Selasa, 15 Mei 2018 | 9:53am
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bergambar kenangan bersama golongan pendidik pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2018 di Dewan Warisan, Kangar, pada Selasa. - Foto BERNAMA

Budi guru, pensyarah tidak bertepi

TANGGAL 16 Mei dipilih untuk meraikan kalangan pendidik dan dinanti-nantikan oleh guru di seluruh negara. Tentu ia juga menjadi hari yang manis dan membahagiakan guru apabila murid atau pelajar hadir dengan ucapan dan hadiah sebagai menghargai pengorbanan guru.

Pemberian hadiah tentu bukan sesuatu yang penting, namun lebih dari itu, mereka disantuni dengan hormat dan berbudi bahasa.

Selepas kedua-dua ibu bapa, guru ialah insan yang perlu dihormati lantaran mereka bergelut dengan dunia mendidik, serta membangunkan akhlak dan ilmu anak didiknya.

Sekitar tahun 1960-an selepas tanah air menikmati kemerdekaan hingga melangkaui 1970-an, insan bernama guru menjadi individu rujukan dan penasihat dalam pelbagai hal, terutama di kampung.

Walaupun zaman sudah berubah, golongan ini tetap perlu dihargai dan dikenang jasa budi yang ditaburkan mereka. Bukan siapa-siapalah diri kita ini seandainya tiada insan mulia itu membimbing, mengajar, mendidik, menasihat, malah memahami pelbagai sudut masalah kita sebagai anak didik.

Mereka berbakti bukan sahaja di bandar dan desa, malah di kawasan pedalaman yang serba kekurangan infrastruktur dan murid-murid yang dilatari kemiskinan. Namun, keikhlasan menjadi senjata yang ampuh dimiliki mereka untuk kekal bersemangat mendidik anak bangsa.

Jalan masa depan

Begitulah hebatnya seorang guru sebagai penunjuk jalan masa depan seseorang murid atau pelajar yang disayanginya menggenggam kejayaan. Mungkin kaedah atau pendekatan dulu yang dianggap lebih autokratik dan menghukum tidak sesuai lagi pada masa kini.

Pendekatan kasih sayang sememangnya dianggap berhemah dalam membentuk akhlak pelajar. Pada peringkat sekolah rendah, pembangunan sahsiah perlu ditekan secara serius berbanding peperiksaan.

Setiap murid atau pelajar berhak mendapat didikan sama rata. Saya berpendapat pendekatan meletakkan pelajar sastera di kelas akhir tidak relevan. Pelajar sastera juga memiliki kreativiti yang tidak boleh dipandang.

Justeru, sekolah seluruh negara perlu memberi peluang kepada semua pelajar menikmati subjek yang menarik ini. Setiap pelajar memiliki potensi diri yang berbeza mengikut kemampuan koginitif, psikomotor dan afektif mereka.

Wujud kecenderungan pelajar yang meminati kepemimpinan, pengucapan awam, kesenian, penulisan, sukan, kebajikan dan lain-lain.

Pensyarah juga pendidik

Namun, selain guru yang mencurahkan ilmu dan mendidik murid dan pelajar di sekolah rendah dan menengah, pada peringkat pendidikan tinggi pula, kalangan pensyarah atau kalangan akademia tidak kurang pentingnya.

Pensyarah di universiti menjadi pendidik yang bertanggungjawab menyemai keilmuan dan intelektual dalam kalangan mahasiswa dengan bebanan tugas yang merentas pembelajaran dan pengajaran, penerbitan jurnal dan buku, pengkomersialan produk hasil kajian, penyelidikan universiti dan geran luar, malah tanggungjawab sosial yang merenggut masa bersama-sama keluarga.

Selain itu, pensyarah juga berperanan menjadi penasihat akademik kepada sekumpulan pelajar, menjadi penasihat persatuan dan program universiti, memegang jawatan di pusat tanggungjawab dan kecemerlangan, membentangkan kertas kerja pada peringkat nasional dan antarabangsa, menyelia pelajar pascasiswazah, program pengantarabangsaan, kebajikan mahasiswa, serta menjadi penilai tesis.

Malah, ada juga yang dengan penuh kesukarelaan hati menjadi felo kolej kediaman untuk menjaga kebajikan pelajar dan membantu menjayakan program termasuk yang berimpak tinggi.

Pada hari konvokesyen yang bersejarah, ada ibu bapa yang syahdu tergenang air mata mereka lantaran kegembiraan menyaksikan kejayaan anak mereka.

Ada juga suami atau isteri yang tidak tertahankan air mata menatap isteri atau suami mereka melangkah di atas pentas menggenggam segulung sarjana atau doktor falsafah selepas sekian lama menghadam falsafah suka duka bersama.

Terima kasih atas segala penghargaan diberi pelbagai pihak terhadap guru atau pensyarah sebagai insan pendidik yang pengorbanan mereka tidak bertepian.

Guru dan pensyarah tetap insan istimewa, ibarat kartika di malam hari.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris

829 dibaca
Berita Harian X