;
Isnin, 28 Ogos 2017 | 7:01am

Meletak pasak kepemimpinan menara ilmu

KITA berdepan dunia yang semakin kompleks dan penuh tanda tanya. Ia membawa arus perubahan yang cukup deras.

Sama ada perubahan ini membawa kebaikan atau keburukan, kita perlu bersiap sedia dengan wawasan dan perancangan rapi. Wacana Revolusi Industri Keempat seperti yang sedang hangat diperkatakan mutakhir ini, menarik perhatian masyarakat dunia dan mengundang perdebatan di negara.

Revolusi ini yang memperlihatkan penggunaan teknologi secara radikal dipercayai semakin mengubah kehidupan dan norma masyarakat. Ada pihak melihat revolusi ini akan menyaksikan teknologi ganti peranan manusia. Semakin kurang pekerjaan untuk manusia kerana beban kerja sudah boleh ditangani dengan teknologi. Malah, bentuk pekerjaan juga akan berubah dengan kemunculan bentuk pekerjaan baharu yang kita tidak jangkakan.

Bagaimanapun, ada pandangan lain yang sangat berhati-hati menyambut kemunculan revolusi ini. Mereka bertegas, teknologi sama sekali tidak boleh menggantikan manusia lebih-lebih lagi dalam usaha membangunkan sahsiah dan keperibadian insan. Mereka juga percaya teknologi hanya melengkapkan kehidupan manusia, sama sekali tidak menggantikan peranan manusia.

Kita sedia maklum bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia tidak terlepas daripada polemik Revolusi Industri Keempat ini. Malah, mutakhir ini, sudah ada label Universiti 4.0 mahupun Universiti Uber yang menggambarkan universiti kini mula bersedia menjayakan era digital dan lari daripada gaya konvensional.

Tangani cabaran akan datang

Persoalannya, apakah revolusi ini akan ubah fungsi dan peranan asal sebuah IPT atau universiti? Apakah bentuk atau skil baharu dalam kepemimpinan IPT bagi menangani arus perubahan ini? Saya percaya, dalam tempoh kita berdepan impak era digital ini, kepemimpinan IPT perlu membuat penjajaran yang bersesuaian selari dengan tuntutan semasa.

Paling asas adalah kepemimpinan IPT mesti buat perancangan teliti dengan mengambil kira bagaimana menangani cabaran akan datang bukannya terhimpit atau terfokus kepada isu semalam dan hari ini. Ketika berucap melancarkan buku Transformasi Kepemimpinan IPT di Malaysia yang diterbitkan oleh penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) baru-baru ini, saya menyentuh soal transformasi kepemimpinan IPT dalam cabaran Universiti 4.0.

Dalam hal ini, saya sempat berkongsi empat perkara penting yang menjadi pasak dan tunjang kepada kewibawaan kepemimpinan IPT dan kecemerlangan institusi. Pertama, kepemimpinan IPT perlu kekal bersandarkan kepada cirian kepemimpinan tradisi yang mengutamakan soal kesarjanaan dan kewibawaan.

Meskipun Revolusi Industri Keempat mendesak IPT mengubah pendekatan atau melakukan transformasi kepemimpinan untuk menangani perubahan, termasuk mengaplikasi skil dan pendekatan kepemimpinan baharu, ia sama sekali tidak boleh meminggirkan perkara asas dan fundamental dalam konteks kepemimpinan.

Aspek ini turut babit keupayaan seseorang pemimpin untuk memimpin, mengurus dan menjadi inspirasi kepada ahli akademik dan warga institusi yang lain. Dalam kata lain, pemimpin IPT wajar secara berterusan menuntut ahlinya mementingkan aspek kesarjanaan, kejituan dan kecemerlangan dalam semua perkara.

Kedua, kepemimpinan IPT perlu berupaya mengurus bakat menerusi pendekatan kerjasama dan komunikasi yang lebih berkesan. Meskipun era digital banyak memberi fokus kepada penggunaan teknologi, bakat akademik yang ada di IPT perlu diupayakan kerana merekalah katalis kecemerlangan IPT dan negara.

Selain itu, ekosistem pekerjaan juga berubah kepada ekosistem digital apabila tidak lagi memerlukan infrastruktur fizikal yang konvensional seperti pejabat. Melalui ekosistem digital, manusia boleh bekerja di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Justeru, pemimpin IPT perlu memahami mobiliti atau pergerakan ahli akademik yang semakin kompleks dan berbeza dengan kumpulan penjawat awam lain.

Sebagai contoh, pergerakan bakat atau ahli akademik wajar diuruskan dengan sebaik mungkin, iaitu melihat peranan yang boleh dijayakan mereka, termasuk di luar pagar universiti khususnya dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

IPT kekal menara ilmu

Ketiga, kepemimpinan IPT perlu menitikberatkan soal integriti dan tanggungjawab beretika. Kepemimpinan IPT yang berintegriti dan beretika adalah kunci kepada kejayaan dan kecemerlangan IPT. Ini termasuk tidak berkompromi dalam soal peranan dan nilai dipegang oleh institusi. Nilai yang kita perjuangkan ini, termasuk meneroka ufuk ilmu, memperjuang kebenaran ilmu dan mengaplikasi konsep ihsan yang utamakan soal kesempurnaan dan kecemerlangan setiap pekerjaan.

Keempat, kepemimpinan IPT perlu bijak mengurus dan menghargai kepelbagaian. Dalam hal ini, kepemimpinan IPT tidak wajar alergi terhadap perbezaan pandangan, sebaliknya menjadikan perbezaan itu sebagai jalan untuk mencari jawapan yang lebih jitu dan tepat. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dan keupayaan kita mengurus perbezaan inilah yang akan menjadikan kita seorang pemimpin yang lebih baik dan bijaksana.

Transformasi kepemimpinan yang mengambil kira empat cirian seperti dijelaskan tadi mampu memimpin IPT masing-masing berdepan perubahan dan menjamin aspirasi universiti kekal sebagai menara ilmu. Kemunculan Revolusi Industri Keempat ini tidak boleh menjadi alasan untuk kita membuat sesuatu perkara yang boleh mengubah fungsi asal universiti sebaliknya memperkasakannya dengan acuan sendiri.

Penulis: Penasihat Sains kepada Perdana Menteri / Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN)

439 dibaca
Berita Harian X