Selasa, 13 Februari 2018 | 6:51am
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Kerusi Tun Mahathir pada PRU-14

CALON Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad meminta semua parti komponen pembangkang mengutamakan kepentingan pakatan terlebih dahulu, manakala kepentingan parti di tempat kedua jika mereka serius untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia berikutan berlakunya perbalahan besar dalam kalangan mereka mengenai pengagihan kerusi.

Sebagai parti terbesar dalam pakatan, DAP mendapat keutamaan untuk memilih kerusi dan setakat ini, menentukan 35 kerusi yang mahu ditandingi mereka, membabitkan kawasan majoriti Cina di mana mereka berpeluang besar untuk menang.

Parti sekutu lain dalam pakatan berkenaan tidak berebut kawasan majoriti Cina, sekali gus DAP tiada masalah dalam soal pemilihan kerusi dan boleh sahaja goyang kaki melihat permintaannya dalam aspek berkenaan dipenuhi.

Masalah utama agihan kerusi adalah di kawasan Melayu dan campuran yang menjadi rebutan PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pengagihan kerusi di kawasan terbabit menyaksikan ketidakpuasan hati diluahkan, apatah lagi parti terkecil dan terbaru dalam pakatan, iaitu PPBM mendapat kerusi terbanyak.

PPBM memperoleh 52 kerusi, diikuti dengan PKR, 51 kerusi dan PAN hanya mendapat 27 kerusi. Namun, isunya bukan hanya kuantiti kerusi yang diberi untuk setiap parti.

Perkara lebih penting ialah kualiti kerusi, iaitu sejauh mana parti komponen terbabit mampu menang di kawasan ditandingi.

Tiada guna jika mendapat kerusi terbanyak, sedangkan calonnya hanya berpeluang menang satu atau dua kerusi sahaja. Itu realiti yang dihadapi PPBM.

Bagi DAP, 31 daripada 35 kerusi ditandingi adalah kerusi sedia ada mereka yang kebanyakannya mereka menang besar di kawasan bandar dan majoriti pengundi Cina pada PRU-13.

Kali ini, besar kemungkinan DAP akan menang semula di empat daripada setiap lima kerusi yang mereka tandingi, secara langsung bermakna DAP adalah pemenang terbesar agihan kerusi dalam pakatan.

Selepas DAP, PKR diberi keutamaan memilih kerusi. Seperti yang ditekankan oleh pemimpin DAP dan PKR, semua kerusi yang sudah dimenangi sesebuah parti mesti kekal dengan parti terbabit.

Ini menyebabkan PAN dan PPBM tiada banyak pilihan yang baik dalam soal pemilihan dan agihan kerusi. Kerusi yang tinggal untuk mereka pilih hanya di kawasan majoriti Melayu yang juga kubu kuat UMNO dan dikuasai Barisan Nasional (BN).

Ini bermakna peluang untuk mereka menang adalah tipis.

Bilangan kerusi PAN terendah

Bagaimanapun, PPBM sebenarnya bukan pihak yang paling rugi dalam isu agihan kerusi, sebaliknya parti yang paling rugi adalah PAN yang mendapat bilangan kerusi terendah dan peluang paling tipis untuk menang.

Mereka mungkin berasa tidak adil kerana parti baharu dan lebih kecil dalam pakatan seperti PPBM mendapat kerusi lebih banyak. Tidak hairanlah PAN membantah keras pengagihan kerusi PH.

Ini juga menunjukkan seolah-olah PAN tidak begitu dihormati dalam pakatan oleh sekutunya. Parti lain dalam pakatan juga mungkin melihat PAN umpama tiruan PAS.

Ini terbukti berdasarkan perang mulut di antara Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dengan PAN di Selangor dalam isu agihan kerusi.

Ia satu gambaran kepada masalah lebih besar dalam pakatan. Tiada siapa dapat menafikan bahawa DAP sahaja pemenang dalam perkara ini.

Dr Mahathir pasti sedar keadaan yang memalukan ini apabila partinya, PPBM diberi peluang bertanding di kawasan paling sukar untuk menang, meskipun mendapat kuota kerusi terbanyak.

Mungkin beliau sendiri yang merancang perkara ini. Beliau tahu agihan kerusi ini hanya sandiwara bertujuan menunjukkan seolah-olah PPBM adalah parti paling dominan dalam pakatan bagi menarik sokongan orang Melayu.

Namun, semua orang tahu DAP yang sebenarnya memegang kata putus dalam pakatan.

Selain semua di atas, Dr Mahathir sebenarnya mempunyai masalah besar yang lebih dekat di hati. Beliau perlu mencari dua kerusi untuk bertanding, satu untuk dirinya dan satu lagi untuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

Jika mereka mengambil kerusi sedia ada disandang pakatan yang dimenangi pada PRU-13 lalu, sama ada DAP, PKR atau PAN perlu memberikan dua kerusi berkualiti mereka kepada dua beranak berkenaan.

Ini bermakna Dr Mahathir dan Mukhriz mendapat laluan mudah, namun mereka akan nampak lemah dan tidak menyumbang kepada pakatan. Oleh sebab itu, mereka perlu bertanding di kerusi BN.

Khabar angin bertiup di Kedah bahawa Dr Mahathir mungkin bertanding sama ada di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Jerlun.

Kelangsungan legasi

Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil, baru-baru ini dipetik berkata: "Di mana-mana tempat Tun Mahathir bertanding sekalipun, kita BN bersedia menghadapi beliau. Perjuangan Tun Mahathir kini adalah atas sebab peribadi dan untuk kelangsungan legasi beliau yang lalu. Ini berbeza dengan perjuangan BN yang lebih besar ditambah dengan idea segar yang baru untuk masa hadapan. Sebab inilah kita mesti menang, dan kita akan menang".

Ketika diwawancara baru-baru ini, Azmin pula berkata: "Jika kami berjaya yakinkan rakyat dan jika rakyat menerima seorang yang berusia 93 tahun untuk memimpin negara, mengapa kita tolak? Ini adalah pilihan terbaik yang kami dapat tawarkan kepada rakyat".

Persoalannya, mengapa Azmin menawarkan Dr Mahathir bertanding di Gombak, sedangkan pengundi kawasan itu adalah penyokong tegar PAS dan reformasi PKR yang tentu masih ingat dan belum memaafkan Dr Mahathir atas banyak isu ketika pemerintahannya.

Jadi, tidak mungkin beliau mahu bertanding di sana. Tawaran Azmin kepada Dr Mahathir boleh dianggap sebagai tidak ikhlas.

Langkawi mungkin menjadi pilihan Dr Mahathir sebab umum mengetahui bahawa beliau yang menggerakkan pembangunan dan kemajuan pulau itu sewaktu beliau memerintah.

Meskipun calon BN, Datuk Nawawi Ahmad menang dengan majoriti 11,861 undi pada PRU 2013, aura Dr Mahathir kuat di Langkawi dan pengaruh beliau tidak boleh dipandang remeh.

Pilih Putrajaya

Menurut sumber, satu lagi kawasan Dr Mahathir mungkin bertanding adalah Putrajaya di mana calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menang pada 2013 dengan majoriti 5,541 undi.

Bandar ini dibina ketika era Dr Mahathir. Ramai penduduknya mengaitkan beliau dengan Putrajaya, tambahan pula ibu pejabatnya ketika ini, Yayasan Perdana terletak di Putrajaya, memudahkan beliau berkempen pada pilihan raya.

Jadi, Dr Mahathir mungkin memberi laluan kepada Mukhriz bertanding di Langkawi dan beliau pula di Putrajaya.

Bagi sesiapa yang mengenali Dr Mahathir, tentunya tahu beliau bukan sekadar mahu bertanding di mana-mana kerusi, tetapi juga mahu menyampaikan satu mesej, iaitu jika pakatan masih gagal mengambil alih Putrajaya kali ini, beliau tetap boleh menang di kerusi Parlimen Putrajaya.

Selain menentukan masa depan pakatan, PRU-14 juga akan menyaksikan sama ada langkah Putrajaya Tun Dr Mahathir kali ini berjaya atau tidak.

3533 dibaca
Berita Harian X