Sabtu, 3 March 2018 | 6:02am
Abdullah (dua dari kanan) merasmikan Seminar Pendekatan Wasatiyyah 2018 Universiti Putra Malaysia

Perluaskan konsep kesederhanaan dalam pelbagai bidang

Melampau dalam beragama bukan disebabkan oleh ajaran agama, sebaliknya cara mereka mengamalkan agama secara berlebihan atau berkurangan daripada ajaran sebenar hingga melahirkan sifat negatif.

Rasulullah SAW meminta umatnya supaya mengikuti dan mengamalkan sunahnya serta sunah Khulafa ar-Rasyidin yang mengamalkan cara hidup wasatiyyah dalam akidah, ibadat, syariah muamalat serta akhlak.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin menegaskan wasatiyyah sebagai prinsip yang tidak akan hidup tanpa usaha atau proses, kerana ia memerlukan orang yang mengajak manusia kepada kebaikan dan mendatangkan manfaat.

Oleh itu, kata Abdullah, konsep wasatiyyah perlu diperluaskan dan disemarakkan dalam pelbagai bidang seperti pembangunan modal insan, pendidikan, politik, ekonomi, sosiobudaya, sistem perbankan dan kewangan Islam.

"Masyarakat Islam di negara ini dan Nusantara sudah mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan mereka sejak sekian lama, terutama yang berkaitan dengan agama. Bagaimanapun, wasatiyyah tetap menjadi prinsip yang memerlukan penghayatan.

"Justeru, pakar pemikir dan ahli akademik perlu membuat kerja penyelidikan serta penulisan untuk menjelaskan perkara itu supaya dapat dijadikan bahan rujukan masyarakat," katanya pada Seminar Pendekatan Wasatiyyah 2018 Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Pelancaran Kelab Wasatiyyah UPM di UPM, Serdang.

Yang turut hadir, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Datuk Mohd Yusof Din dan Pendaftar UPM, Datuk Wan Azman Wan Omar.

Perlu dijelaskan

Abdullah berkata, konsep itu perlu dijelaskan secara syumul, selain dihubung kait dengan Piagam Madinah, maqasid syariah (objektif syariat), fiqh al-awlawiyyat (fiqh keutamaan), siyasah syar'iyah (politik Islam) dan hikmah supaya tidak merugikan umat Islam.

Beliau berkata, pendekatan wasatiyyah lebih mudah dihayati dan direalisasikan kerana ia berpaksi kepada kesederhanaan, keseimbangan, keadilan serta kecemerlangan yang hakikatnya sudah menjadi amalan budaya masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, langkah perlu ialah mempromosikan pendekatan itu supaya dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

"Tonggak wasatiyyah ialah prinsip dalam agama iaitu akidah, syariah dan akhlak yang hendaklah disampaikan melalui pendekatan kasih sayang, perpaduan serta kesejahteraan melalui aspek kesederhanaan berimbang.

"Konsep wasatiyyah juga perlu memperlihatkan kemampuan menguruskan dan mentadbir masyarakat berbilang kaum, agama serta budaya dengan mewujudkan dasar perkongsian kuasa, juga perpaduan dalam kepelbagaian," katanya.

Umat yang adil

Beliau memberikan contoh penghayatan wasatiyyah dalam bidang ekonomi dan pendidikan perlu disokong prasarana yang kondusif, bagi melahirkan graduan serta modal insan yang mampu meneraju pembangunan tamadun manusia secara menyeluruh.

Kesimpulannya, Allah SWT memartabatkan umat Islam sebagai 'ummatan wassata' iaitu pertengahan, adil dan seimbang seperti dirakamkan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan demikianlah pula Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) ummatan wasata (pilihan lagi adil) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai apa yang benar dan salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi kepada kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Menurut Abdullah lagi, kemuliaan yang dikurniakan kepada umat Muhammad SAW kerana sifat keadilan mereka berdasarkan ilmu yang benar dan maklumat jelas terhadap sesuatu isu serta kebenaran dalam beragama.

Beliau berkata, umat yang adil akan menolak kezaliman seterusnya menegak perpaduan ummah, sebaliknya umat yang zalim mewujudkan suasana tegang dan penentangan hingga membawa kepada perpecahan.

418 dibaca
Berita Harian X