Isnin, 12 Februari 2018 | 7:01am

Hadapi ancaman dengan kesatuan bangsa

Hadapi ancaman dengan kesatuan bangsa

BANGSA bersatu adalah bangsa yang kuat dan berdaya tahan. Justeru, kita memerlukan karakter bangsa Malaysia yang bersemangat juang dan berwawasan kebangsaan.

Dalam konteks ini, semua komponen bangsa harus membekalkan diri dengan ilmu dan kemahiran seoptimum mungkin, membina kepakaran sesuai bidangnya serta bersedia dan berani menceburi apa juga bidang dengan penuh yakin.

Ia perlu supaya kita benar-benar menempa pengalaman yang nyata di lapangan penuh persaingan ini. Hanya dengan kekuatan karakter sedemikian, bangsa Malaysia akan mampu berdepan apa juga cabaran dalam memajukan diri, bangsa dan negara.

Kekuatan ini harus diseimbangkan dengan nilai kemasyarakatan yang tinggi seperti kehidupan yang santun, bertoleransi, bekerjasama, saling memahami dan menerima perbezaan budaya dan pandangan asalkan boleh memberi nilai tambah kepada kekuatan bangsa bermoral dan bermaruah.

Pasti kita tidak mahu nilai buruk yang mengancam sendi kekuatan bangsa menjadi penghalang kepada kesatuan dan kekuatan bangsa. Kita tidak mahu masyarakat dihantui jenayah, konflik dan perkelahian antara kaum, agama dan kelompok berlainan fahaman politik.

Kita juga tidak mahu masuk fahaman yang meruntuhkan kehidupan bermasyarakat dan bernegara seperti radikalisme, terorisme dan liberalisme yang tidak menghiraukan fitrah kemanusiaan dan jati diri bangsa.

Kebimbangan perlu ada dalam diri kita bahawa pada hari ini sudah masuk ancaman terbabit yang mempengaruhi anak bangsa kita, menyebabkan mereka terbabas dari landasan sebenar kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Sama ada kita sedar atau tidak, perkembangan tidak sihat ini adalah bentuk ancaman yang sebenar datang dari tangan jahat yang tidak terlihat secara tersurat atau nyata.

Justeru, dalam perjuangan menuju bangsa Malaysia yang bersatu dan kuat, peranan seluruh komponen masyarakat didambakan untuk berjaga-jaga dan membendung penyebaran fahaman yang boleh merosakkan bangsa, agama dan negara.

Elak perbalahan politik

Perbalahan politik yang 'menggila' juga harus diawasi kerana boleh mengundang masuk dan menyerapnya 'proksi luar' yang amat berbahaya kepada bangsa dan negara.

Proksi luar itu akan bertindak sebagai 'pihak ketiga' yang sukar dikesan dan berperanan mengadu domba kelompok politik yang bertelagah supaya terus bermusuhan dan berkonflik.

Apabila permusuhan sudah begitu menajam, tidak mustahil musuh terus menyusup dalam arena politik bangsa Malaysia. Mana-mana kelompok yang menjadi proksi luar itu akan mudah dijadikan boneka.

Gerakan sulit musuh inilah yang terbukti berjaya dilakukan di negara Arab yang lemah kesatuannya, sama ada di dalam negara atau rantau itu sendiri.

Justeru, dalam konteks bangsa Melayu yang juga bangsa teras negara, perlu ada kesedaran tinggi untuk kembali memperkukuh kesatuan bangsa berasaskan keperibadian Islam yang sudah lama sebati dengan pemikiran serta adab budaya Melayu.

Terbukti sebelum ini bahawa kekuatan jati diri Melayu-Islam menyukarkan bangsa penjajah meruntuhkan kekuatan akidah dan jati diri bangsa.

Namun, jika kita alpa dalam memperkuat kesatuan bangsa dan ancaman itu sudah membesar dan berakar, kita memerlukan banyak tenaga untuk melawan dan menghancurkan proksi jahat terbabit.

Kita memerlukan bangsa Malaysia patriotik yang menjadi 'jentera penggerak' untuk menyatu dan memajukan bangsa.

Kita wajar meraih cita-cita untuk mewujudkan Malaysia bersatu, kuat dan maju material dan spritualnya, terutama dalam konteks mencapai hasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

93 dibaca
Berita Harian X