Rabu, 9 Ogos 2017 | 9:44am

ECRL ubah landskap, sosioekonomi Pantai Timur

Mod sistem perhubungan darat ke Pantai Timur akan berubah 360 darjah dengan siapnya projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 kilometer, yang bakal membawa banyak impak sosioekonomi kepada kawasan luar bandar dan bandar dilaluinya. Projek ECRL dijangka memulakan operasi pertengahan 2024 itu juga menunjukkan betapa serius kerajaan bawa lebih banyak peluang ekonomi ke Pantai Timur, khususnya peluang pekerjaan baharu di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Jajaran rel kereta api laju yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya akan melalui 23 stesen di antaranya bermula dari Gombak, Selangor ke Tumpat, Kelantan dijangka siap pada pertengahan 2024, adalah projek transformasi dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja membawa perubahan fizikal dan ekonomi tetapi juga mentaliti rakyat di tiga negeri berkenaan. Masyarakat di Pantai Timur tertumpu kepada sektor pertanian, peladangan, perikanan dan ramai generasi muda sebelum ini berhijrah ke negeri di Pantai Barat untuk cari pekerjaan. Namun, kerajaan mahu tukar persepsi itu dengan membawa era pemodenan ke Pantai Timur dan mahu pastikan rakyatnya bersedia lebih awal menghadapi perubahan zaman apabila negara mencapai status negara maju.

Usaha kerajaan memodenkan sistem perhubungan darat ke Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi mempercepatkan perjalanan dari Pantai Timur ke Lembah Klang dan negeri di Utara Semenanjung bermula dengan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dari Karak ke Kuantan dibuka kepada pengguna jalan raya pada 1 Ogos 2004, manakala LPT Fasa 2 dari Jabor ke Kuala Terengganu beroperasi pada 2015.

Rakyat perlu melihat projek ECRL bernilai kira-kira RM55 bilion itu sebagai persediaan awal bagi mewujudkan sistem perhubungan dan pengangkutan awam moden, sistematik dan terancang.

Setiap kali pembangunan dilaksanakan di sesuatu tempat, maka akan berlaku proses rantaian ekonomi berkaitan perkhidmatan, penawaran peluang pekerjaan serta pembukaan bandar baharu dan ia dapat membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan.

Tingkat taraf hidup masyarakat luar bandar

Bandar kecil yang akan dibina stesen ECRL seperti di Bentong, Mentakab, Gambang, Cherating di Pahang; Chukai, Dungun, Kuala Telemong di Terengganu serta Tok Bali, Wakaf Bharu dan Tumpat di Kelantan akan jadi tumpuan pembangunan pesat sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.  Peniaga kedai makan, penternak ikan patin dalam sangkar, pengusaha songket, kraftangan, kain tenun, peniaga keropok lekor yang jadi sebahagian jenama masyarakat Pantai Timur turut dapat limpahan ekonomi hasil pembinaan laluan kereta api laju ini.

Ia juga dapat tarik pembukaan lebih banyak pusat komersial dan penempatan baru berhampiran stesen ECRL. Syarikat pelabur asing juga pasti intai peluang pelaburan di Pantai Timur seperti di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), kawasan perindustrian di ketiga-tiga negeri kerana ECRL menghubungkan pengangkutan kargo dari pelabuhan utama di Pantai Barat ke Pantai Timur Semenanjung.

Sejajar slogan Menyatu Kehidupan, Memacu Pertumbuhan, majlis pecah tanah ECRL di Stesen Sentral KotaSAS, yang terletak 10 kilometer dari bandar Kuantan hari ini, menyaksikan satu lagi sejarah pemodenan negara tercipta dalam tempoh 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.  

2020 dibaca
Berita Harian X