Khamis, 11 Januari 2018 | 7:48am

Pendidikan seni di ASWARA harmonikan kaum

DALAM masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, bahasa dan kepercayaan, kita sering mencari-cari elemen atau unsur yang boleh menyatupadukan kita. Berdasarkan pengalaman Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), kita boleh menjadikan bidang seni sebagai pemangkin integrasi nasional.

Pelajar ASWARA terdiri daripada pelbagai kaum yang utama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mereka bukan sahaja datang dari sekolah-sekolah aliran perdana. Ada juga pelajar yang datang dari sekolah-sekolah vernakular. Walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang pendidikan, di ASWARA mereka disatukan melalui kesedaran terhadap warisan seni bangsa.

Sungguhpun Fakulti Tari, Fakulti Teater, dan Fakulti Filem dan Video memperlihatkan penyertaan pelajar pelbagai kaum yang lebih ketara, fakulti lain juga turut menerima pelajar pelbagai kaum dari semasa ke semasa.

Bagaimanakah perbezaan latar belakang pelajar dapat disatukan di ASWARA? Dalam hal ini kita menggunakan bidang seni dan bahasa sebagai ramuannya. Mereka dilatih mengenali seni warisan pelbagai bangsa negara ini - baik Melayu, Cina, India, Kadazan mahupun Iban.

Pertingkat bahasa Melayu

Sementara itu, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan mereka dipertingkatkan, kerana bahasa Melayu adalah bahasa pemersatuan, tanpa mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris.

Apabila setiap pelajar mengetahui warisan seni etnik mereka, ditambah pula dengan mengetahui seni warisan yang bersifat kebangsaan, mereka terdedah kepada sikap terbuka untuk meraikan perbezaan. Dengan cara itu semangat kekitaan atau esprit de corps dapat dibina dan diterima.

Sejak penubuhannya pada tahun 1994, ASWARA (yang pada mulanya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan) terus menyaksikan esprit de corps dalam kalangan pelajar dan pensyarah begitu segar sekali, baik di dalam dewan kuliah, ataupun aktiviti-aktiviti luar serta kemasyarakatan. Ini menunjukkan dengan jelas sekali betapa seni boleh dijadikan unsur integrasi kaum.

Integrasi kaum di Malaysia begitu penting. Dengan wujudnya masyarakat harmoni, ekosistem sosial yang kondusif boleh menggerakkan kemajuan sosioekonomi yang lebih pesat. Pelajar boleh memberi sumbangan kepada kemajuan negara jika memberi fokus terhadap pelajaran untuk berjaya

Kita menyedari bahawa usaha penyatuan bangsa melalui seni ini mesti mengambil kira teknologi semasa yang ada. Dalam hubungan ini ASWARA akan terus memanfaatkan teknologi Internet of Things (IoT), termasuk meningkatkan kaedah pembelajaran secara atas talian atau alam maya.

Serlah bakat

Menggabungkan pendidikan seni dengan teknologi internet akan menghasilkan keselesaan dan kesejahteraan. Pelajar akan lebih pantas menerima maklumat, serta membuat rujukan. Melalui teknologi internet juga mereka boleh mempromosi serta menjual bakat serta produk seni ke serata dunia.

Pendidikan seni di ASWARA juga mengambil kira karyawan seni yang mempunyai bakat alam, daripada pelbagai bangsa. Dalam hubungan ini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke ASWARA melalui pelaksanaan APEL, iaitu pengakreditan pembelajaran berdasarkan pengalaman terdahulu.

Mohamed Nazri mengambil berat mengenai usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Bagi karyawan seni yang tidak mempunyai kelulusan akademik untuk mengikuti program diploma atau ijazah, mereka boleh menggunakan pengalaman terdahulu sebagai jalan kemasukan 'alternatif' untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, umpamanya di ASWARA.

Apabila lebih ramai karyawan seni pelbagai kaum menyertai ASWARA melalui APEL, ini akan membentuk komuniti yang berbagai-bagai bangsa dan peringkat usia di ASWARA. Keadaan ini akan menyuburkan usaha penyatuan bangsa melalui seni.

Jika usaha di ASWARA ini dapat dikembangkan di institusi seni lain, serta mendapat sokongan pelbagai pihak tidak mustahil integrasi nasional boleh diperkasakan lagi.

181 dibaca
Berita Harian X