Rabu, 7 March 2018 | 9:12am
PENGUNDI kini lebih bijak menilai prestasi calon pilihan untuk mewakili suara mereka. - Foto hiasan

Pemimpin pembangkang pindah kerusi 'selamat' tak semesti selamat

SPEKULASI pemimpin pembangkang meninggalkan kerusi disandang sekarang untuk berpindah ke kerusi selamat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mula kedengaran, seolah-olah mereka sudah sedar akan dihukum pengundi kerana gagal menjalankan tanggungjawab seperti dijanjikan dalam manifesto PRU-13.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan mahu berpindah kerusi ditandingi dan sudah menawarkan kerusi Parlimen Gombak, Selangor yang disandangnya kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Begitu juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang khabarnya bakal meninggalkan kerusi Parlimen Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang. Ada juga khabar angin Nurul Izzah akan berpindah ke Parlimen Gelang Patah, Johor. Jika ini berlaku, penyandang kerusi Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP pastinya mencari kerusi baharu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan berpindah kerusi ke Parlimen Muar, Johor bukan lagi Parlimen Pagoh yang disandangnya selama lima penggal.

Dr Mahathir yang dinamakan sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan juga pastinya akan bertanding semula dan belum memuktamadkan kerusi untuk ditandingi. Tidak mungkin Dr Mahathir boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika tidak memenangi kerusi Parlimen kerana belum ada dalam sejarah seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Dewan Negara atau Senator.

Teka-teki Tun M

Dalam konteks ini, beliau seharusnya kembali ke kerusi yang pernah diwakilinya, iaitu Parlimen Kubang Pasu, Kedah dan mengelak membuatkan masyarakat berteka-teki sama ada beliau bertanding kerusi Parlimen Langkawi (Kedah), Putrajaya atau Kubang Pasu.

Angin spekulasi terus bertiup kencang berikutan ketegangan antara PKR dengan Parti Amanah Negara (PAN) membabitkan pembahagian kerusi yang dikatakan membuka ruang kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertanding di Selangor, sekali gus dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohamed Azmin. Jika ini berlaku, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah pastinya meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di Kedah dan mencari mana-mana kerusi selamat di Selangor.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ketika diminta mengulas sikap pemimpin pembangkang yang kerap berpindah kawasan menyifatkan mereka sebagai pengecut dan takut dihukum pengundi yang gagal dibela.

"Kenapa perlu lari? Takut dihukum pengundikah kerana gagal membela nasib mereka dalam tempoh lima tahun selepas memenangi kerusi berkenaan? Banyak berjanji tetapi dimungkiri. Inilah kerja pembangkang. Berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menepati janji.

"Saya percaya aliran yang biasa dilakukan pemimpin pembangkang ini akan berterusan dalam PRU-14. Ini tidak sukar dibaca kerana sekarang pun kedengaran ramai yang akan berpindah kerusi yang dirasakan lebih selamat," katanya.

Muhammad Taib berpendapat mereka hendaklah kekal bertanding di kerusi yang disandang sekarang dan sepatutnya tempat mereka bertanding dalam PRU-13, di situlah juga bertanding dalam PRU-14.

Katanya, ada muslihat yang menyebabkan mereka berbuat demikian dengan setiap kali pilihan raya mesti bertukar kerusi yang satu faktornya ialah pemimpin terbabit bimbang akan kalah. Beliau berkata, selepas diberi mandat memenangi kerusi berkenaan, mereka mengabaikan kebajikan dan kehendak rakyat di kawasan berkenaan dan apabila dekat pilihan raya baharu datang.

"Rakyat tidak 'buta'. Mereka tahu pemimpin prihatin atau hanya pandai bercakap tetapi tidak bekerja. Bila melihat sokongan semakin berkurangan, peluang untuk menang tipis, mereka mencari kerusi lain dan menabur janji pula di kawasan berkenaan untuk mendapatkan undi," katanya.

Belum berani

Lihat sahaja Ketua Ahli Parlimen DAP, Kita Siang yang merata-rata sudah bertanding. Hanya beliau belum berani mencuba nasib di Sabah dan Sarawak. Kit Siang menjadi Ahli Parlimen Bandar Melaka, Melaka pada 1969 hingga 1974 dan apabila kerusi itu ditukar nama kepada Kota Melaka, beliau juga menjadi wakil rakyat pada 1974 hingga 1978.

Ini disusuli Petaling Jaya, Selangor pada 1978 hingga 1982, kembali ke Kota Melaka pada 1982 hingga 1986, Tanjong, Pulau Pinang (1986 hingga 1999), Ipoh Timur, Perak (2004 hingga 2013) dan kini Gelang Patah, Johor (2013 hingga sekarang). Beliau juga mewakili pelbagai kawasan DUN antaranya DUN Kubu, Melaka (1974-1982), Kampong Kolam, Pulau Pinang (1986-1990) Padang Kota, Pulau Pinang (1990-1995).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him yang keluar dari DAP pada Februari 2017 ketika dihubungi mengesahkan tidak lagi bertanding dalam PRU-14.

"Cukuplah saya menjadi wakil rakyat sejak 1986 di peringkat Parlimen dan DUN. Sekarang masa berehat dan bermain dengan cucu. Saya juga tidak lagi mahu memikirkan politik. Saya tidak lagi mahu bertanding dalam pilihan raya mewakili mana-mana parti atau calon Bebas," katanya.

Tong Him memenangi kerusi DUN Tranquerah atas tiket DAP pada 1986. Beliau memenangi kerusi itu dua penggal dan kemudian ditukar nama kepada Tengkera dan kini Kesidang. Tong Him kemudian bertukar kerusi ke DUN Bandar Hilir, Melaka pada 1995 dan memenanginya sehingga 2004.

Presiden PAN, Mohamad Sabu pula bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum 1986 dan tewas. Kemudian mencari kerusi di Kelantan dengan memenangi kerusi Parlimen Nilam Puri pada 1990, dan pada 1995 menang kerusi Parlimen Kubang Kerian.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kedah, Kedah pada 1999 dan memenanginya, tetapi tewas di Kuala Terengganu, Terengganu dalam Pilihan Raya Umum pada 2008. Bagi PRU-14, bekas Timbalan Presiden PAS itu belum memuktamadkan kerusi bakal ditandingi tetapi dikaitkan dengan Parlimen Kuala Kedah.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub pula pernah berpindah kerusi dari Parlimen Kubang Kerian di Kelantan ke Parlimen Pulai di Johor dalam PRU-13, selain Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya juga di Johor.

Begitulah kekerapan pemimpin pembangkang bertukar-tukar kerusi untuk mencari kawasan selamat atau kononnya mahu menawan kerusi dikuasai BN, namun ramai dalam kalangan mereka kecundang.

2400 dibaca
Berita Harian X