Rabu, 23 Ogos 2017 | 1:42pm
Amanah Raya menyediakan perkhidmatan dengan fi yang rendah dan berpatutan demi keselesaan pelanggan.

Rancang pewarisan demi legasi masa depan

Kuala Lumpur: Pergaduhan berkaitan Harta Pusaka membabitkan saudara rapat sehingga memutuskan silaturahim boleh dielak jika merancang pewarisan demi kepentingan legasi masa hadapan.

Ini kerana, apabila seseorang itu meninggal dunia, sebarang kemungkinan boleh berlaku, terutama membabitkan pengagihan Harta Pusaka yang ditinggalkan.

Dalam membuat Perancangan Pewarisan, kaum wanita sering meletakkan tanggungjawab itu kepada lelaki dengan alasan mereka adalah ketua keluarga dan pembuat keputusan.

Penting laksana wasiat

Ketua Bahagian Hal-Ehwal Korporat Kumpulan Amanah Raya Berhad, Nik Salina Nik Idris, berkata wanita berperanan penting mengingatkan suami supaya melaksanakan Wasiat demi kelangsungan hidup bersama anak jika suami meninggal dunia.

"Perancangan Pewarisan itu sangat penting kerana ia kesinambungan untuk memelihara keluarga yang tersayang. Bukan hanya suami sahaja perlu membuat Wasiat tetapi isteri juga harus berbuat demikian tanpa mengambil kira sama ada mereka ini bekerja atau suri rumah," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Amanah Raya.

Nik Salina berkata, sebagai contoh terdapat kes suami meninggal dunia dan mempunyai anak masih kecil sebelum itu hanya mengamanahkan isteri menguruskan hartanya secara lisan sahaja.

Bagaimanapun, tanpa dokumen Wasiat yang sah, timbul masalah apabila semua wang dan perniagaan adalah di atas nama suami yang sudah meninggal dunia.

"Keadaan ini memaksa isteri meminta Surat Kuasa untuk mentadbir Pusaka suami dan sementara menunggu Surat Kuasa, isteri mengalami kesulitan kerana ketiadaan wang menanggung perbelanjaan anak-anak," katanya.


Nik Salina Nik Idris, Ketua Jabatan Perhubungan Korporat Amanah Raya Berhad.

Bela nasib isteri, anak

Nik Salina berkata, terdapat juga kes membabitkan pasangan suami isteri membeli rumah atas nama bersama dan apabila suami meninggal dunia, isteri sebagai pemilik bersama hanya mendapat 50 peratus bahagian ke atas rumah berkenaan, manakala baki 50 peratus lagi perlu dibahagikan mengikut hukum faraid.

Katanya, masalah timbul apabila keluarga suami turut menuntut hak 50 peratus bahagian suami ke atas rumah yang didiami isteri dan anak yang masih kecil.

"Apabila tiada kata sepakat, mahkamah akan memerintahkan rumah itu dijual dan hasil jualan dibahagikan mengikut peratus yang ditetapkan. Dalam keadaan ini, bagaimana nasib isteri dan anak terbabit apabila mereka terpaksa menjual bahagian diwarisi ke atas rumah itu.

Jadi, kita dapat melihat pentingnya merancang Harta Pusaka lebih awal. Kita tidak tahu bila ajal dan tanpa Wasiat, waris ditinggalkan mungkin berdepan pelbagai masalah," katanya.

Selain wanita berkeluarga, Nik Salina turut mengingatkan mereka yang tidak berkahwin untuk melaksanakan Perancangan Pewarisan dengan lebih awal, ini kerana sekiranya wanita itu meninggal dunia dan tiada mana-mana waris untuk mewarisi sama ada ibu bapa, adik beradik atau waris lain, terdapat kemungkinan Harta Pusaka simati akan diserahkan kepada Baitulmal.

Dalam membuat pewarisan, AmanahRaya, iaitu agensi kerajaan yang memberi perkhidmatan selama lebih 90 tahun lalu adalah pilihan terbaik kepada rakyat Malaysia.

Fi rendah, berpatutan

AmanahRaya menawarkan Perkhidmatan Wasiat, Pengurusan Amanah dan Pentadbiran Pusaka serta Pengurusan Peramanahan, bukan hanya menguruskan Harta Pusaka umat Islam, sebaliknya bagi semua kaum dan agama di Malaysia.

AmanahRaya adalah syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang AmanahRaya dan Pegawai Tadbir Pusaka yang telah ditubuhkan sejak 1921 merupakan sebuah syarikat Pemegang Amanah Utama di Malaysia yang telah dikorporatkan pada 1995.

"Waris tidak perlu bimbang menggunakan khidmat AmanahRaya kerana semua urusan dilaksanakan pihak kami yang mempunyai 18 cawangan di seluruh negara, sekali gus menjadikan semua urusan dilaksanakan segera," katanya.

Nik Salina berkata, AmanahRaya mempunyai bidang kuasanya tersendiri iaitu Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 di mana kami diberi kuasa melaksanakan proses perundangan tanpa lantikan peguam.

"AmanahRaya mempunyai 978,611 pewasiat sehingga Julai lalu menyediakan tawaran istimewa buat rakyat Malaysia, iaitu Kempen Wasiat ke sejuta akan menerima wang tunai RM25,000 kepada pewasiat kesejuta.

"Kepada semua rakyat Malaysia, dijemput untuk datang beramai-ramai ke kaunter bergerak AmanahRaya yang akan turut serta sebagai pempamer di dalam Invest Fair yang berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos 2017 di Midvalley Megamall dan Program Jom Bantu Rakyat pada 10 September depan di Parlimen Lembah Pantai," katanya.

152 dibaca
Berita Harian X