Khamis, 1 March 2018 | 6:29am
GAMBAR hiasan - dari kanan; Datin Farah Haryani , Datuk Siti Nurhaliza , Bella Dally, dan Fara Fauzana pada majlis Ariani Hijab Run 2016 dan pelancaran rangkaian koleksi sukan Ariani Active di Jakel Mall. - Foto Mahzir Mat Isa

Hijab bukan sekadar fesyen tutup kepala

Beriman bahawa Islam adalah satu pegangan hidup yang syumul atau sempurna adalah perkara asas dalam keimanan kita sebagai seorang Muslim.

Islam itu bukanlah kepercayaan atau pakaian luaran semata-semata, tetapi adalah satu keimanan yang diterjemahkan dalam bentuk kepercayaan, percakapan juga perbuatan.

Sebab itulah dalam Islam, ada ilmu aqidah yang menyentuh kepercayaan, fiqah yang menyentuh perbuatan dan juga tasawwuf atau akhlak yang menyentuh hati dan tingkah laku kita.

Mengabaikan satu daripada perkara itu adalah satu bentuk sekularisme yang akhirnya membawa kepada ketidaksempurnaan iman seseorang. Begitu juga berkaitan semua suruhan atau perintah di dalam Islam, sepatutnya memberi kesan menyeluruh dalam peribadi manusia.

Contohnya, solat bukan sekadar ibadat yang menyelesaikan tanggungjawab kewajipan semata-mata, namun sepatutnya ia turut mempengaruhi sudut lain iaitu tingkah-laku, kepercayaan serta akhlak selepas itu.

Sebab itulah Allah SWT menyebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar". (Surah al-Ankabut: 45)

Isnin lalu, kita dikejutkan dengan pelancaran produk oleh jenama hijab yang agak terkenal di sebuah kelab malam yang secara jelas menghidangkan arak dan pusat maksiat.

Ia adalah perkara amat menyedihkan kerana secara jelas menunjukkan bagaimana mereka gagal memahami dan menghayati Islam itu dalam maksud yang sebenar, namun ia bukanlah perkara baharu.

Kebelakangan ini kita mula melihat hijab itu dilihat sebagai satu 'fesyen' semata-mata, ada yang pakai hijab dengan pakaian yang ketat, bahkan ada yang pakai hijab dalam keadaan aurat jelas terbuka.

Seperti kita fahami bahawa ibadat (kebaikan) itu bukanlah datang dalam bentuk terpecah-pecah, begitulah juga sepatutnya dihayati dalam hijab.

Tudung atau hijab tidak sepatutnya difahami sekadar satu kain yang menutup kepala semata-mata, tetapi ia sepatutnya membentuk bersama akhlak, kepercayaan serta tingkah laku yang tersendiri selepas itu.

Dinding pelihara peribadi

Hijab bukanlah sekadar pakaian, tetapi satu dinding yang memelihara peribadi dan masyarakat sekelilingnya daripada jatuh ke dalam lembah fitnah iaitu maksiat.

Hijab adalah mekanisme yang diketengahkan oleh syariat Islam untuk memelihara kemaslahatan masyarakat itu sendiri seperti mekanisme lain, contohnya menjaga pandangan serta menjaga ikhtilat (lelaki dan wanita) dan lain-lain.

Jadi, apabila hijab dipakai bersama kefahaman itu, ia sepatutnya melahirkan akhlak yang lainnya seperti malu, memelihara kehormatan diri, kesucian bahkan keimanan itu sendiri.

Sebab itulah Allah SWT apabila berbicara mengenai soal hijab, ia dibicarakan bersama sifat lainnya kerana itulah nilai yang sepatutnya dihayati saat hijab itu mula disarungkan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka". (Surah al-Nur:31)

Pembuat dan pemakai hijab hari ini sepatutnya sentiasa memperbetulkan kembali apa yang mereka mahukan daripada pemakaian hijab. Hijab sepatutnya mengangkat serta memuliakan martabat wanita, bukan menjatuh serta menghilangkan kehormatan pada diri seorang wanita itu.

Tiada masalah untuk mencantikkan hijab itu, tetapi ia hendaklah masih lagi memenuhi ciri syarak serta mengekalkan fungsi atau tujuan (maqasid) daripada kefarduan hijab itu sendiri.

Seperti satu hadis yang menyebut: "Tidak akan berzina atau mencuri seseorang dalam keadaan padanya iman, begitu jugalah seorang wanita itu tidak mungkin melakukan maksiat dalam keadaan dia berhijab dengan kefahaman yang benar kerana hijab itu adalah salah satu lambang keimanan".

Hijab sebenarnya salah satu kunci penyelesaian kepada segala permasalahan sosial yang sedang kita hadapi dalam masyarakat hari ini, tetapi ia menuntut kepada kefahaman dan penghayatan yang sebenar.

Islam itu hadir untuk mengangkat kemuliaan diri kita. Mengapa kita masih lagi ingin terus selesa dan terus memaksa diri kita duduk dalam lembah kehinaan?

Penulis adalah Pegawai Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

5229 dibaca
Berita Harian X