Selasa, 9 Oktober 2018 | 12:18pm
SIDDIQ Fadzil. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bentuk bangsa Malaysia ikut acuan Perlembagaan Madinah

BANGI: Maslahah ummah dalam konteks Malaysia Baharu perlu diertikan secara luas dan inklusif atau terangkum serta menyeluruh, sekali gus tidak terbatas hanya dalam kalangan umat Islam, bahkan mengambil kira seluruh rakyat.

Dalam merealisasikan objektif rahmat sejagat atau Rahmatan Lil Alamin, Islam perlu berperanan aktif mewujudkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Tokoh Maal Hijrah 1439H/2018 yang juga Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, berkata maslahah yang inklusif atau terangkum dan menyeluruh bererti pemerataan khidmat serta manfaat kepada warga kemanusiaan sepenuhnya.

“Memang kaum Muslimin bersifat ukhrijat lin-nas, iaitu umat yang ditampilkan untuk berbakti kepada manusia sejagat.

“Seterusnya, Islam harus mempelopori pembentukan bangsa Malaysia dalam pengertian ummah siasiyyah (umat politik) mengikut acuan Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

“Demikian sebahagian daripada moral politik yang seharusnya mencirikan era Malaysia Baharu yang berakhirnya politik adu domba dan perkauman sempit,” katanya pada Syarahan Perdana Hijrah Ke Malaysia Baharu: Mencari Makna Di Sebalik Kata di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini.

Siddiq berkata, hijrah Malaysia Baharu perlu diberikan makna sebagai hijrah pentadbiran maslahi, iaitu layanan pemerintah terhadap rakyat menerusi dasar yang sejajar dengan maslahah.

Katanya, ia termasuk dasar ekonomi yang adil yang dapat membebaskan rakyat dari lingkaran kemiskinan.

“Orang miskin tidak memilih untuk menjadi miskin tetapi dipaksa oleh sistem yang memeras dan menindas.

“Begitu juga dengan negara miskin, mereka bukan tidak mempunyai keinginan untuk membangun dan maju, tetapi dihalang daripada membangun,” katanya.

Justeru, Siddiq berkata, Malaysia Baharu perlu diisi dengan perjuangan menangani semua faktor kemiskinan yang tidak hanya wujud di kawasan pedalaman, bahkan di kota.

“Isu pembangunan dan kemiskinan tidak dapat ditangani tanpa mengkaji dalam kerangka politik dan sosial yang lebih luas.

“Kemiskinan berkait rapat dengan pelbagai faktor seperti pendidikan, nilai budaya, dasar ekonomi dan politik. Walaupun kompleks, kemiskinan bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia Baharu seharusnya menjadi era baharu bagi Islam untuk berfungsi sepenuhnya sebagai agama rahmat pembebasan daripada segala belenggu termasuk penjajahan ekonomi baik kuasa luar mahupun penjajahan bangsa sendiri.

Malah kata Siddiq, Malaysia Baharu juga perlu bererti sebagai era baharu bagi demokrasi.

“Proses demokrasi perlu diperhebat di segala bentuk kehidupan bangsa dan negara, sekali gus bersifat segar dan subur dalam membudayakan kehidupan rakyat,” katanya.

Katanya, Hijrah ke Malaysia Baharu hanya akan berlaku apabila keadilan sosial terlaksana.

“Selepas 61 tahun merdeka, ternyata masih ada rakyat yang belum menikmati agihan negara secara saksama yang menunjukkan pemerataan keadilan belum berlaku sebagaimana yang dikehendaki.

“Agenda pendemokrasian ekonomi perlu menjadi keutamaan untuk membela nasib mereka yang terabai selama puluhan tahun,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia Baharu membawa makna segunung harapan untuk memartabatkan insan, tegakkan keadilan dan mendaulatkan kebenaran.

“Segala harapan terbabit hanya dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai agama dan budaya.

“Malaysia Baharu harus melalui anjakan dasar dari era sebelumnya. Namun memenuhi harapan tersirat di sebalik Malaysia Baharu adalah misi besar yang mencabar,” katanya.

163 dibaca
Berita Harian X