Jumaat, 23 Februari 2018 | 7:34am
- Gambar hiasan

Sekat kebanjiran berita, maklumat palsu

Ancaman 'berita palsu' semakin menular sehingga menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysa tetapi juga di seluruh dunia. Negara besar seperti Jerman, Perancis, Itali, United Kingdom dan juga Amerika Syarikat sendiri memulakan usaha membendung penyebaran berita palsu.

Dalam era globalisasi dan maklumat di hujung hari, cabaran yang dihadapi berbeza dengan zaman sebelum ini. Jika dahulu, cabarannya ialah kekurangan maklumat dan medium penyebaran.

Cabaran pada masa kini pula sebaliknya, iaitu lambakan maklumat sehingga tidak dapat ditentukan kesahihan terhadap maklumat yang disebarkan itu. Ada juga maklumat yang bukan sahaja separuh masak, malah palsu sama sekali secara sengaja disebarkan bagi tujuan 'flooding' yang bertujuan untuk menenggelamkan berita sahih dan seterusnya mengelirukan pembaca.

Selain itu, kita juga berdepan dengan kemajuan teknologi dengan pelbagai aplikasi media sosial yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Melalui plat- form terkini dan canggih inilah maklumat disebarkan, tetapi malangnya apabila banyak pihak menyalahguna dengan membuat sebaran berita dan maklumat palsu yang tidak ditentu sahih.

Tiada peruntukan undang-undang

Cabaran ini bertambah parah apabila kebanyakan aplikasi media sosial ini dimiliki oleh syarikat penyedia perkhidmatan yang berpusat di negara luar yang buat masa ini tiada peruntukan undang-undang di negara kita yang boleh mengarahkan penyedia perkhidmatan itu memadamkan atau menurunkan, pautan berita dan maklumat palsu dimuatnaik.

Pada masa sekarang, mangsa sebaran berita palsu boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa, tetapi proses siasatan dan pendakwaan memakan masa yang lama, dan perkara ini pun hanya tertakluk kepada suspek yang boleh dikenal pasti sahaja.

Isu yang lebih meruncing ialah tindakan memuat naik dan menyebarkan berita palsu yang dibuat dengan menggunakan akaun laman sosial palsu, tidak bernama, menyamar atau yang tidak mampu dikesan pemiliknya.

Jadi, di sinilah keperluan satu peruntukan undang-undang baharu yang menyeluruh dan mapan bersesuaian dengan keperluan semasa dan kepesatan bidang teknologi maklumat.

Jika fenomena berita palsu ini tidak dibendung, ia terbukti boleh memberi kesan kepada perniagaan sehingga memberi kerugian.

Jatuh aib selebriti

Golongan selebriti juga tidak terkecuali menjadi mangsa berita palsu yang mampu mengaibkan dan menjatuh mereka seperti penularan fitnah berita ditangkap khalwat yang pernah dialami oleh Neelofa, Aaron Aziz, Aiman Tino dan Mia Ahmad yang mungkin mampu mengganggu periuk nasi mereka sebagai artis ataupun selebriti terkenal.

Lebih memedihkan, rakyat sebagai pengguna juga tidak dapat lari daripada ancaman berita dan maklumat palsu. Bukan sahaja peniaga, tetapi pengguna juga turut terkesan dengan berita dan maklumat palsu yang disebarkan berkaitan dengan isu halal-haram sesuatu produk.

Sebagai pengguna yang lama menggunakan produk, pasti kita juga terkesan secara emosi, dan berasa tertipu dengan maklumat palsu yang membabitkan isu tidak halal, sehingga menimbulkan was-was untuk terus menggunakannya.

Oleh yang demikian, keputusan kerajaan untuk mengkaji langkah membanteras dan membendung ancaman berita palsu ini sangat bertepatan dengan keperluan semasa kerana ia membabitkan ketenteraman awam, kerugian kepada perniagaan, mencalarkan imej organisasi dan individu, serta seterusnya mampu menggugat keselamatan negara.

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Pertubuhan Intelektual Fikrah Anak Malaysia (ILHAM)

674 dibaca
Berita Harian X