Rabu, 4 Oktober 2017 | 7:41pm
SUASANA awal pagi di Balukhali, antara kem pelarian tumpuan bagi etnik Rohingya di Bangladesh. Setengah juta pelarian Rohingya kini berlindung di sini selepas lari dari kekejaman tentera Myanmar di Rakhine, barat negara itu. - Foto Syed Azwan Syed Ali
PELARIAN Rohingya, Hasyim Ullah, 32, sedang mengajar anaknya, Akhtar Farouq, 5, membaca Al-Quran di kem Balukhali. Syiar Islam tetap subur di kem pelarian Rohingya walaupun mereka hidup daif. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Syiar Islam subur dalam kedaifan kem pelarian Rohingya

Suara azan subuh yang sayup-sayup kedengaran tetapi saling bersahutan di kem pelarian Rohingya di Balukhali, amat menyentuh emosi.

Tatkala muazzin mengalunkan kalimah "Hayya ala falah" (mari menuju kejayaan) dengan suara yang mendayu-dayu itu, saya merasa sebak dan hampir mengalirkan air mata. Azan subuh itu amat menyayat hati.

Suara muazzin seolah-olah menggambarkan penderitaan setengah juta pelarian Rohingya yang lari dari penindasan di barat Myanmar dan berlindung di Bangladesh ketika ini.

Suara anak kecil yang menangis semalaman sebelum itu di khemah berdekatan sudah tidak kedengaran, barangkali tertidur akibat keletihan.


SEORANG pelarian Rohingya di masjid utama di kem pelarian Balukhali, kira-kira dua jam dari Cox's Bazar yang kini menjadi tumpuan dunia ekoran kebajiran setengah juta pelarian dari Myanmar. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Jam di tangan saya baru menunjukkan 4.15 pagi. Matahari masih belum menampakkan diri, namun pelarian Rohingya di khemah berdekatan sudah bangun untuk solat subuh termasuk berjemaah di madrasah berdekatan.

Hasyim Ullah, 32, pelarian Rohingya yang menjadi tuan rumah saya di kem pelarian Balukhali bangun lebih awal.

"Abang ambil wuduk di sini," katanya menghulurkan sebekas air sambil menunjukkan bahagian tepi kiri di tepi pondok bertiang dan berdinding buluh, berbumbung plastik dan berlantaikan tanah bukit itu, tempat saya berwuduk.


UMAR Farouq, 8, pelarian Rohingya sedang menulis di pondoknya di Balukhali, kem pelarian tumpuan di sini. Anak-anak Rohingya mahu belajar tetapi tiada peluang pendidikan di kem pelarian yang sesak dengan setengah juta pelarian baru di sini ketika ini. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Umar Farouq, 8, anak sulung Hasyim juga sudah bangun dan mahu berjemaah bersama di madrasah yang terletak kira-kira 300 meter dari pondok daif mereka.

Di Balukhali, saya mendapati kawasan kem pelarian itu dibahagikan kepada beberapa zon mengikut abjad dan hampir setiap zon mempunyai madrasah sendiri.

Ini menerangkan kenapa saya mendengar azan subuh saling bersahutan persis berada di Lombok, Indonesia yang terkenal dengan jolokan kota seribu masjid.

Pelarian Rohingya, yang tidak diiktiraf sebagai rakyat di Myanmar itu, tetap mendirikan solat sekalipun mereka dalam kedaifan dan serba kekurangan.

Madrasah yang mereka panggil masjid tempat saya dan Hasyim bersolat semasa di Balukhali pula dibina dengan sumbangan dana yang dikumpul di antara pelarian di kawasan zon bersebelahan.

"Kami kumpul 200 (Bangladesh) taka (RM10) seorang untuk bina masjid ini. Ia penting untuk penyatuan," kata Zahid Hussain, 35, pelarian Rohingya dari Maungdaw, kawasan di mana tentera Myanmar menjalan operasi yang disifatkan sebagai "pembersihan etnik" oleh PBB.


PELARIAN Rohingya sedang solat jemaah di sebuah madrasah di kem Balukhali di sini. Syiar Islam tetap subur di kem pelarian walaupun dalam keadaan daif. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Zahid adalah imam di madrasah itu. Jika dilihat madrasah yang berlantaikan simen itu hanya mampu memuatkan 40 jemaah pada satu-satu masa. Ia tidak mempunyai bekalan elektrik dan tiada tempat berwuduk.

"Kami juga mahu masjid seperti ini di zon kami," kata Hasyim kepada saya seusai solat berjemaah di madrasah di atas puncak bukit itu.

Majoriti pelarian Rohingya mahu masjid dibina di kawasan mereka bukan kerana sikap mementingkan diri sebaliknya kerana fungsi institusi agama itu.

Di kem pelarian Rohingya, masjid bukan hanya menjadi tempat solat sebaliknya menjadi pusat komuniti, pusat agihan bantuan dan sekolah untuk kanak-kanak.

Setiap pagi anak-anak Rohingya akan pergi belajar Al-Quran di madrasah kecil ini.

Saya sempat menyaksikan situasi ini di kem Balukhali ketika cuba menyelami kehidupan pelarian Rohingya, baru-baru ini.

Faktor kedua penduduk mahu masjidnya sendiri kerana keadaan topografi kawasan kem pelarian yang berbahaya dan terletak di lereng-lereng bukit.

Keadaan kem pelarian Rohingya, khususnya di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik, menyebabkan risiko kepada mereka untuk ke madrasah terutama di waktu malam.

Saya mendapati bukan semua pelarian Rohingya mempunyai lampu picit untuk keluar rumah di waktu malam selain tidak mampu membelinya.


MADRASAH turut jadi pusat komuniti pelarian dan sekolah untuk anak-anak Rohingya teruskan hidup di kem Balukhali di sini. - Foto Syed Azwan Syed Ali

(Lampu picit amat susah diperoleh di kem pelarian Balukhali dan dijual sekitar 300 taka (RM15).

"Kalau boleh saya mahu belajar lagi," kata anak Hasyim, Umar Farouq yang tidak bersekolah kerana bapanya gagal mendaftarkannya di sekolah UNICEF di kem Balukhali.

Difahamkan, terdapat dua sekolah di kawasan Balukhali yang menyediakan peluang pendidikan kepada kira-kira 80 pelajar pelarian Rohingya mengikut kuota.

Balukhali yang juga antara kem pelarian tumpuan di Ukhia, Cox's Bazar mempunyai lebih 48,000 pelarian Rohingya dengan lebih separuh darinya adalah pelarian yang baru tiba dari barat Myanmar sejak 25 Ogos lalu.

Tentera Myanmar didakwa membakar rumah etnik Rohingya untuk menghalau mereka keluar dari negara majoriti penganut Buddha itu.

Malah ada laporan mengatakan pihak terbabit membunuh dan merogol pelarian Rohingya, tindakan yang bukan hanya disifatkan sebagai "pembersihan etnik" sebaliknya genosid kerana disasarkan kepada mana-mana individu yang tergolong dalam etnik Rohingya Muslim.

Rohingya bukan hanya tidak diiktiraf sebagai rakyat di Myanmar melalui Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 sebaliknya dinafikan hak untuk hidup sebagai manusia.

Pergerakan mereka juga dihadkan, tiada akses kesihatan dan pendidikan sempurna dan dikenakan kawalan kelahiran, terutama di utara Rakhine (kawasan majoriti Rohingya seperti di Maungdaw, Rathidaung dan Buthidaung).

Institusi agama seperti masjid atau madrasah tidak dibenarkan di Myanmar dan dalam insiden pada penghujung 2012 di Sittwe, kesemua masjid dan premis milik Muslim Rohingya diserang dan dibakar oleh pelampau Buddha Rakhine.

Etnik Rohingya juga dinafikan hak untuk belajar dan mereka tidak boleh melanjutkan pelajaran ke universiti sepertimana 135 etnik lain di Myanmar.

"Anak saya (Umar Farouq) mahu buka kedai bila dia besar," kata Hasyim menyatakan beliau amat bimbang dengan masa depan tiga anaknya yang berusia antara lima hingga lapan tahun itu dengan seorang darinya terpaksa ditinggalkan bersama keluarga abangnya di Shamlapur kerana bersekolah di sana.

Shamlapur yang terletak kira-kira sejam dari Balukhali juga penempatan pelarian Rohingya yang terletak di bawah wilayah Cox's Bazar, daerah yang dulunya terkenal sebagai pusat pelancongan tetapi bertukar sebagai kawasan pelarian terbesar di rantau Asia.

Hampir setengah juta pelarian Rohingya yang lari dari kekejaman tentera Myanmar di utara Rakhine, kini berlindung di Bangladesh selepas pintu sempadan dibuka hujung bulan lalu menjadikan negara itu tumpuan wartawan dan pekerja kemanusiaan dari seluruh dunia.

299 dibaca
Berita Harian X