Rabu, 18 November 2015 | 9:38pm
SEJUMLAH 3,114 jurutol berstatus pekerja tetap yang berkhidmat di 30 lebuh raya sudah diserapkan di unit-unit operasi sokongan lain berikutan pengenalan sistem kutipan tol secara elektronik. - Foto hiasan/NSTP

ETC: Tiada jurutol tetap diberhentikan

KUALA LUMPUR : Sejumlah 3,114 jurutol berstatus pekerja tetap yang berkhidmat di 30 lebuh raya sudah diserapkan di unit-unit operasi sokongan lain berikutan pengenalan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC).

Kementerian Kerja Raya, dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini, menyatakan walaupun ETC menyebabkan lorong tunai ditutup di beberapa plaza tol, pekerja tetap itu yang juga 75 peratus daripada keseluruhan 4,424 jurutol tidak diberhentikan tetapi kini ditempatkan di unit lain seperti di Pusat Khidmat Pelanggan serta unit cerapan data tol ETC.

Menurut kementerian itu, bagi 1,146 pekerja kontrak serta 164 pekerja sambilan, lantikan mereka adalah tertakluk kepada tawaran perjanjian antara pekerja-majikan mengikut Akta Pekerja 1955.

Kementerian itu turut mengulas keuntungan yang diperoleh berikutan pelaksanaan ETC, yang mana setakat ini tiada perubahan yang ketara terhadap hasil kutipan tol kerana bilangan trafik masih lagi hampir sama seperti sebelum pelaksanaan sistem ETC.

"Namun begitu penjualan SmartTAG dan kad Touch N'Go telah meningkat sepanjang kempen pelaksanaan ETC diadakan," menurut kenyataan kementerian itu bagi menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri).

Menurut kementerian itu, sehingga 30 September 2015 sebanyak 180,000 unit peranti SmartTAG dan 2.3 juta keping kad Touch N'Go dijual kepada pengguna.

- BERNAMA

61 dibaca
Berita Harian X