahabatan China dan Malaysia. Panda itu juga melahirkan anak di Kuala Lumpur. Anak panda dinamakan Nuannuan menggambarkan persahabatan kedua-dua negara.

Kerjasama keselamatan antara kedua-dua kerajaan terus mendalam untuk menghadapi cabaran bersama. 'Persahabatan dan Keamanan', latihan tentera bersama China dan Malaysia yang berjaya dijalankan, mengembangkan kerjasama tentera atas misi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana secara mendalam. Ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke China pada tahun lalu, yang pertama kali Malaysia bersetuju membeli dan bersama-sama membina empat kapal peronda China. Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pertahanan ditandatangani oleh kedua-dua pihak telah meningkatkan pertukaran dan kepercayaan antara kedua-dua angkatan itu ke peringkat tertinggi.

China dan Malaysia telah mengesahkan perjanjian bantuan keadilan jenayah dan sedang merundingkan perjanjian ekstradisi. Kedua-dua pihak berterusan meningkatkan mekanisme penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama keselamatan, memperkuat kerjasama menghadapi keganasan, memerangi penipuan telekomunikasi, anti-dadah dan keselamatan siber serta bersama-sama melindungi keamanan dan kestabilan kedua-dua negara dan serantau.

Begitu juga dalam menyelaras hal ehwal antarabangsa dan membina komuniti berjuang bersama.Kedua-dua pihak telah bekerjasama rapat dalam hal serantau dan antarabangsa, mengekalkan komunikasi serta kerjasama yang baik dalam organisasi pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan melindungi kepentingan bersama negara membangun dengan berkesan.

Terutamanya ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015, China dan Malaysia bekerjasama dengan baik di bawah kerangka China-ASEAN serta ASEAN dan China, Jepun dan Korea Selatan untuk menggalakkan pembangunan hubungan China-ASEAN, pembangunan Komuniti ASEAN, rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), pelaksanaan Deklarasi Perilaku Pihak di Laut China Selatan (DOC) dan rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC). Kedua-dua pihak telah memainkan peranan yang membina untuk menjaga keamanan dan kestabilan serantau.

Mengimbas semula perkembangan hubungan China-Malaysia dalam tempoh empat tahun, saya sangat menghargai pemimpin kedua-dua negara yang mempunyai wawasan jauh dan berganding bahu untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara melalui Prinsip Hidup Bersama Secara Aman serta pandangan dan nilai bersama yang bersifat sederhana dan harmoni. Kesamarataan, faedah bersama dan menang-menang menjadi teras yang akan terus membantu pembangunan berterusan kerjasama antara kedua-dua negara sampai bila-bila.

Persahabatan dan kemesraan mendalam rakyat adalah asas paling kukuh untuk menjamin persahabatan kedua-dua negara. Pada masa ini, China bekerja keras untuk Dua Matlamat Seratus Tahun dan Impian China manakala Malaysia juga komited kepada pelan Transformasi Negara 2050 (TN50). Kedua-dua pihak mengusahakan pembangunan bersama melalui kerjasama saling menguntungkan sejajar dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara.

Pada 18 haribulan ini, Kongres Nasional Ke-19 Parti Komunis China akan diadakan di Beijing untuk menetapkan hala tuju pembangunan dan hubungan luar negara pada masa depan. China sudi bekerjasama dengan Malaysia untuk terus melaksanakan konsensus pemimpin kedua-dua negara dan memanfaatkan sepenuhnya platform luas inisiatif 'Belt and Road' dan kerjasama keupayaan penghasilan supaya menggalakkan pertukaran dan kerjasama semua bidang dan mempromosi hubungan perkongsian strategi komprehensif secara lebih mendalam.

Melalui usaha mengeratkan kepercayaan bersama dan kerjasama yang saling menguntungkan meliputi tempoh kecemerlangan 40 tahun, hubungan China-Malaysia semakin intim bagai aur dengan tebing. Saya menaruh kepercayaan bahawa dengan semakin ramai orang yang mewarisi persahabatan China-Malaysia dan menyertai kerjasama, hubungan perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia akan menjadi lebih cemerlang dan gemilang!

Penulis ialah Duta China ke Malaysia

269 dibaca
Berita Harian X