Rabu, 4 Oktober 2017 | 7:08am
PENJAWAT awam perlu jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya. - Foto hiasan/NSTP

Cabaran pulih integriti jabatan perhutanan

RAMAI pihak memperkatakan integriti terutama dalam kalangan penjawat awam dalam sektor perhutanan. Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan walaupun dilakukan segelintir individu, namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam negara ini.

Terbaru, kes seorang pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut dihukum penjara sembilan bulan dan denda RM150,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima RM340,000 daripada sebuah syarikat pembalakan yang ada hubungan rasmi dengan tugasnya mencalarkan imej Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Integriti penjawat awam merujuk kepada apabila seseorang menjawat apa-apa sahaja jawatan dalam perkhidmatan kerajaan. Mereka perlu jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Memerangi rasuah dan menegakkan integriti bukan tanggungjawab eksklusif SPRM. Seluruh warga perkhidmatan awam dalam perhutanan turut sama bertanggungjawab.

Justeru, penubuhan Unit Integriti Perhutanan adalah pendekatan baharu dan perubahan strategi ke arah memantapkan penginstitusian integriti dan antirasuah anggota perkhidmatan awam.

Unit Integriti Perhutanan, JPSM ditubuhkan pada 15 Februari 2014 dengan diketuai Pegawai Kanan SPRM secara pinjaman dan pegawainya terdiri daripada Pegawai SPRM dan pegawai perhutanan sendiri. Objektif Unit Integriti adalah menyepadukan semua pengurusan hal berkaitan integriti di bawah sebuah badan atau unit khusus. Tujuannya supaya pengurusan integriti dilaksana secara lebih fokus dan terancang.

Dalam sektor perhutanan, integriti amat penting bagi memastikan pengurusan sumber hutan negara dikekalkan secara optimum. Ia anugerah Tuhan yang amat bernilai untuk kesejahteraan manusia.

Selain pelaksanaan dasar, kerajaan juga mengeluarkan banyak pekeliling perkhidmatan awam bagi memberi garis panduan kepada setiap penjawat membudayakan sikap integriti dalam melaksanakan tugas atau amanah.

Pelaksanaan tanggungjawab yang disertakan dengan prinsip integriti dapat memastikan tiada kebocoran dan ketirisan hasil kerajaan.

Kenal pasti kelemahan sistem

Pelbagai program telah dan sedang dianjurkan JPSM dalam memupuk dan memperkasa integriti dalam organisasi. Antaranya, Kempen Tanpa Hadiah, Ikrar Bebas Rasuah, Program Mystery Shopping (Lawatan Mengejut), Integrity Testing dan Program Pemantapan Integriti.

Program ini juga diperluas di peringkat Jabatan Perhutanan Negeri. Selain itu, melalui program Pengurusan Risiko Rasuah (Corruption Risk Management) juga diadakan tahun ini.

Melalui medium ini, percambahan fikiran di kalangan pegawai yang terbabit secara langsung dalam proses kerja ini telah mengenalpasti kelemahan sistem dan prosedur yang boleh ditambah baik, antaranya proses permohonan kelulusan kawasan pembalak.

Antara penambahbaikan yang dikemuka ialah menyemak semula prosedur kerja permohonan kawasan dan mewujudkan sistem tender terbuka supaya pemilihan pembalak lebih telus.

Berdasarkan statistik jumlah maklumat rasuah SPRM daripada 2010 sehingga 2013 adalah 252 maklumat. Selepas penubuhan Unit Integriti Perhutanan pada 2014 sehingga sekarang, jumlah maklumat diterima menunjukkan penurunan kepada 187 maklumat.

Kes tangkapan pegawai Jabatan Perhutanan adalah kes terpencil dan bukan gambaran sebenar masalah integriti di Jabatan Perhutanan. Namun, JPSM tiada kompromi terhadap pegawai dan kakitangan yang terbabit rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang boleh menjejaskan imej dan maruah jabatan.

Orang ramai boleh salurkan aduan secara dalam talian melalui laman web rasmi JPSM iaitu di www.forestry.gov.my.

Penulis adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

1311 dibaca
Berita Harian X