Khamis, 17 Mei 2018 | 7:25am
- Gambar hiasan

Hak bertudung perlu diperjuangkan

Hampir 20 tahun lalu, salah faham masyarakat dunia terhadap Islam dan wanita Muslim sesuatu yang lumrah. Penulis masih ingat soalan kerap ditanya ketika menghadiri persidangan perubatan di Barat; apakah yang dipakai di atas kepala, kenapa memakainya dan tidakkah ia mengganggu kerjaya? Soalan itu sentiasa digunakan dengan jawapan memperkenalkan diri sebagai Muslim dan fakta penulis doktor perubatan, berinteraksi menggunakan istilah perubatan sama seperti mereka, secara automatik menjawab soalan terakhir di atas.

Namun, tragedi pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang kebanyakannya pelancong asing dan tragedi 11 September 2001 mendatangkan dilema kepada penulis apabila ke luar negara. Antara nasihat diberikan ketika itu agar berhati-hati memilih pakaian dan tudung dari segi saiz dan warna.

Bagi suami penulis yang menemani tidak mempunyai masalah lantaran dapat mengubah penampilan dengan mencukur janggut, simbol dikaitkan lelaki Muslim. Namun, bagi wanita, menanggalkan tudung bukan pilihan. Ekspresi hak wanita Muslim untuk berhijab yang diyakini sebagai kewajipan agama, menjadi masalah utama ketika itu.

Peningkatan pengguna internet bertambah dari setahun ke setahun sepatutnya menjadi medan berguna bagi masyarakat sedunia saling memahami perbezaan dan hak beragama masing-masing. Namun, fakta ini masih tidak berupaya mengubah salah faham terhadap wanita Islam, bahkan Islamofobia terus berleluasa.

Media juga sering menggambarkan wanita berhijab sebagai ditindas atau sinonim dengan kumpulan pengganas militan. Sering paparan berita mengenai tragedi pengeboman, tembakan dan penculikan yang dikaitkan dengan pengganas Muslim, media menyertakan paparan wanita berhijab walaupun tragedi sedemikian tidak semestinya membabitkan wanita Islam.

Manipulasi poster wanita bertudung

Paparan berita di Perancis menunjukkan poster wanita berhijab sejurus selepas serangan di sekitar stadium di Paris yang menyebabkan 130 orang terbunuh pada 2015. Serangan itu dikaitkan dengan pengganas Daesh dan poster seumpama sudah cukup memberikan tekanan hebat kepada wanita Muslim.

Menerusi kajian wartawan, Deniz B Serinci terhadap liputan media Denmark mengenai wanita Muslim dalam 1,600 artikel di enam akhbar utama tempatan dari 1999 hingga 2013, beliau merumuskan kebanyakan liputan bersifat negatif dan hanya menumpukan penindasan wanita, kawalan sosial, hijab, kahwin paksa, pembunuhan bermaruah serta mutilasi genitalia wanita.

Sangat sedikit paparan positif mengenai wanita Muslim serta pembabitan mereka yang ditonjolkan dalam agenda sosial, ekonomi dan politik negara. Paparan wanita Muslim berhijab hanya tokoh yang sangat berjaya di media, menguatkan lagi persepsi kejayaan wanita Muslim adalah sangat luar biasa dan bukan kebiasaan.

Ketika wanita berhijab berjaya di lapangannya, mereka masih terus dihakimi sebagai tertindas. Apabila Ibtihaj Muhammad menjadi wanita berhijab Amerika Syarikat (AS) pertama memenangi pingat pada acara lawan pedang di Sukan Olimpik 2016, pengacara rancangan temu bual Rush Limbaugh sinis bertanya: "Kenapa meraikan wanita yang memakai sesuatu (hijab) yang dipaksakan ke atasnya oleh agama dan agama yang ditentukan oleh lelaki?"

European Network Against Racism (ENAR), jaringan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menangani isu rasisme di Eropah mengeluarkan laporan padat mengenai wanita Muslim bertajuk Forgotten Women: The Impact of Islamophobia on Muslim Women pada 2016. Laporan itu diharap membuka mata masyarakat mengenai wanita Muslim didiskriminasi.

Namun pada 14 Mac 2017, Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) memutuskan pengharaman sebarang bentuk pakaian melambangkan politik, falsafah dan agama di tempat kerja tidak termasuk dalam takrifan diskriminasi. Majikan dibolehkan menguatkuasakan larangan itu jika syarikat atau institusi mempunyai peraturan mewajibkan pekerja berpakaian secara neutral.

Hotel larang pekerja bertudung

Keputusan ECJ dikritik ramai kerana nyata hanya menambahkan diskriminasi terhadap wanita Muslim berhijab. Justeru, wanita Muslim berhijab menerima 'triple penalties' atau tiga hukuman dalam pekerjaan dan kehidupan sosial, iaitu 'dihukum' kerana jantina, etnik dan kepatuhan beragama.

Pada penghujung 2017, Malaysia dikejutkan dengan laporan badan sekerja dan NGO mengenai aduan wanita Muslim yang tidak dibenarkan memakai hijab di bidang perhotelan. Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan kakitangan hotel di lebih 20 hotel bertaraf 4 dan 5 bintang mengadu petugas wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung.

International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) turut mendedahkan larangan bertudung di sesetengah rangkaian hotel tidak hanya dikenakan ke atas pekerja kaunter khidmat pelanggan, malah membabitkan juruwang, pengurus acara, kakitangan jamuan dan pembersih bilik bahkan mereka yang bekerja di dapur. Larangan ini membentuk diskriminasi pekerjaan secara sistematik apabila graduan kursus perhotelan, pelancongan dan hospitaliti, dinafikan hak mendapat pekerjaan melalui larangan berhijab.

Di negara ini, diskriminasi wanita Muslim tidak dapat diterima. Ia melanggar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan. Ia juga melanggar Perkara 8(2) dan bertentangan dengan Perkara 11(1). Tindakan majikan dari mana-mana sektor juga bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang diratifikasi Malaysia pada 1995.

Dalam hal ini, kerajaan perlu ada mekanisma khas untuk aduan dan melakukan pemeriksaan berkanun ke atas sektor pekerjaan baik kerajaan mahupun swasta dalam membendung diskriminasi wanita Islam berkaitan pemakaian hijab. Akta Pekerja dan Akta Perhubungan Perusahaan sedia ada tidak mencukupi bagi melindungi wanita Muslim dari didiskriminasi. Akta khusus seperti Akta Kesamarataan (Equality Act) yang sesuai dengan undang-undang domestik dan sensitif kepada agama dan budaya perlu digubal bagi memastikan hak ekspresi beragama wanita, baik Muslim mahupun bukan Muslim, terbela.

Penulis adalah Presiden Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan Profesor Madya Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

1695 dibaca
Berita Harian X