Selasa, 29 Ogos 2017 | 6:44am
SEBANYAK 240 bendera Jalur Gemilang menghiasi Flat Desa Putra, Persiaran Bayan Indah 3, Georgetown, Pulau Pinang. Malaysia menyambut Hari Kebangsaan Ke-60 bertemakan 'Negaraku Sehati Sejiwa'. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kenakan tindakan tegas hina Jalur Gemilang

BENDERA Malaysia mula dikenali sebagai Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1997 dan perisytiharan nama rasmi bendera kebangsaan itu dibuat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-40. Jalur Gemilang adalah simbol dan identiti penting Persekutuan Malaysia. Ia mempunyai nilai dan darjat yang melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan negara kita.

Justeru, warganegara yang baik dan prihatin akan memberi penghormatan sewajarnya terhadap Jalur Gemilang. Sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina dan tidak menghormati Jalur Gemilang adalah perbuatan yang mencabar maruah negara.

Pernah berlaku beberapa insiden menghina bendera kebangsaan sebelum ini. Contoh, pada malam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 (2013) sekumpulan individu sengaja mengibarkan bendera yang mereka namakan Sang Saka Malaya sebagai tindakan provokasi dan penafian terhadap Jalur Gemilang.

Pernah juga bendera kebangsaan sengaja dipasang terbalik semata-mata atas kebencian politik sedangkan lambang negara itu tidak ada kena mengena sama sekali dengan soal politik kepartian. Di beberapa negara yang mempunyai akta khusus berkaitan kesalahan menghina bendera kebangsaan mereka, maka tindakan tegas akan dikenakan.

Di negara kita, ada beberapa akta yang boleh digunakan ke atas mereka yang menghina Jalur Gemilang iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Akta itu diwujudkan untuk mengawal penggunaan 'Lambang-Lambang Kebangsaan'. Berdasarkan Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, seseorang yang menjual atau menggunakan Jalur Gemilang atau apa-apa tiruan yang serupa dengannya bagi tujuan perdagangan dan perniagaan atau menggunakannya di dalam cap dagangan tanpa mendapat keizinan bertulis menteri boleh didakwa.

Berdasarkan Akta A1525 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan 2017) pada Fasal 2 berkaitan penggantian Seksyen 5 bagi Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) menetapkan jika disabitkan kesalahan seperti di bawah Seksyen 3, maka seseorang itu boleh dikenakan denda sehingga RM12,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pindaan belum dikuatkuasakan

Bagaimanapun, pindaan itu masih belum dikuatkuasakan lagi (Portal Rasmi e-Warta Wilayah Persekutuan). Justeru, denda tidak melebihi RM1,000 bagi mana-mana orang yang melanggar seksyen akta terbabit masih terpakai.

Selain itu, Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 juga ada memperuntukkan hukuman berkaitan kesalahan menghina lambang kebangsaan. Pada 2013, kerajaan cuba memperkenalkan kesalahan berkaitan bendera kebangsaan melalui Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013. Fasal 5 'Rang Undang-Undang' itu antara lain menggariskan hukuman penjara mandatori 15 tahun dan denda untuk kesalahan memijak Jalur Gemilang atau apa-apa bendera negara lain dengan niat untuk menghina. Bagaimanapun, fasal terbabit digugurkan daripada rang undang-undang itu selepas ia dibahaskan pada bacaan kali kedua.

Pada hemat penulis, sewajarnya negara kita mempunyai akta khusus berkaitan Jalur Gemilang. Negara seperti Amerika Syarikat, India, Singapura dan beberapa negara lain mempunyai akta khusus bagi kesalahan berkaitan bendera kebangsaan mereka. Kita sudah ada undang-undang mengenai lagu kebangsaan, Akta Lagu Kebangsaan 1968, di mana kesalahan termasuk gagal berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang boleh membawa denda RM100 atau sebulan penjara. Justeru, mengapa tidak kita adakan undang-undang khusus bagi kesalahan menghina Jalur Gemilang?

Penulis berkelulusan Sarjana dalam bidang Sejarah dan Tamadun

33352 dibaca
Berita Harian X