Selasa, 19 September 2017 | 6:14pm
TIMBALAN Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah (empat dari kiri) bersama dif-dif kenamaan di seminar 120 Tahun Majlis Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Bahasa Arab semakin jadi pilihan untuk dalami Al-Quran, hadis

BANGI: Pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di negara ini perlu diperkukuhkan kerana bahasa itu menjadi pilihan segenap masyarakat untuk mendalami agama melalui kefahaman jitu dalam Al-Quran dan hadis.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Riza Atiq Abdullah O K Rahmat, berkata pada masa ini timbul kegelisahan dalam kalangan pendidik yang terbabit dengan pengajaran bahasa Arab berkaitan penguasaan pelajar dalam bahasa itu.

"Kita mahu tindakan konkrit dan inovatif diambil supaya aktiviti pengajaran serta pembelajaran bahasa Arab ini bukan saja lebih dinamik, bahkan mampu mencapai matlamat seperti yang digariskan.

"Tindakan ini bukan saja dapat membantu pelajar, malah membolehkan kelompok pengajar memperkembangkan profesionalisme mereka dan meningkat kualiti pengajaran bahasa Arab itu sendiri," katanya pada Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Arab 2017 di Fakulti Pengajian Islam, UKM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Dr Wan Kamal Mujani.

Sementara itu, Wan Kamil berkata, bidang pengajian Islam di fakulti itu menawarkan pengajian bertaraf dunia apabila lima pelajarnya berjaya dihantar ke Jordan.

"Malah bukan itu saja, ada juga pelajar dari Turki dan Indonesia yang turut melakukan pindahan kredit di sini dan membuktikan pengajian kita semakin pendapat perhatian pada peringkat antarabangsa," katanya.

330 dibaca
Berita Harian X