Jumaat, 20 November 2015 | 10:23am

Padah tunggang lawan arus


KEADAAN motosikal mangsa yang remuk dalam kejadian itu.

CHUKAI: Seorang warga tua maut selepas motosikalnya yang ditunggang secara melawan arus, dirempuh sebuah kereta di Kilometer 153, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di pusat bandar ini malam tadi.

Dalam kejadian itu, jam 11.15 malam, Mohd Shafie Agil, 56, yang berasal dari Kuala Kemaman yang parah di kepala, patah kedua-dua belah kaki dan tangan meninggal di tempat kejadian.

Mangsa yang bekerja sebagai nelayan dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya ke pusat bandar ini.

Difahamkan ketika tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash dikatakan melawan arus untuk memasuki sebuah simpang di situ sebelum dirempuh sebuah Proton Exora yang datang dari arah Kuantan ke Kemaman.


KEADAAN kereta yang remuk selepas merempuh motosikal mangsa yang ditunggang secara melawan arus.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak cedera dan jenazah mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kemaman.

275 dibaca
Berita Harian X