Selasa, 10 Oktober 2017 | 7:56am
SEKIRANYA aplikasi WhatsApp ini tidak dipantau dengan teliti mungkin akan membawa musibah. - Foto fail Reuters

Aduan penting sekat berita palsu tersebar

BARU-BARU ini Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari mengumumkan, undang-undang sedia ada di negara ini mencukupi bagi mengawal ketenteraman awam termasuk berkaitan media sosial. Jadi, Malaysia belum bercadang menyekat penggunaan aplikasi Whats-App, biarpun China sudah memulakan langkah itu.

Namun, intipati utama yang harus kita utamakan ialah sejauh mana isu menyekat WhatsApp dilihat secara serius. Mungkin perkataan 'menyekat' itu akan disalah tafsir sebagai ingin menyekat kebebasan bersuara rakyat.

Tetapi, sekiranya aplikasi WhatsApp ini tidak dipantau dengan teliti mungkin akan membawa musibah terutama kandungan berita yang disalurkan atau dikongsi mahu pun di screen shot dimuat naik dalam media sosial seperti Facebook.

Apabila sesuatu maklumat tersebar ke laman sesawang dalam bentuk screen shots, ia tentu akan dikongsi banyak kali. Tidak salah gunakan akta sedia ada untuk diambil tindakan terutamanya bagi membendung penyebaran maklumat palsu, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kita tidak mahu berikutan maklumat palsu rakyat Malaysia bersifat judgmental terhadap sesuatu isu tanpa mengetahui kesahihan berita dan pada masa sama curiga terhadap sesuatu isu.

Lebih memudaratkan ia bakal melahirkan persepsi negatif terhadap sesuatu agenda pembangunan kerajaan dan selalunya dilihat dari aspek pemikiran sempit. Kita masih tidak matang dan beremosi apabila menggunakan sesuatu aplikasi teknologi bagi membincangkannya. Mereka tidak sedar terdedah kepada pelbagai akta undang-undang sedia ada.

Satu contoh jelas yang kian menular dalam kalangan kita ialah membuat video live untuk menjelaskan sesuatu insiden atau memberi penerangan terhadap dak-waan yang dibuat seseorang. Sejauh mana kesahihan maklumat ini tidak diketahui namun ia cepat meraih populariti dalam tempoh sejam sehingga ditonton 1,000 kali.

Denda RM1,000 sehari

Banyak informasi boleh dilayar di laman web MCMC di bawah Akta Komunikasi Multimedia 1998. Misalnya, Seksyen 211 dan 233 mengenai guna app untuk mengganggu, menggugut seseorang, yang mana kesalahan denda boleh dikenakan RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali. Sekiranya kesalahan berkenaan masih diteruskan seseorang itu menerusi aplikasi web atau peralatan elektronik, RM1,000 akan dikenakan setiap hari.

Maka, rakyat perlu buat aduan apabila berlaku sesuatu berita palsu bagi menyekat fenomena ini berterusan. Pada masa sama, liputan media harus diberikan terhadap kesalahan kes penyebaran berita palsu. Ini sekali gus dapat memberi teladan kepada mereka yang cuba menyebarkan berita tidak sahih. Mungkin seperti dijelaskan menteri bahawa tiada kes penyalahgunaan WhatsApp direkodkan antara 2013 hingga 2015. Pada 2016 dan tahun ini, ada 25 dan 27 kes. Bilangan ini mungkin agak kecil mungkin disebabkan ramai leka dan tidak peduli isu ini. Maka pendedahan aplikasi WhatsApp pun termaktub dalam undang-undang perlu diketahui secara umum.

Kita dalam proses menghitung hari menjelang PRU14 yang akan datang. Kita tidak mahu berita palsu disiarkan oleh mana-mana pihak bagi meraih undi di kalangan rakyat.

Kita tidak mahu suatu ketika nanti rakyat tidak akan percaya sebarang maklumat yang disebarkan di dalam laman web mahu pun berita berkenaan daripada kerajaan sendiri.

Penulis adalah Penganalisis Politik/Media Sosial, Felo IJS, Fakulti KOmunikasi & Pengajian Media, UiTM

165 dibaca
Berita Harian X