Jumaat, 29 September 2017 | 10:22am

Rebut potensi ekonomi pelancongan Islam

Industri pelancongan terus menjadi antara puluhan industri pemacu ekonomi terbesar dunia. Menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO), industri pelancongan ini berupaya menyumbang sembilan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Ia juga melaporkan, hasil yang dijana melalui industri pelancongan adalah enam peratus daripada eksport keseluruhan dunia (WTO, 2015). Jadi, Malaysia mempelbagaikan produk pelancongan antara berasaskan ekologi dan agro (pelancongan eko dan agro), pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, homestay, dan sebagainya tidak terkecuali pelancongan berkonsepkan agama (Pelancongan Islam). Sungguhpun Islam sampai ke Malaysia sejak ribuan tahun, namun penyebaran Islam membawa kepada tinggalan Islam lama sangat kurang di Malaysia.

Ini tidak seperti negara lain yang secara langsung menerima pengaruh pentadbiran kerajaan Islam seperti Sepanyol, Turki, India, China dan sebagainya. Namun, ini tidak bermakna Malaysia tidak boleh membangunkan produk pelancongan Islam. Malaysia boleh membangunkan produk pelancongan Islam dalam konsep tersendiri. Jadi, Malaysia perlu fokus kepada penyediaan produk dan khidmat mesra pelancong Islam.

Membabitkan diri dalam pembangunan produk pelancongan Islam mahupun berbentuk produk dan perkhidmatan mesra pelancong Islam adalah signifikan dilakukan. Hal ini kerana, perangkaan yang ditunjukkan oleh Laporan Crescentrating pada 2015, mendapati pelancong Islam akan mencapai 98 juta pada 2020. Laporan Thomson Reuters pula menyatakan pasaran dari pelancongan Muslim ini akan menjana pendapatan AS$243 bilion (RM1.043 trilion) menjelang 2021.

Usaha bangunkan produk pelancongan Islam

Ini perlu dimanfaatkan Malaysia yang sememangnya menjadi antara 10 negara teratas penerima pelancong tertinggi dunia. Tambahan pula kewujudan Pusat Pelancongan Islam (ITC) Malaysia yang dijangka dapat mempercepat dan memudahkan lagi pembangunan produk dan perkhidmatan pelancongan Islam/produk mesra pelancong Islam.

Hari ini ketibaan pelancong Islam yang bertali arus ke Malaysia merangsang pengendali hospitaliti di Malaysia memperkenalkan rangkaian produk baharu dan perkhidmatan untuk menarik tetamu beragama Islam seperti restoran syariah, hotel tanpa alkohol, mesra atau halal hotel dari segi budaya persekitaran dan spa serta pelbagai produk lain.

Ini menjadikan Malaysia tersenarai sebagai the No 1 destinasi dalam Indeks Travel Muslim Global 2015 (GMTI). Pelbagai produk lain yang sedikit sebanyak bercirikan Islam harus diketengahkan. Umpamanya lawatan ke bangunan masjid lama dan baharu, pusat pentadbiran Islam seperti (Pusat Islam, Pusat Pungutan Zakat, Lembaga Tabung Haji, bank Islam, Mahkamah Syariah dan sebagainya harus diketengahkan.

Tidak kurang, dari masa ke semasa menjadikan Malaysia sebagai penganjur acara berasaskan Islam seperti pertandingan membaca al-Quran, pertandingan Dai' dan Imam Muda, Pusat Kajian Kesarjanaan Islam, Pusat Teras Pendidikan Islam Antarabangsa dan sebagainya. Dengan memperbanyakkan acara berasaskan Islam ini, menjadikan lebih ramai warga Muslim dari luar tertumpu ke Malaysia dan ini pasti merangsang pembangunan produk pelancongan Islam.

Selain itu, kebelakangan ini pelancong asing khususnya dari Barat sangat tertarik dengan keindahan seni bina Islam yang ada pada dinding masjid mahupun kawasan dalam masjid. Membiarkan pelancong sendirian melawat ke dalam masjid tanpa memberi pendedahan jelas adalah merugikan khususnya dari sudut pelancongan.

Justeru, adalah perlu pemandu pelancongan Islam disertakan untuk memenuhi kehendak dan permintaan pelancong. Tidak terkecuali dalam konteks menyediakan perkhidmatan ini adalah juga membangunkan perkhidmatan kemudahan perubatan Islam.

Kemudahan perubatan Islam merujuk kepada yang berasaskan al-Quran dan as-sunah serta perubatan model iaitu hospital yang operasinya mengikut tata cara syariat Islam. Oleh itu, secara keseluruhan, pembangunan industri pelancongan mesra Muslim atau pelancongan Islam adalah suatu yang perlu terus diketengahkan.

Kedua penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

154 dibaca
Berita Harian X