Jumaat, 29 September 2017 | 10:52am
Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar, Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahmah Ahmad (kanan) semasa merasmikan Fiesta Labur PNB 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) . - Foto BERNAMA

Kesepakatan syariah dalam pelaburan ASB

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam mengharuskan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) sejak 2008. Namun, Majlis Fatwa Selangor dan Pulau Pinang tidak bersetuju dengan pandangan itu.

Ini menimbulkan polemik terutama pelabur beragama Islam. Pelabur yang sensitif dengan soal halal dan haram enggan turut serta dengan skim pelaburan ditawarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Justeru, pengumuman Pengerusi PNB, Tan Sri Wahid Omar, ketika Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan Syariah PNB-Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2017 baru-baru ini sangat dialu-alukan.

Menurut beliau, kesepakatan fatwa keharusan pelaburan ASN dan ASB telah dicapai semua majlis fatwa negeri. Majlis fatwa Selangor menimbang semula fatwa mereka dan mencapai persetujuan untuk mengharuskan pelaburan itu pada 27 April 2017. Majlis fatwa Pulau Pinang capai persetujuan sama pada mesyuarat 15 Ogos 2017. Oleh itu, kekeliruan masyarakat dalam perkara ini sepatutnya tidak timbul lagi.

Melalui pelbagai instrumen pelaburan seperti skim ASN dan ASB, PNB berjaya menggembleng dana berjumlah RM266 bilion yang dimiliki seramai 11.6 juta pemegang akaun. Dana ini dimanfaatkan dengan pembelian syarikat strategik seperti Maybank, UMW Holding Berhad, Sime Darby Berhad, Projek Lintas Kota Holdings Sdn. Bhd (PROLINTAS), S P Setia Sdn Bhd dan sebagainya. Wahid menegaskan, PNB tidak akan melabur dalam perniagaan bertentangan syarak.

Perbezaan pendapat dalam kalangan ahli majlis fatwa timbul di dalam pelaburan ke atas Maybank. PNB memiliki lebih 70 peratus pegangan saham di Maybank yang juga institusi perbankan terbesar di Malaysia dan keempat di Asia Tenggara. Oleh kerana Maybank menawarkan produk kewangan konvensional dan Islamik maka persoalan timbul sama ada hasil pendapatan Maybank adalah bertepatan dengan hukum syarak?

Tambahan pula, kaedah fikah menyebut 'apabila perkara halal bercampur dengan yang haram, maka yang haram akan mengatasi yang halal'. Kaedah ini sama sekali tidak membenarkan percampuran antara dua elemen bertentangan (halal dan haram). Walau bagaimanapun, kaedah ini ada pengecualiannya di dalam praktis kewangan Islam.

Dalam membangunkan pasaran modal Islam, kelonggaran diberi kepada syarikat yang mempunyai pendapatan dari sumber halal dan haram. Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menetapkan had toleransi maksimum sumber haram sebanyak 20 peratus.

Sebuah syarikat masih diiktiraf patuh syarak sekiranya pendapatan sumber halalnya melebihi 80 peratus. Pelaburan ke atas Maybank tidak menepati kedua-dua kayu ukur yang dijelaskan iaitu kaedah fikah dan had maksimum yang diputuskan SC. Oleh sebab itu, sebahagian majlis fatwa menolak keharusan melabur dalam PNB. Sebaliknya, majoriti majlis fatwa negeri melihat isu ini dari perspektif lebih makro. Mereka tidak berhujah dengan kaedah fikah kerana berpegang kepada prinsip kaedah fikah tidak boleh dijadikan sandaran hukum atau dalil muktamad. Kaedah fikah hanya berperanan sebagai rumusan hukum dikeluarkan oleh fuqaha.

Keperluan perkembangan pasaran modal Islam

Oleh yang demikian, percampuran sumber halal dan haram tidak semestinya dilarang oleh Islam. Sebagai contoh, fuqaha silam membenarkan lelaki memakai pakaian sutera bercampur dengan kain kapas dan memakai perhiasan bercampur antara emas dan logam lain.

Cuma, fuqaha silam berbeza pandangan dalam menentukan had maksimum sumber haram yang dibenarkan. Had maksimum ditentukan berbeza dari satu isu kepada yang lain sesuai dengan data dan maklumat zaman mereka. Dalam konteks SC, had maksimum 20 peratus ditentukan setelah melihat kesesuaian dan keperluan perkembangan pasaran modal Islam negara. Had maksimum yang diputuskan oleh SC bukan perkara muktamad. Justeru, apa yang diputuskan penasihat Syariah di SC tidak semestinya sesuai dengan situasi PNB.

Menyedari hakikat ini, PNB di bawah kepemimpinan Wahid dilihat lebih agresif melakukan perbincangan dengan majlis fatwa negeri dan institusi kewangan Islam di dalam negara. Sesi perbincangan ini dilakukan untuk membentangkan data terkini pelaburan PNB dan hala tuju Maybank yang jadi subjek pertikaian.

Maybank melaksanakan polisi mengutamakan produk kewangan Islam atau Islamic first. Ini bermakna, pelanggan beragama Islam yang datang ke Maybank akan ditawarkan produk perbankan Islam terlebih dahulu. Hasilnya, aset perbankan Islamik di Maybank mencapai lebih daripada 50 peratus, iaitu pencapaian tertinggi dibandingkan bank lain.

Pencapaian ini wajar dipuji kerana ia mengatasi sasaran Bank Negara Malaysia iaitu 40 peratus pasaran perbankan Islam menjelang 2020. Maybank komited menjadi peneraju kewangan Islam di peringkat global. Kini, Maybank berada di kedudukan kelima institusi perbankan Islam terbesar di dunia. Pada pandangan majoriti pakar kewangan Islam, komitmen pengurusan PNB dan Maybank untuk memajukan industri ini perlu disokong.

Cabaran paling getir buat PNB untuk meluaskan pelaburannya di dalam industri kewangan Islam ialah kekurangan instrumen yang disediakan pihak industri kewangan Islam itu sendiri. Situasinya adalah permintaan untuk instrumen pelaburan patuh syarak melebihi penawaran yang disediakan. Oleh yang demikian, PNB dan institusi pelaburan yang lain seperti Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), KWAP dan sebagainya perlu bekerjasama untuk memacu industri kewangan Islam ke satu tahap lebih tinggi. Gabungan institusi ini perlu menggerakkan pasaran supaya lebih banyak instrumen pelaburan diwujudkan. Selain itu, dasar PNB beri keutamaan kepada aktiviti pelaburan yang beri impak sosial perlu diteruskan kerana ianya secocok dengan prinsip Islam.

Pembabitan PNB yang lebih aktif dalam industri kewangan Islam satu bonus besar. Justeru, semua pihak harus sambut baik kesepakatan majlis fatwa negeri-negeri mengenai keharusan melabur dalam ASN dan ASB.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

1189 dibaca
Berita Harian X