Ahad, 7 Januari 2018 | 8:33pm
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto EPA-EFE

Kronisme terhebat dalam sejarah

Tidak ada yang lebih melucukan apabila calon Timbalan Perdana Menteri berjuang membebaskan suaminya dari penjara, sedangkan individu yang memenjarakan suaminya adalah calon Perdana Menteri.

Ini bukan skrip drama swasta tetapi resolusi keputusan barisan kepimpinan pembangkang yang diumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan petang tadi.

Ketetapannya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu mereka juga memutuskan proses pengampunan untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dimulakan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya bagi membolehkan beliau berperanan dalam Kerajaan Persekutuan lalu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Apa nak jadi pada Malaysia sekiranya Pakatan Harapan menerajui negara? Pasti haru-biru dibuatnya.

Sudahlah jawatan Perdana Menteri hendak diberi kepada seorang lelaki yang berusia hampir 100 tahun, malah jawatan itu seolah-seolah dipersendakan apabila hendak ditukar sesuka hati.

Tak masuk akal Anwar yang baharu bebas daripada penjara mahu dijadikan sebagai Perdana Menteri.

Jawatan Perdana Menteri bukan lantikan secara automatik, sebaliknya perlu melalui proses demokrasi, iaitu melalui pilihan raya.

Untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar perlu menjadi seorang Ahli Parlimen terlebih dahulu.

Untuk itu, pasti akan ada kerusi Parlimen yang 'dikorbankan' untuk membolehkan beliau bertanding.

Bukankah ini kerja gila? Daripada awal misi Pakatan Harapan bukanlah mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang gemilang dan terbilang, tetapi membebaskan seorang banduan yang dipenjarakan atas kesalahan meliwat yang dikenakan oleh Dr Mahathir sendiri.

Kepada pemimpin Pakatan Harapan, ini bukan politik kedai kopi. Mereka pernah gagal dalam plot Kajang Move iaitu ketika misi menukar Menteri Besar Selangor, inikan pula hendak menukar Perdana Menteri.

Nampaknya Pakatan Harapan sanggup berbuat apa sahaja termasuk masa depan rakyat dan negara asalkan cita-cita politik mereka tercapai.

Satu pertanyaan saya kepada rakyat yang menyokong Pakatan Harapan. Di mana dalam dunia suami menjadi Perdana Menteri, manakala isteri Timbalan Perdana Menteri? Bukankah ini kronisme terhebat dalam sejarah?

Dan apakah nasib Lim Kit Siang, Mat Sabu serta Tan Sri Muhyiddin Yassin? Semestinya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara yang paling kecewa kerana sebelum ini nama beliau disebut-sebut menjadi orang nombor dua negara.

Ke mana pula Tan Sri Muhyiddin kerana sekali lagi ditipu oleh Dr Mahathir yang jelas bukan berjuang untuk rakyat tetapi kepentingan sendiri.

Penulis adalah Exco Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa

4342 dibaca
Berita Harian X