Isnin, 2 Oktober 2017 | 11:10am
ANTARA perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Agung MIC ke-71 di PWTC, Kuala Lumpur, 24 September lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Tarik undi masyarakat India kepada MIC

MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) MIC Ke-71, dihadiri hampir 1,500 perwakilan seluruh negara berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23-24 September lalu. Perhimpunan ini AGM terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi perwakilan dilaporkan kurang fokus kepada hal berkaitan PRU14.

Namun, perpaduan jelas menyerlah dalam perhimpunan ini kerana dilaporkan penyokong tegar bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel, hadir. Malah pemimpin utama puak Palanivel, Datuk S Sothinathan, ditempatkan di pentas utama, bersama barisan pemimpin parti. Menurut Presiden MIC, hampir 85 peratus atau 1,500 ketua cawangan daripada keseluruhan 4,000 cawangan, yang memihak Palanivel, hadir, namun, jurucakap Palanivel menafikan kenyataan presiden MIC.

Perhimpunan kali ini juga dilaporkan meluluskan pindaan perlembagaan parti bagi membolehkan ketua cawangan MIC seluruh negara memilih presiden parti. Pindaan ini dijangka menyenangkan hati sebahagian besar pemimpin MIC di peringkat akar umbi kerana mereka diberi kuasa menentukan kepemimpinan parti dan hala tuju parti.

Tahun ini (2017) genaplah 71 tahun usia MIC. Dalam tempoh yang panjang ini, MIC banyak menyumbang kepada pembangunan kaum India.

Usaha pengupayaan kaum India kini lebih terserlah dalam era kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak apabila melancarkan Blue Print (pelan induk) mengandungi program pembangunan kaum India bagi tempoh masa 10 tahun dengan peruntukan mencukupi.

Sehingga kini, agensi yang ditubuhkan khas oleh Najib untuk membantu kaum India dilapor menyediakan lebih RM1.9 bilion, tidak termasuk RM742.68 juta untuk pembangunan sekolah Tamil, disediakan untuk melahirkan usahawan India. Peruntukan pembangunan untuk kaum India didapati ditambahkan daripada RM150 juta dalam Bajet 2016 kepada RM260 juta dalam bajet 2017. Peruntukan yang lebih besar dijangka akan diumumkan dalam Bajet 2018 untuk melaksanakan Pelan Tindakan Pembangunan Kaum India jangka panjang.

Jawab pelbagai pertanyaan masyarakat India

Persoalannya, apakah MIC sedia mencapai sasaran presiden malah mampu mempertahankan kerusi yang menang serta menawan semula kerusi yang terlepas kepada pembangkang dalam PRU-13?

Apakah pemimpin MIC ada maklumat lengkap, ilmu dan kemahiran untuk menjawab pelbagai pertanyaan dalam kalangan masyarakat India di akar umbi, termasuk ketidakpuasan hati agihan peruntukan untuk pembangunan kaum India, seperti dibangkitkan akhbar Tamil?

Apakah pemimpin MIC di akar umbi mampu menjelaskan Blue Print dalam meyakinkan pengundi India memihak BN dan menolak Pakatan Harapan (PH)? Apakah pemimpin MIC dapat menangani dakwaan kumpulan HIN-DRAF yang menyertai PH, satu kumpulan aktivis politik yang pernah mempengaruhi ramai pengundi India memihak pembangkang dalam PRU-12?

Harapan Presiden MIC hanya akan menjadi kenyataan sekiranya pemimpin MIC bekerjasama dengan kepemimpinan parti dalam menjamin kemenangan calon MIC, sekali gus BN di kawasan masing-masing.

Pemimpin MIC, daripada semua peringkat perlu bersatu, perlu ketepikan sengketa dan perselisihan faham antara mereka demi menjamin kemenangan BN dalam PRU-14 supaya MIC dapat mengembalikan era kegemilangannya.

Penulis adalah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multi Media

125 dibaca
Berita Harian X