Isnin, 9 Oktober 2017 | 11:26am
- Gambar hiasan

Lindungi lapisan ozon sebelum terlewat

Hari Ozon Antarabangsa yang disambut pada 16 September setiap tahun di seluruh dunia amat penting dalam konteks dunia hari ini yang berhadapan cabaran pembangunan pesat dan padat.

Sambutan ini yang bermula sejak 1994 ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga bersamaan tarikh Protokol Montreal dimeterai. Ini bertujuan memperingati komitmen negara yang menandatangani Protokol Montreal, terutama dari sudut obligasi perlindungan terhadap lapisan ozon bumi.

Sambutan Hari Ozon Tahun 2017 kebangsaan pada 5 Oktober lalu bertemakan Caring For All Life Under The Sun dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut dihadiri Datuk Ir Dr Hamim Samuri, Datuk Seri Azizan Ahmad, pengurusan tertinggi Kementerian, delegasi luar negara dan jemputan pelbagai lapisan masyarakat.

Sambutan kali ini bertambah meriah apabila turut disokong kempen We are all Ozone Heroes dengan kolaborasi bersama Marvel Comics menyasarkan perubahan lebih holistik terhadap kesedaran masyarakat melindungi lapisan ozon di samping meraikan kejayaan 30 tahun Protokol Montreal dalam memulihara lapisan ozon dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Memerangkap haba bumi daripada keluar ke angkasa

Penipisan lapisan ozon adalah penyumbang utama pemanasan global yang mana adalah fenomena pemerangkapan gas dikenali sebagai gas rumah hijau. Gas rumah hijau merangkumi kumpulan gas karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana, nitrogen oksida yang telah menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Gas rumah hijau ini membenarkan bahangan matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahangan bumi ke atmosfera.

Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap Protokol Montreal bersetuju dengan sasaran menghentikan penggunaan bahan kimia hidroklorofluorokarbon (HCFC) menjelang 2030 bagi memulihkan masalah penipisan ozon dan ini turut ditandatangani 197 negara lain.

Kita selalu dengar pelbagai persidangan dan berita berkenaan perubahan iklim maka apa yang berlaku ini juga adalah punca utama kepada perubahan iklim. Kesan yang dapat dilihat kini adalah suhu bumi meningkat beberapa darjah dan berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu.

Antara punca penipisan ozon adalah penggunaan bahan kloroflourokarbon (CFC) seperti pendingin hawa, aerosol, peti sejuk, dan juga melalui pembuatan busa dan bahan pelarut terutama dari kilang elektronik.

Punca lain lagi adalah peningkatan kegiatan perindustrian, pelepasan gas nitrogen oksida (contoh, ujian nuklear), penyahutanan secara meluas, pertambahan bilangan kenderaan bermotor dan banyak lagi. Penyebab perkara ini berlaku berada di sekeliling kita dan kebanyakan daripada kita juga menjalankan aktiviti-aktiviti yang sama.

Justeru itu, apa yang berlaku ini jelas menunjukkan sikap masyarakat, terutama pihak industri yang tidak ambil kisah dan tidak cakna terhadap isu ini kerana mereka belum merasai kesan sebenar daripadanya lagi. Maka, perlunya pendidikan berterusan dalam memberi kesedaran kepada semua pihak untuk lebih dipergiatkan. Jangan nanti apabila sudah merintih menangis untuk bernafas, maka baru waktu itu kita nak tersentak dan mencari 1001 jalan menyelesaikan isu ini.

Penulis adalah Felo Perdana kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

318 dibaca
Berita Harian X