Sabtu, 30 September 2017 | 12:03pm
DOKTOR dan pembantu perubatan Mercy Malaysia merawat pelarian Rohingya di kem Balukhali, Ukhia, Cox's Bazar di Balukhali, Bangladesh. Mereka adalah kumpulan petugas perubatan Malaysia pertama bertugas di kem dan penempatan Rohingya sejak kebanjiran etnik itu ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu. -- Foto Syed Azwan Syed Ali

Suburkan budaya sukarelawan misi kemanusiaan

PROFESION kedoktoran kini semakin mencabar kerana khidmat sebagai seorang doktor atau dikenali juga sebagai pegawai perubatan tidak lagi terhad di hospital, pusat kesihatan atau misi perubatan tertentu sahaja.

Mereka boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk bertugas di kawasan bencana membabitkan misi bantuan kemanusiaan, kecemasan dan perubatan. Bantuan sebegini adalah satu daripada aktiviti kesukarelawanan yang sangat mencabar dan juga memerlukan pelbagai persiapan secukupnya.

Pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan, kecemasan dan perubatan untuk membantu mangsa bencana alam, kemalangan dan mangsa peperangan boleh diberikan segenap lapisan masyarakat di negara kita. Orang awam sebagai sukarelawan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh terbabit menjayakan aktiviti ini sepanjang tahun, sama ada bencana berlaku di dalam atau luar negara.

Bantuan termasuk menyediakan makanan dan minuman, pakaian, kewangan, kesihatan serta perubatan, khidmat kaunseling, kepakaran menyelamat, bantuan perlindungan dan tempat tinggal.

Dalam mana-mana misi bantuan kemanusiaan dan perubatan, pasukan bantuan akan digemblengkan bersama doktor. Mereka dikumpulkan bersama dalam satu pasukan terdiri daripada pelbagai latar belakang, antaranya doktor pakar, pakar bedah, pakar psikiatrik, doktor umum, kaunselor, pembantu perubatan dan jururawat serta pegawai sukarelawan terlatih. Umumnya, doktor muda juga boleh sertai misi bantuan sebegini dan ini beri peluang menimba pengalaman berada di lapangan bencana.

Untuk misi kemanusiaan dan bantuan kecemasan antarabangsa, kehadiran doktor pakar diperlukan untuk merawat mangsa perang yang mengalami cedera teruk kesan daripada tembakan dan pengeboman. Ada ketikanya, kebanyakan mangsa memerlukan pembedahan khusus yang tidak mampu dilakukan doktor biasa dan pembedahan itu berlaku di lapangan.

Sukarelawan hadapi risiko

Dalam mana-mana misi bantuan kemanusiaan akan ada risiko untuk berlaku perkara yang tidak diingini terhadap sukarelawan yang terbabit. Risiko ini turut juga dihadapi doktor di lapangan tempat bencana berlaku.

Antaranya, terdedah kepada kemalangan, tertembak, cedera parah dan ada juga diculik pihak tertentu. Ada juga beberapa laporan sebelum ini pasukan perubatan diserang hendap atau terkena peluru sesat yang boleh menyebabkan kecederaan serius dan kematian. Perkara ini sering berlaku jika pasukan bantuan perubatan diarahkan membantu mangsa perang seperti ketika perang Serbia Herzegovina, serangan ke atas penduduk Gaza oleh Israel, perang di Afghanistan dan konflik berdarah di Syria.

Pasukan bantuan ini terdedah kepada kemungkinan buruk kepada diri dan nyawa mereka. Mereka berada di lapangan untuk memastikan beberapa bantuan keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan perubatan sampai kepada mangsa. Apatah lagi, bantuan perlu segera sampai ke tempat bencana memandangkan keperluan berkenaan boleh mempengaruhi nyawa dan kehidupan mereka.

Pelbagai penyakit berjangkit

Pasukan bantuan perubatan juga sering terdedah kepada beberapa penyakit berjangkit, terutama kawasan yang di landa ribut taufan dan banjir besar. Fasa selepas bencana ini akan ada banyak punca jangkitan penyakit akibat sistem saliran dan kumbahan yang tidak berfungsi, punca air dan makanan kotor serta bangkai binatang.

Mayat bergelimpangan juga boleh menjadi sumber penyakit berjangkit serta jangkitan boleh merebak pantas. Di sesetengah kawasan bencana juga mempunyai kurang sumber makanan dan air, jadi ini boleh menyebabkan juga pasukan bantuan perubatan dan doktor berhadapan dengan ketidakcukupan sumber makanan bersih dan air yang mencukupi.

Cirit-birit, muntah, loya, jangkitan kuman pada kulit dan badan sering terjadi kepada pasukan sukarelawan. Oleh itu, menjadi cabaran yang agak berat bagi mana-mana ketua misi bantuan perubatan memastikan semua ahli kekal sihat dan selamat sehingga sesuatu misi itu tamat.

Di samping berhadapan dengan pelbagai risiko keselamatan, doktor masih bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan perubatan khusus untuk rawatan kes ringan yang kurang serius berkaitan bencana di tempat berlaku bencana tersebut.

Ada sesetengah pasukan perubatan mempunyai klinik dan bilik bedah bergerak serta kemudahan yang lebih canggih untuk menangani kes yang berat. Kemudahan perubatan berkenaan boleh didirikan secara sementara di tempat bencana untuk menangani kes kecemasan perlukan rawatan segera.

Tidak dinafikan risiko dan cabaran sebagai ahli dalam mana-mana bantuan kemanusiaan dan perubatan agak serius kerana membabitkan keselamatan diri serta nyawa yang terdedah dengan pelbagai risiko kemalangan.

Namun, perkara ini tidak seharusnya menjadi faktor ketidaklibatan doktor yang secara sukarela membantu mangsa. Saya sendiri, sebagai doktor perubatan terbabit dengan beberapa misi bantuan perubatan dalam dan luar negeri dan mendapati, isu keselamatan ini memang dititikberatkan sejak awal misi bermula.

Pengalaman sebegini sangat berguna untuk memantapkan kemahiran menguruskan misi, menyampaikan bantuan dan memastikan mangsa menerima bantuan secukupnya. Kita perlu menggalakkan semua pihak termasuk orang awam untuk bersama-sama menghulurkan tangan dalam misi bantuan perubatan.

Setiap misi bantuan perlukan tenaga, masa, keperluan pengurusan logistik dan material bantuan untuk memastikan misi tersebut mencapai objektifnya.

Saya berasa bertuah kerana berpeluang menyertai pelbagai bentuk bantuan perubatan dan kemanusiaan yang dianjurkan bersama NGO perubatan dan kesihatan seperti Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Yayasan Ikhlas, Aman Palestin, dan pelbagai NGO lain sejak 2000.

Semoga budaya kesukarelawan dalam kalangan doktor mahupun orang awam terus subur dan mereka sanggup berada di lapangan untuk membantu mangsa.

Penulis adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) / Misi perubatan di medan konflik mencabar

161 dibaca
Berita Harian X