Ahad, 18 Februari 2018 | 12:22pm

Yayasan Peneraju gilap bakat Bumiputera

PENDIDIKAN amat penting, justeru Malaysia sentiasa meningkatkan usaha untuk memartabatkan bidang ini sehingga melahirkan ramai modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Mengambil semangat falsafah pendidikan negara, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) mengorak langkah sejak penubuhannya pada 14 Februari 2012, bagi melatih dan meletakkan sasaran melahirkan 40,000 Bumiputera dalam sektor ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pada 14 Februari lalu, genap enam tahun Yayasan Peneraju beroperasi dan meraikan kejayaan melahirkan lebih 20,000 bakat Bumiputera yang sudah digilap potensinya.

Yayasan Peneraju adalah inisiatif di bawah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang bermatlamat mengukuhkan pembinaan dan keupayaan Bumiputera secara sejagat serta berterusan.

Pada awal penubuhan, dengan hanya berbekalkan sijil pendaftaran, akaun bank dan tiga pekerja, kami diamanahkan antara lain meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan bakat Bumiputera sejajar dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan vokasional dan profesional.

Jika mengimbau kembali penubuhan Yayasan Peneraju, bukan mudah untuk meletakkan kedudukan pada tahap yang boleh dibanggakan seperti hari ini.

Pelan tindakan tiga gelombang

Mengikut Pelan Tindakan Yayasan Peneraju Menuju 2020 yang terbahagi kepada tiga gelombang, seramai 40,000 bakat Bumiputera akan menerima manfaat terus daripada program pembiayaan Yayasan Peneraju.

Bakat yang dimaksudkan adalah mereka berusia 12 hingga 50 tahun daripada latar belakang mencabar (golongan B40), mereka yang lebih cenderung ke arah pensijilan vokasional dan mereka yang ingin menaik taraf ke peringkat pensijilan profesional.

Bakat itu terbahagi kepada program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional. Sehingga enam tahun lalu, lebih 20,000 bakat Bumiputera digilap potensinya menjadikan mereka lebih berdaya saing daripada sebelumnya, lebih-lebih lagi dengan peluang tajaan serta pembangunan diri.

Gelombang Satu (2012 - 2014), fasa 'Membina Asas' menyaksikan hampir 4,000 bakat Bumiputera diberi peluang dan Gelombang Dua (2015 - 2017), fasa 'Mengembang Asas' pula menyaksikan lebih 16,000 bakat diberi peluang.

Dalam Gelombang Tiga ini, iaitu fasa 'Perluasan Horizon' selain meneruskan program sedia ada mahupun memperkenalkan yang baharu, tumpuan akan diberi ke arah melahirkan rakan strategik efektif yang dapat menjalankan inisiatif seperti Yayasan Peneraju.

Yayasan Peneraju Mini bantu bakat Bumiputera

Dengan lahirnya lebih banyak Yayasan Peneraju Mini ini, harapannya agar lebih ramai yang dapat dibantu supaya bakat Bumiputera mampu kekal bersaing dalam pasaran kerja sama di dalam atau luar negara.

Selepas enam tahun beroperasi, saban hari, Yayasan Peneraju menerima khabar daripada penerima faedah mengenai kejayaan mereka, yang membuatkan segala penat lelah perjuangan kami rasakan berbaloi.

Bagi Peneraju Tunas, iaitu program pembiayaan akademik untuk mereka yang datang daripada latar belakang mencabar, ramai yang membuktikan bahawa keadaan keluarga mereka bukan penghalang untuk berjaya.

Sebagai contoh, bagi program pembelajaran di universiti, 81 paratus daripada lebih 900 penerima faedah merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.00, termasuk yang belajar di luar negara.

Lebih membanggakan lagi, satu pertiga daripada mereka ini ialah penerima sijil Anugerah Dekan. Jika dikenang, ketika turun padang dan masuk ke ceruk kampung dan kawasan pedalaman, pelbagai isu asas dihadapi keluarga miskin ini.

Memang hiba apabila diberitahu ada anak golongan miskin ini terpaksa menempuh tujuh air terjun pergi dan balik sekolah, makan nasi berkuahkan air dan gula, serta bangun menjual nasi lemak seawal jam 4 pagi.

Betapa kemiskinan yang menghimpit mereka seperti kekurangan beras, duit belanja sekolah, ketiadaan pengangkutan dan tempat tidur anak, sebahagian isu yang menduga semangat kami.

Namun, kejayaan mereka kini membuktikan tiada apa yang mustahil selagi anak ini diberi peluang untuk berjaya seperti yang lain dan jika niat itu tepat.

Bagi Peneraju Skil, program Peneraju Skil Iltizam yang majoritinya adalah kurang cenderung akademik (program Zero to Hero) dan Peneraju Skil (mahir iaitu program upskilling) kini berjaya melahirkan anak muda di bawah 30 tahun yang berpendapatan mencecah RM5,000 dan RM20,000.

Peneraju Profesional pula antara bidang yang menyasarkan lebih ramai akauntan profesional Bumiputera sehingga 30 peratus menjelang 2030 berbanding lapan peratus setakat ini.

Walaupun bercakap mengenai kuantiti, kualiti juga ditekankan. Terbaru, Wan Nor Mahfudah Wan Yusof diiktiraf Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) meraih kedudukan pertama dunia untuk kertas peperiksaan ACCA - F7 (Financial Reporting).

Sehubungan itu, sepanjang enam tahun, Yayasan Peneraju berbangga kerana mendapat sokongan padu dan berterima kasih kepada lembaga pemegang amanah Yayasan Peneraju yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ahli jawatankuasa kerja, ahli lembaga penasihat, penyumbang dana, rakan program dan semua yang terbabit membawa Yayasan Peneraju ke tahap ini.

Biarpun hanya mempunyai 54 tenaga kerja yang perlu menjalankan program serta menjaga lebih 20,000 pelajar,
ini tidak mematahkan semangat kami untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan.

Formula terbaik bina insan cemerlang

Kami yakin formula terbaik membina insan cemerlang dengan membekalkan ilmu yang lebih dari pensijilan yang diberikan.

Ternyata anak Bumiputera memang hebat belaka jika tahu menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Apabila melihat kejayaan mereka, tiada yang kami harapkan selain anak ini dapat membantu mengubah nasib keluarga, menyumbang semula kepada masyarakat dan negara, serta memastikan mereka bakal menjadi yang 'memberi' dan bukan selama-lamanya 'menerima'.

Kami juga yakin, dengan pengalaman serta data yang kami kumpulkan selama enam tahun, kami dapat memberikan banyak input dan test case yang kuat bagi mencadangkan pelaksanaan pembaharuan kepada kerajaan sebagai pembuat dasar. Insya-Allah, demi negaraku Malaysia!

Penulis adalah Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera

400 dibaca
YAYASAN Peneraju Pendidikan Bumiputera menyasarkan 40,000 Bumiputera dalam sektor ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.- Foto NSTP
Berita Harian X