Rabu, 25 Oktober 2017 | 1:10am
KANAK-KANAK TASKA turut serta pada program 1Ekspresi Negaraku di Dataran Dewan Merdeka, Dungun, minggu lalu. - Foto hiasan

TASKA pertingkat mutu hidup wanita berkerjaya

CADANGAN isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, agar lebih banyak kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak (TASKA) di tempat kerja disediakan terutama oleh majikan sektor swasta amat dialu-alukan.

Penyediaan TASKA di tempat kerja dapat membantu meringankan beban ibu berkerjaya menguruskan keluarga, meningkatkan produktiviti kerja dan kualiti hidup.

Cadangan beliau juga perlu disambut baik kerana pekerja wanita memberi sumbangan amat relevan kepada kepesatan ekonomi negara. Suasana kerja yang kondusif perlu wujud agar ibu berkerjaya boleh memberikan tumpuan sepenuh kepada kerja.

Secara psikologinya, keberadaan anak di Taska memberi satu perasaan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak mereka terjamin. Wanita yang merasa gembira di tempat kerja selalunya lebih kompeten serta lebih produktif dalam pekerjaan mereka.

Impak positif

Usaha kerajaan meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam sektor pekerjaan dilihat memberikan impak positif apabila pembabitan golongan terbabit meningkat secara konsisten daripada 45.7 peratus kepada 54.1 peratus pada 2008 hingga 2015.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati peningkatan yang dicapai itu didorong kemudahan potongan cukai berganda kepada syarikat yang melatih wanita untuk kembali aktif dalam sektor pekerjaan.

Menghantar anak ke TASKA mungkin sukar bagi sesetengah ibu bapa kerana ia babitkan aspek penjagaan diri, sosial dan emosi mereka. Namun, TASKA yang berkualiti tinggi dapat menyediakan faedah psikologi kepada aanak. Berdasarkan kajian U.S. National Institutes of Health pada tahun 2010, kanak-kanak dihantar ke pusat penjagaan didapati lebih peka dalam bersosial dan kurang mempunyai masalah disiplin.

Sementara itu, kajian Eunice Kennedy Shriver National Institute of Child Health and Human Development (NICHD) bertajuk Early Child Care and Youth Development mendapati kanak-kanak yang dihantar ke TASKA yang bermutu tinggi akan menguasai tata bahasa lebih baik. Kecekapan berbahasa dapat meningkatkan konsep kendiri dan peluang kanak-kanak berjaya pada masa hadapan.

Namun, menghantar anak ke TASKA juga mempunyai limitasi, terutama dari segi hubungan dengan ibu. Kajian itu mendapati kanak-kanak ini mempunyai hubungan kurang rapat dengan ibu mereka. Namun, NICHD berpendapat kajian ini masih pada peringkat awal dan ibu bapa tidak perlu rasa terlalu risau mengenai dapatan ini.

Wanita bekerjaya adalah aset negara. Sehubungan itu, hak dan kebajikan mereka di tempat kerja perlu dijaga. Dengan menyediakan perkhidmatan TASKA di tempat kerja yang berkualiti, ia banyak membantu wanita bekerjaya untuk lebih kompeten dalam pekerjaan mereka.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

145 dibaca
Berita Harian X