Isnin, 4 September 2017 | 10:49am
PELBAGAI inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kualiti modal insan dan ekonomi negara setanding negara maju. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

Manfaat pelaburan modal insan

DALAM globalisasi moden, firma menghadapi saingan tinggi di pasaran global. Firma tempatan perlu mempunyai kelebihan bersaing untuk bertahan lama dalam industri.

Satu cara bagi firma untuk membangunkan kelebihan daya saing adalah melalui modal insan mereka. Modal manusia seolah-olah menjadi faktor utama dalam menentukan produktiviti firma. Untuk mencapai matlamat ini dan kelangsungan hidup dalam pasaran global, firma perlu melabur dalam modal insan.

Pelaburan dalam modal insan boleh diukur dalam beberapa cara termasuk belanja pendidikan dan latihan, pelaburan modal fizikal dan tahap pendidikan buruh. Ini akan bantu meningkatkan prestasi firma. Pekerja yang ada pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kecekapan diperlukan terutama dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dengan cabaran ekonomi.

Oleh itu, firma perlu menyedari modal insan dapat mengukuhkan produktiviti dan meningkatkan prestasi mereka. Di samping itu, Malaysia menunjukkan pelaburan berterusan dalam pendidikan sejak merdeka pada 1957. Pelaburan Kerajaan Persekutuan pada pendidikan rendah dan menengah pada 1980, direkodkan sebagai yang tertinggi di rantau Asia Timur. Ini menunjukkan kerajaan sangat komited dalam membangunkan pendidikan negara.

Indeks Produktiviti Industri (IPI) di Malaysia mengalami penurunan pada suku pertama 2016. Penurunan ini disebabkan oleh sektor perkilangan dan indeks elektrik, yang dicatatkan sebagai lemah pada tahun itu. Untuk meningkatkan prestasi IIP di Malaysia, pekerja berkebolehan diperlukan dalam industri perkilangan. Pada 2016, Malaysia menduduki tangga ke-42 dalam Indeks Modal Insan daripada 130 negara.

Oleh itu, masih banyak usaha perlu dilakukan dalam meningkatkan produktiviti modal insan. Dalam menghadapi cabaran abad ke-21, Malaysia perlu melabur dan merancang modal insan secara beransur-ansur. Industri di negara kita kurang guna tenaga kerja yang ada. Malaysia boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mengekalkannya pada jangka panjang sekiranya kerajaan menumpukan kepada modal insan.

Dengan kata lain, pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi diperlukan untuk meningkatkan ekonomi negara. Negara mengalami kekurangan pekerja mahir yang tinggi, menyebabkan pertumbuhan produktiviti lemah, berpunca daripada kekurangan kreativiti dan inovasi dalam tenaga kerja serta bergantung kepada pekerja asing yang kurang mahir (Majlis Penasihat Ekonomi Negara, 2010). Malaysia banyak tumpukan kepada pengambilan pekerja kurang mahir kerana upah mereka rendah berbanding pekerja mahir. Setakat ini hanya lebih kurang empat juta pekerja mahir daripada 14.8 juta guna tenaga di Malaysia.

Pada 2015, bilangan pekerja mahir diambil bekerja oleh firma adalah 28 peratus berbanding pekerja kurang mahir menyumbangkan 61.9 peratus (Kementerian Sumber Manusia, 2015). Masalah ini semakin meningkat kerana ketidaksesuaian antara kemahiran diperlukan pasaran buruh dan yang diperoleh pencari kerja yang semakin buruk. Oleh itu, untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan mempunyai produktiviti perindustrian, adalah perlu bagi negara untuk meningkatkan jumlah pekerja mahir kreatif dan inovatif.

Pertumbuhan ekonomi melalui produktiviti

Salah satu usaha dilakukan kerajaan adalah peningkatan kualiti modal insan melalui pendidikan dan latihan. Pendidikan menyumbang kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi. Oleh itu, Kementerian Pendidikan diberi tanggungjawab membantu mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan melaksanakannya. Pendidikan dianggap pelaburan jangka panjang yang akan bawa produktiviti negara pada masa akan datang.

Modal insan dengan mentaliti kelas pertama adalah aset penting negara yang akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi melalui produktiviti. Oleh itu, untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu membangunkan modal insannya terlebih dahulu.

Pendidikan adalah salah satu alat penting yang bertindak sebagai pelaburan dalam modal insan. Usaha kerajaan dari segi pendidikan adalah melalui Program Transformasi Ekonomi, Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) babitkan sektor ekonomi terpilih yang akan membawa Malaysia ke negara berpendapatan tinggi.

Negara berproduktiviti tinggi perlukan tenaga kerja berpendidikan yang memiliki kemahiran, pengetahuan dan kebolehan untuk membantu mempelbagai dan mengembangkan ekonomi. Tenaga buruh berkualiti tinggi membantu meningkatkan produktiviti buruh negara, peluang pekerjaan dan kejayaan ekonomi jangka panjang. Walaupun produktiviti keseluruhan negara dipengaruhi keadaan ekonomi global, keupayaan negara untuk meningkatkan kadar pertumbuhan produktiviti buruhnya bergantung terutamanya kepada kecekapan dari sumber dalaman seperti modal insan.

Ada beberapa cadangan yang boleh disarankan kepada kerajaan untuk meningkatkan produktiviti perindustrian dan modal insan. Pertama, kerajaan perlu tingkatkan peruntukan sektor pendidikan. Melalui peningkatan peruntukan pendidikan, pihak universiti dapat memberi fasiliti dan kemudahan kepada siswazah. Secara tidak langsung ini dapat menghasilkan modal insan berkualiti serta dapat membantu meningkatkan produktiviti perindustrian. Apabila Indeks Produktiviti Industri meningkat, ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Kedua, sistem pendidikan perlu diperbaharui untuk hasilkan bakal pekerja dengan keupayaan analitik dan penyelesaian masalah, komunikasi dalam bahasa Inggeris yang baik dan kemahiran rangkaian sosial berkesan. Kualiti ini sangat penting dalam penggunaan teknologi canggih dan dalam mempromosikan generasi berpengetahuan dan berinovasi.

Ketiga, usaha lebih gigih diperlukan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta transformasi pendidikan untuk meningkatkan kecekapan tenaga kerja. Ia perlu difokuskan pada kadar penyertaan dalam TVET perlu ditingkatkan dan kualiti kurikulum TVET perlu memenuhi keperluan industri. Kedua, kompetensi graduan dalam kemahiran teknikal serta soft skills perlu dipertingkatkan. Pelajar industri harus terbabit dalam program TVET dan kerjasama penyelidikan, kerana inisiatif ini akan meningkatkan pengetahuan praktikal dan kemahiran perniagaan graduan TVET.

Akhir sekali, masalah ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan boleh diatasi melalui kerjasama antara universiti dan industri. Antaranya ialah menawarkan latihan industri kepada pelajar sebelum mereka memasuki pasaran buruh. Latihan industri ini dilihat sebagai salah satu cara berkesan untuk mendapatkan peluang pekerjaan di samping memberi latihan dan pengalaman kepada graduan.

Oleh Dr Masturah Ma'in (Pensyarah Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)) dan Izza Hazira Zailan (Pelajar Sarjana Ekonomi Perniagaan, UiTM - Pelaburan Modal Insan dan Usaha-usaha Kerajaan)

198 dibaca
Berita Harian X