;
Isnin, 14 Mei 2018 | 6:58am
Amalan membaca al-Quran menjadikan Ramadan terisi dengan perkara diredai Ilahi. - Gambar hiasan

Persiap hati, jiwa menanti Ramadan

MUKMIN perlu bersiap-sedia untuk menanti kehadiran Ramadan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ikuti perkongsian Ustazah Halimah Al-Aydrus dalam segmen Topik Jumaat bersiaran di IKIMfm.

Ramadan adalah kurniaan Allah SWT. Sebagai hamba, kita wajib mensyukuri nikmat usia yang diberikan sehingga kita dapat bersama-sama meraih ganjaran berlipat kali ganda setiap kali munculnya Ramadan. Malah, Rasulullah SAW sudah bersiap sedia menanti kehadiran Ramadan yang penuh dengan keberkatan, dua bulan lebih awal. Baginda mengajarkan doa kepada kita: "Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami kepada Ramadan."

Nabi SAW turut bersabda: "Ramadan itu menghapuskan dosa. Andai sahaja kalian tahu, apa yang Allah SWT kurniakan pada Ramadan, maka kalian akan berharap agar setiap bulan adalah Ramadan."

Menerusi segmen Topik Jumaat bersiaran di IKIMfm, Ustazah Halimah Al-Aydrus berkongsi persiapan kita sebagai hamba dalam menuju ke gerbang Ramadan. Beliau berpesan agar kita melakukan yang terbaik setiap kali munculnya Ramadan kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadan berikutnya.

Segala kurniaan diberikan Allah SWT ketika Ramadan akan turun ke dalam hati kita. Maka Allah SWT akan mencari hati yang layak untuk diturunkan segala keampunan Allah SWT. Jadi, sebelum melangkah masuk Ramadan, kita harus mempersiapkan hati dan jiwa kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila datang malam pertama Ramadan, Allah SWT akan pandang hamba-Nya dengan pandangan penuh kasih sayang."

Empat golongan terhalang rahmat Ilahi

Janganlah kita tergolong mereka yang jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT tatkala tiba Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai empat golongan terhalang daripada mendapat rahmat Allah SWT ketika Ramadan.

Pertamanya, golongan peminum minuman keras. Kedua, anak derhaka kepada kedua ibu bapa. Untuk itu, bagi anak, dapatkan reda dan restu ibu bapa serta keampunan mereka agar Ramadan yang kita lalui tidaklah sia-sia kerana keredaan Allah SWT untuk apa yang kita lakukan pada Ramadan sangat bergantung dengan keredaan ibu bapa. Bagi ibu bapa, didiklah hati untuk mudah memaafkan kesalahan anak serta reda dengan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Semoga Allah memberi rahmat, seseorang yang memudahkan anaknya untuk berbakti kepada dirinya."

Golongan ketiga yang jauh daripada rahmat Alah SWT ketika Ramadan, orang yang memutuskan hubungan silaturahim dengan saudaranya. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hubungan silaturahim bergantung di bawah 'Arasy." Lantas Baginda menyambung "Ya Allah, sambungkanlah diri-Mu dengan orang yang menyambungkan hubungan denganku dan putuskanlah hubungan-Mu Ya Allah, dengan orang memutuskan hubungan denganku."

Golongan terakhir ialah orang yang di hatinya ada dendam, permusuhan dan kebencian terhadap orang lain. Orang yang belum lagi kita memaafkan kesalahannya bisa menjadi penghalang kebaikan yang kita lakukan. Jika kita tinggalkan keempat-empat perkara ini, maka mudah untuk kita mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT tatkala tiba Ramadan.

Ramadan juga bulan suci. Kesucian daripada Ramadan ketika ia dapat menyucikan kita daripada perbuatan dosa yang kita lakukan. Rasulullah SAW bersabda: "Dari Ramadan kepada Ramadan (sekiranya bagus Ramadannya), mampu menjadi penghapus dosa antara dua Ramadan.'

Penuhkan masa dengan ibadah

Jadikan Ramadan kita terisi dengan perkara diredai Allah SWT seperti berpuasa pada siangnya dengan penuh kesungguhan, menunaikan solat Tarawih dan ibadah malam serta memperbanyakkan membaca al-Quran.

Ustazah Halimah turut berpesan agar kita dapat memperbanyakkan sedekah. Maka, sedekah paling baik pada Ramadan adalah memberi makan orang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memberi makan orang berpuasa ketika berbuka, maka dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang berpuasa itu, tidak berkurang sedikitpun pahalanya."

Semoga apa juga amalan kita yang kita laksanakan ketika Ramadan akan diganjari Allah SWT dan beroleh ketakwaan pada penghujung Ramadan kita nanti. Jadikan Ramadan kali ini, Ramadan terbaik dalam kehidupan kita.

Penulis adalah Penyampai & Penerbit Rancangan IKIMfm

380 dibaca
Berita Harian X