Khamis, 5 Oktober 2017 | 7:02am
KEGEMUKAN atau obesiti adalah penyakit kronik yang sedang menular dalam kalangan rakyat kita. - Foto hiasan

Tangani obesiti melalui pendidikan sains

KEGEMUKAN atau obesiti adalah penyakit kronik yang sedang menular dalam kalangan rakyat kita. Tinjauan Kesihatan dan Morbiti Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak iaitu yang berumur 18 tahun ke bawah.

Terkini, lebih satu juta penduduk negara mengalami masalah obesiti. Bilangan ini terus meningkat saban tahun dengan kenaikan lima hingga enam peratus.

Punca utama ialah pemilihan dan pengamalan gaya pemakanan tidak sihat. Gaya pemakanan sihat adalah satu faktor yang amat penting ke arah kesihatan sepanjang hayat. Amalan ini seharusnya dibentuk dan dipupuk dari peringkat awal kanak-kanak lagi. Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka perlukan banyak zat makanan untuk memenuhi keperluan tumbesaran fizikal dan mental yang pesat.

Pada peringkat ini, kanak-kanak mudah dipengaruhi persekitaran dalam soal pengambilan makanan. Antara cabaran amal gaya pemakanan sihat adalah pertama, tidak ada kesedaran kesihatan diri sedangkan pengamalan gaya hidup sihat adalah inisiatif atau tanggungjawab sendiri.

Seseorang yang ingin kesihatan diri sihat akan berusaha mengamalkan gaya hidup sihat contohnya pengambilan makanan seimbang, melakukan senaman, aktiviti rekreasi, buat pemeriksaan kesihatan dan lain-lain. Cabaran kedua adalah gaya hidup sibuk masa kini kebanyakan rakyat dari segi pekerjaan menyebabkan mereka lebih mudah jadi penagih makanan segera yang hanya boleh dipesan melalui pandu lalu, melalui telefon atau laman web.

Cabaran ketiga, didapati semua tahu piramid makanan tapi sukar dikawal. Soalnya, berapa ramai yang mengikut piramid makanan ketika makan dalam kehidupan seharian? Misalnya, lelaki perlukan 2,500 kalori makanan dalam sehari. Pengetahuan ini dicatat dalam buku sahaja, tetapi secara praktikalnya dalam kalangan rakyat tidak menjadi nyata.

Cabaran seterusnya ialah tingkah laku rakyat berkaitan makanan. Kita mempunyai keupayaan atau kelebihan bagi mengatasi serta mengawal tanda lapar. Namun kebanyakan orang mengambil apa sahaja makanan yang mereka ingin ketika lapar.

Masyarakat tidak sihat

Antara tingkah laku menyebabkan obesiti ialah pengambilan makan berlebihan terutamanya gula dan lemak minyak, hidangan besar contohnya apabila ada kenduri kahwin dan jamuan hari jadi, tidak amal prinsip 'makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang' dan tidak dapat kawal diri dalam pengambilan makanan.

Kini masyarakat Malaysia dikenali sebagai masyarakat yang tidak sihat dan mempunyai 70 peratus obesiti seluruh negara dalam kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kerajaan ambil peranan positif selepas kajian ini diterbitkan misalnya, memberi pendidikan awal kepada rakyat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Masalah ini perlu diatasi dengan cara pengambilan pemakanan sihat melalui pendidikan sains.

Pendidikan sains berperanan penting memberi pengetahuan asas penjagaan kesihatan hidup seseorang dengan mengamalkan gaya pemakanan sihat. Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), asas pemakanan seperti piramid makanan mula diajar dalam subjek Sains Tahun 2. Tabiat pemakanan yang ganggu proses hidup manusia diajar dalam subjek Sains Tahun 4 serta cara penyimpanan, pemprosesan dan pengawetan makanan diajar dalam subjek Sains Tahun 6.

Kombinasi tenaga (kalori) dan nutrien (seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral) diajar dalam subjek biologi dan kimia di sekolah menengah. Program dalam bidang pemakanan ini juga ditawarkan sehingga peringkat universiti. Pendidikan sains ini memang beri pengetahuan mengenai pengambilan pemakanan sihat dari sekolah rendah.

Persoalannya, adakah kita tahu dan kenal gaya pemakanan sihat atau ia hidup dalam buku teks sahaja? Untuk ubah keadaan ini, guru Sains perlu beri pendedahan kepada murid supaya mengaplikasian ilmu itu dalam kehidupan seharia. Semua orang perlu ingat pepatah ini, 'diri anda ialah apa yang anda makan'.

Penulis adalah Pensyarah Pendidikan Sains, Fakulti Pendidikan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

424 dibaca
Berita Harian X