Jumaat, 14 Julai 2017 | 9:23am

Perkara 181 (1) perkukuh kedaulatan Raja

Ketua Lajnah Kajian Strategik, Majlis Ittihad Ummah

Dalam rencana bertajuk 'Tafsiran Kedaulatan Negara' sudah dijelaskan bahawa kedaulatan Malaysia adalah berpaksi pada kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti dijelaskan oleh Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Dapatan menunjukkan bahawa peruntukan, 'sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas' dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan digubal atas premis kedaulatan Raja-Raja Melayu menurut adat Melayu.

Kedudukan itu disahkan dalam terma Perjanjian Negeri 1948 dan Laporan Jawatankuasa Khas Perlembagaan 1946. Konsep Kedaulatan Watan Suatu Pengenalan (2017) menghuraikan kedaulatan Raja-Raja Melayu menurut adat Melayu dan menamakannya sebagai kedaulatan watan.

Rencana ini bertujuan untuk menilai implikasi syarat pemakaian Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan yang termaktub pada permulaan ayat, iaitu, 'Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini' kepada konsep kedaulatan watan. Kedaulatan seperti ditakrifkan oleh Curzon (2007) adalah konsep politik dan perundangan berkaitan kekuasaan agung dalam sebuah negeri.

Kerangka kedaulatan seperti dikemukakan dalam Konsep Kedaulatan Watan Suatu Pengenalan (2017) terdiri daripada aspek sumber dan ciri-ciri. Sumber bermaksud pemilik kuasa kedaulatan dan pihak yang berkuasa untuk menurun kuasa kedaulatan. Ciri-ciri pula terbahagi kepada dua sisi; bentuk dan sifat.

Bentuk kedaulatan

Bentuk kedaulatan itu menjelaskan sama ada kedaulatan sesebuah negeri atau negara itu dalam bentuk mutlak atau pengamanahan, manakala sifat kedaulatan itu adalah unsur-unsur bersekutu dengan bentuk kedaulatan, sama ada agama, ideologi, objektif dan seumpamanya.

Justeru, implikasi syarat pemakaian Perkara 181(1) boleh disoroti melalui dua sudut, iaitu; peruntukan berkaitan ciri-ciri kedaulatan dan prinsip perlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bentuk kedaulatan Malaysia boleh dijelaskan secara ringkas melalui Perkara 38 bahawa Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja dan tertakluk pada sumpah berjawatan seperti Jadual 4 di bawah Perkara 37.

Ia membuktikan pemilihan dan jawatan Yang di-Pertuan Agong itu adalah satu pengamanahan, tidak berkuasa secara mutlak. Penjelasan sifat kedaulatan negara secara tuntas diperuntukkan oleh Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Meskipun Perkara 3(4) memperuntukkan, 'Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini', sumpah Yang di-Pertuan Agong yang dimulai dengan kalimah suci Wallahi, Wabillahi, Wallahi mengukuhkan Islam sebagai sifat kedaulatan Malaysia.

Sumpah ikrar

Sebagai tambahan, sumpah Yang di-Pertuan Agong mengandungi ikrar, 'Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri' secara muktamad menafikan sebarang sifat kedaulatan dalam kerangka perlembagaan tanah air selain Islam.

Keseluruhan sumpah Yang di-Pertuan Agong itu adalah seperti berikut: 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi, maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyhurkan dan akan disah dan dimasyhurkan pada masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.'

Ciri-ciri kedaulatan negara Malaysia yang dinukil daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan diikat melalui ayat, 'Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini,' dalam Perkara 181(1) bolehlah disimpulkan seperti berikut: Islam sebagai agama bagi Persekutuan; Raja-Raja Melayu adalah ketua agama di negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri tidak beraja; Kebebasan untuk mengamalkan agama secara aman bagi orang bukan Islam; Kebebasan beragama bagi orang Islam dan hak untuk menyebarkan ajaran Islam ke seluruh bahagian Persekutuan; Sekatan terhadap pengembangan ajaran agama lain dan doktrin sesat dalam kalangan orang Islam; Jaminan pengekalan hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kehormatan Raja-Raja Melayu dan bidang kuasa Majlis Raja-Raja; Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama bagi Persekutuan dan mempunyai lain-lain kedudukan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan; Ketinggian sumpah Yang di-Pertuan Agong; Yang di-Pertuan Agong pemegang kuasa eksekutif; Aspek Persendirian (personal law) Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri dan aspek awam (public law) Islam terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Seterusnya, prinsip Perlembagaan secara ringkasnya adalah penjelasan terhadap pelaksanaan kedaulatan sesebuah negara dalam bidang kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan didapati tidak menyekat pelaksanaan kedaulatan watan bersumberkan Islam dan berdasarkan prinsip syariat Allah SWT.

Peruntukan berkaitan kuasa- eksekutif, legislatif dan kehakiman hanya menunjukkan bentuk dan tatacara bagaimana bidang kuasa tiga badan itu perlu diuruskan.

Justeru, didapati syarat pemakaian Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan itu mengukuhkan ciri-ciri kedaulatan watan dan menjelaskan bagaimana konsep itu dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

939 dibaca
Berita Harian X