Selasa, 17 April 2018 | 8:11am

Rakyat sejahtera mampu pacu tamadun bangsa

KESEJAHTERAAN rakyat banyak bergantung kepada kehidupan aman dan damai.

Kelangsungan hidup dengan pendapatan yang baik dan kemewahan dalam kehidupan berbanding zaman sebelum merdeka perlu diteruskan dengan mandat dan sokongan rakyat sebagai pengundi.

Malaysia maju dan sejahtera adalah petunjuk ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2050. Transformasi Nasional 2050 (TN50) memberi harapan kepada rakyat untuk bersama-sama memacu Malaysia menjadi setanding negara maju lain.

Langkah membina negara maju dan sejahtera adalah dengan mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Kestabilan juga dapat dicapai dengan melaksanakan program ekonomi dan program sosial merentasi kaum, kawasan serta latar belakang kehidupan rakyat.

Membina ekonomi berasaskan pengetahuan dapat diwujudkan dengan cara memberi perhatian serius terhadap usaha yang bertujuan meningkatkan produktiviti, kreativiti dan inovasi serta fokus kepada bidang yang mempunyai daya saing lebih kuat.

Usaha meningkatkan daya usaha manusia memerlukan program penelitian dan pembangunan; penguasaan sains dan teknologi serta penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Semua itu lebih digalakkan dalam kalangan anggota masyarakat agar mereka mampu menghasilkan ciptaan, produk, pendapatan dan kejayaan baharu.

14 teras Manifesto

Lantaran itu, 14 teras Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meliputi semua langkah ke arah kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.

Ia meliputi ekonomi yang menjurus kepada keperluan rakyat, perumahan, pemacu modal insan, keselamatan, generasi muda pewaris masa hadapan, memperkukuh pembinaan negara bangsa serta mengutamakan kesejahteraan sosial dan kualiti hidup rakyat.

Dalam hal ini, rakyat harus memahami tujuan ke arah membina negara maju dan sejahtera adalah seiring dengan pembinaan tamadun serta peradaban bangsa.

Kegemilangan sesebuah tamadun bangsa juga dapat dilihat dari segi pembangunan serta penciptaan teknologi yang seterusnya berkembang dalam tamadun sesebuah bangsa dan negara.

Langkah memperkukuh asas ekonomi negara dengan kemampanan dan kemakmuran serta mencipta bidang pertumbuhan baharu dapat dicapai melalui bioteknologi dan pertanian moden.

Bidang lain seperti pendidikan, pelancongan, kesihatan, kewangan Islam dan pemasaran makanan halal adalah potensi besar untuk menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu pada masa akan datang.

Selain itu, tatacara yang tersusun dalam pentadbiran dan perekonomian akan memakmurkan kehidupan rakyat yang mendorong kepada kemuncak kegemilangan bangsa dan negara.

Zaman kegemilangan sesebuah tamadun dapat diperhatikan melalui pencapaian luar biasa dalam pelbagai bidang, termasuk kesenian, kesusasteraan, pemikiran serta falsafah.

Kesejahteraan rakyat juga banyak bergantung kepada usaha kerajaan meningkatkan kualiti hidup masyarakat seperti menyediakan kemudahan perumahan dan kesihatan lebih baik; maklumat dan komunikasi, pendidikan serta kemudahan elektrik dan air bersih terutama di kawasan pedalaman.

Rakyat sebagai pengundi sewajarnya memahami perkara itu bagi menyokong usaha kerajaan ke arah mewujud dan membina negara yang maju dan sejahtera.

Idea transformasi dan dasar pembangunan negara perlu mendapat dokongan rakyat bagi diterjemahkan dalam realiti kehidupan pada masa akan datang.

188 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »