Selasa, 17 Oktober 2017 | 10:45pm
MEDIA jika digunakan ke arah kebaikan akan membawa keamanan dunia. - Foto hiasan

Dunia perlu kewartawanan keamanan

MEDIA sepatutnya membawa ke arah keamanan. Itu yang kita harapkan jika benar media digunakan ke jalan yang lurus. Kuasa media yang tidak dapat disangkal menjadikan ia alat yang digeruni ramai termasuk ahli politik. Maka tidak hairan ramai berhasrat mempunyai kuasa terhadap media agar dapat mempengaruhi mesej seterusnya minda khalayak. Inilah faktor utama media dilihat terpesong dan memesongkan.

Media jika digunakan ke arah kebaikan akan membawa keamanan dunia. Itu jelas, dan itu benar. Mungkin juga tidak dapat dinafikan kebenarannya jika kita katakan media dan keamanan adalah dua perkara yang tidak sepatutnya dipisahkan. Mesej keamanan adalah antara perkara pokok yang sepatutnya dipromosikan wartawan selari dengan konsep dan amalan kewartawanan keamanan atau 'peace journalism.'

Kewartawanan keamanan boleh didefinisikan sebagai 'apabila pengarang dan wartawan membuat pilihan untuk melaporkan sesuatu, mereka menyajikan peluang kepada pembaca untuk menilai faktor yang positif dan tidak bersifat konflik untuk dihadam'.

Ini berbeza dengan pendekatan konvensional berdasarkan 'nilai berita' apabila pihak berkonflik diberikan keutamaan, membawa kepada 'bias' yang akhirnya cenderung membawa ke arah keganasan.

Dalam konteks kewartawanan keamanan, konflik yang dilaporkan perlu ditulis dengan membabitkan banyak pihak, dan bukan hanya beberapa pihak utama terbabit. Ini adalah bagi memastikan tidak wujud dikotomi mudah dalam minda pembaca dan membuat kesimpulan siapa yang salah dan siapa yang benar.

Misalnya, dalam melaporkan berita peperangan, perkara pokok dilaporkan bukan konflik atau pihak mana menang atau kalah, tetapi perbincangan ke arah penyelesaian dan sejarah yang boleh dipelajari daripada kesilapan ini.

Pentingnya kewartawanan keamanan ini, terutama dalam konteks masyarakat Islam hari ini yang sering dilaporkan sebagai negatif malah teroris, memberi gambaran adil terhadap apa yang dilaporkan dengan menampilkan sumber berita pelbagai peringkat, laporan yang berteraskan fakta jelas dan seimbang, dan perbincangan mendalam.

Inilah antara kekuatan kewartawanan keaManan yang menjadikan ia satu cabang lebih menyeluruh daripada satu lagi genre kewartawanan dikenali sebagai kewartawanan pembangunan, yang juga berkongsi ciri kewartawanan keamanan tetapi lebih tertumpu kepada pembangunan dan pembangunan bangsa.

Media Barat ada koresponden perang seluruh dunia

Dekan Fakulti Sastera, Komunikasi dan Pendidikan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) Prof Dr Faridah Ibrahim, yang juga pakar kewartawanan keamanan, menekankan tentang peranan media dalam konteks ini.

Beliau turut berkongsi bahawa kesedaran dan praktis kewartawanan keamanan belum jadi tunggak utama amalan wartawan di Malaysia. Sensitiviti hal ini masih rendah kerana kebergantungan terhadap media global gergasi seperti CNN, BBC, ABC dan Reuters yang mempunyai koresponden perang di seluruh dunia.

Maka, tambah beliau, wartawan tempatan perlu diberikan pendedahan terhadap apa itu kewartawanan keamanan, di samping diberikan latihan perang supaya boleh membuat laporan di media perang. Namun, peluang ini belum jadi keutamaan memandangkan Malaysia masih di zon selesa. Tambahan lagi kos untuk latihan sedemikian adalah tinggi.

Namun, ada negara yang melihat keamanan sebagai satu agenda penting yang tidak wajar dipinggirkan. Costa Rica misalnya, mempunyai universiti yang khusus mengkaji keamanan dikenali sebagai 'The University of Peace' (UPEACE). Misi utama UPEACE adalah menyebar luas mesej keamanan ke seluruh manusia sejagat supaya wujud kesefahaman, toleransi dan keamanan, bagi meningkatkan kerjasama antara manusia ke arah mencapai keamanan dunia. Maksudnya, keamanan agenda utama negara itu.

Jelas bahawa kewartawanan keamanan mengharapkan kebenaran sebagai elemen terpenting yang dikongsikan dengan masyarakat. Bukankah 'perniagaan utama' kewartawanan itu sendiri adalah 'kebenaran'? Jika itu tidak dapat disangkal, maka maksudnya kita perlu bergerak ke arah transformasi ini, ke arah penulisan yang lebih adil, mendalam dan sarat dengan mesej positif ke arah mencapai keamanan di serata pelosok dunia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, USIM - Penulis Tamu, Majlis Profesor Negara / Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, USIM

158 dibaca
Berita Harian X