Rabu, 30 Ogos 2017 | 7:25am
PEMBESAR dan pemimpin di dunia hendaklah sentiasa bersikap merendah diri dan tidak menggunakan kuasa yang ada bagi tujuan kezaliman. - Foto hiasan

Pemimpin diingat jangan takbur, membesar diri

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Allah akan menggenggam dunia pada Hari Kiamat dan melipat langit dengan tangan kanan-Nya. kemudian Dia berfirman: Akulah Raja, di manakah raja-raja dunia?" (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah).

Abdullah bin Unais berkata: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah menghimpunkan hamba, lalu Dia menyeru mereka dengan suara yang didengari oleh sesiapa yang berada jauh sama seperti orang yang dekat mendengarnya: Akulah Raja, Akulah Pembalas." (Riwayat al-Bukhari)

Penghalang ke syurga

Pembesar dan pemimpin di dunia hendaklah sentiasa bersikap merendah diri dan tidak menggunakan kuasa yang ada bagi tujuan kezaliman kerana mereka bakal dipertanggungjawabkan terhadap semua perbuatan di dunia ini.

Ini adalah peringatan kepada golongan yang bergelar pemimpin atau ketua supaya tidak membesar diri dan takbur di hadapan manusia lain. Sikap itu akan menjadi penghalang kepada mereka untuk masuk syurga di akhirat nanti.

Pembalasan Allah SWT kepada mereka yang mengingkari perintah-Nya tidak boleh difahami secara zahir tetapi yakinlah, setiap amal akan mendapat balasan.

586 dibaca
Berita Harian X