Isnin, 16 November 2015 | 2:21pm

Ujian air kencing pemandu bas persiaran rempuh treler

CHUKAI: Polis akan melakukan ujian darah serta air kencing terhadap pemandu bas persiaran yang merempuh belakang sebuah treler, di Kilometer 292.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Kijal, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata ujian terbabit akan dibuat sebaik sahaja pemandu berusia 41 tahun terbabit selesai menerima rawatan.

"Dalam kemalangan itu, lima parah termasuk pemandu bas dua tingkat terbabit dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan," katanya.

Kemalangan jam 2.15 pagi berlaku ketika bas persiaran yang membawa 54 pelajar dan tujuh guru pengiring dari Sekolah Menengah Islam Hira' Jeram, Kuala Selangor merempuh belakang sebuah treler yang sedang bergerak.

Semua pelajar dan guru terbabit dalam perjalanan mengadakan lawatan sambil belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Susulan rempuhan kuat itu tiga pelajar terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

68 dibaca
Berita Harian X