Ahad, 27 Ogos 2017 | 7:31am

Hukum bersalam keluarga mentua

SAYA baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan ini kali pertama berhari raya dengan keluarga mentua. Boleh ustaz jelaskan dengan siapa saya boleh bersalam dalam kalangan keluarga mentua.

Perkahwinan adalah satu rahmat Allah SWT kepada umat manusia untuk mengembangkan hubungan kekeluargaan. Oleh itu, kita wajib bersyukur dengan nikmat berkenaan kerana bukan semua orang dapat merasainya.

Bagaimanapun, bukan semua ahli keluarga pasangan halal untuk kita bersalaman atau membuka aurat sesuka hati seperti yang digariskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan." (Surah al-Nur, ayat 31)

Hubungan menantu dengan bapa dan ibu mentua adalah haram selamanya di mana mereka haram dikahwini walaupun selepas pasangan bercerai. Oleh itu, bersalaman atau tidak berhijab di hadapan mereka adalah dibenarkan.

Sementara adik ipar, ibu atau bapa saudara, anak saudara pasangan adalah kalangan yang haram bertempoh iaitu diharamkan berkahwin selama mana pasangan itu masih suami isteri.

Justeru, untuk memudahkan setiap pasangan mengetahui hukum bersalaman dengan ahli keluarga mentua, kaedah paling mudah ialah mengenal pasti terlebih

dahulu status mereka sama ada haram selamanya atau haram bertempoh.

Jika mereka daripada golongan yang haram selamanya maka bersalaman dengan mereka pada hari raya dan sebagainya adalah dibenarkan. Jika tidak, maka bersalaman dengan mereka adalah diharamkan dan aurat wajib dipelihara.

Apakah hukum kita memperuntukkan kos tertentu untuk kelihatan cantik pada Aidiladha. Adakah ia termasuk dalam kategori pembaziran yang diharamkan.

Berpakaian cantik pada hari kebesaran Islam seperti Aidiladha adalah digalakkan dan termasuk dalam sunah Nabi SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang cantik-cantik setiap kali kamu mahu ke tempat ibadat (untuk menunaikan solat) dan makanlah serta minumlah tanpa berlebih lebihan." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Ayat itu jelas menunjukkan Allah SWT menggalakkan manusia kelihatan cantik ketika menunaikan ibadat.

Menurut ulama tafsir, ibadat itu merangkumi ibadat khusus atau umum termasuk ibadat pada hari raya korban. Keraian itu dalam ruang lingkup ibadat yang digalakkan umat Islam berhias mengikut kemampuan masing-masing.

Bagaimanapun, terdapat beberapa prinsip perlu dipatuhi supaya ia menjadi sebahagian daripada sunah seperti perhiasan, pakaian yang ingin diperagakan pada hari raya wajib menutupi aurat sama ada bagi lelaki atau perempuan.

Tidak berlebih-lebihan dalam berfesyen, tidak membazir berbelanja sehingga menyebabkan kepada bebanan hutang. Selain itu, sesuai dengan adat setempat dan menepati kehendak syarak.

Ada orang cakap kepada saya bahawa jiran tetangga bukan Islam tidak digalakkan untuk datang ke rumah pada hari raya korban. Adakah benar dakwaan itu.

Secara umumnya menghormati jiran tetangga salah satu tanggungjawab yang perlu diambil perhatian kerana Nabi SAW bersabda: "Sesiapa antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hormatilah jiran tetangga kamu."

Nabi SAW tidak mengkhususkan jiran yang dimaksudkan itu mesti beragama Islam sahaja tetapi ia lebih bersifat umum yang mana meliputi jiran tetangga bukan Islam juga. Walau bagaimanapun, golongan bukan Islam itu mestilah yang baik dan tidak memusuhi Islam.

Jika jiran itu daripada golongan yang memusuhi Islam, maka tiada lagi penghormatan untuk mereka berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Muhammad adalah pesuruh Allah dan mereka yang bersama dengannya bersikap tegas dengan golongan kafir (yang menentang Islam) manakala saling berkasih sayang sesama mereka (Muslim)." (Surah al-Fath, ayat 29)

Al-Qurtuby berpendapat, ayat itu menunjukkan tiada perlindungan untuk golongan bukan Islam yang menentang Islam apatah lagi yang menzalimi umat Islam dengan pelbagai kekerasan.

Disebabkan itu Islam mensyariatkan peperangan menentang golongan musyrik yang menolak Islam dan menentang Islam secara terang-terangan. Manakala golongan musyrik yang menghormati agama Islam dengan baik perlu dihormati atas kapasiti sebagai jiran tetangga.

Sehubungan itu, adalah tidak benar dakwaan golongan bukan Islam yang menziarahi rumah kita ketika hari raya tidak boleh dilayan atau diberi makan kerana mereka datang untuk berbaik-baik dan bukan mencari perbalahan.

Melayani mereka dengan akhlak yang mulia adalah sebahagian daripada dakwah Baginda SAW suatu ketika dahulu. Adalah tidak mustahil menerusi akhlak yang kita tonjolkan akan menyebabkan mereka berminat dengan Islam dan akhirnya menerima Islam sebagai agama mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ajaklah (dakwah) mereka kepada jalan Allah dengan hikmah dan peringatan yang baik dan berdebat dengan mereka menerusi cara yang mulia." (Surah al-Nahl, ayat 125)

2066 dibaca
Berita Harian X