Khamis, 12 November 2015 | 12:03am

Produk sejuk beku pembunuh senyap jangka panjang


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan daging yang diproses meningkatkan risiko penyakit berkaitan kolon dan penyebab kanser perut.

PARIS: Budaya memberi si comel makanan daging yang diproses semakin menjadi trend di kalangan ibu bapa terutama mereka yang bekerjaya.

Sosej, bacon, nugget semua makanan sejuk beku ini ibarat sudah menjadi makanan ruji anak-anak kita.

Tidak keterlaluan jika dikatakan hampir 80 peratus rumah di negara ini menjadikan produk sejuk beku seperti sosej dan nugget sebagai stok makanan anak-anak mereka.

Tahukah anda, makanan yang disifatkan penyelamat dalam kalangan ibu bapa ini sebenarnya pembunuh secara senyap dalam tempoh jangka panjang.

Sejak sekian lama beberapa penyelidikan dilakukan di peringkat antarabangsa, tanggal 26 Oktober baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan daging yang diproses meningkatkan risiko penyakit berkaitan kolon dan penyebab kanser perut.

Agensi Antarabangsa WHO bagi Penyelidikan Kanser (IARC) di Lyon, Perancis, yang menjalankan penyelidikan hampir beberapa dekad buat pertama kali menyatakan daging yang diproses termasuk dalam kategori bahaya sama seperti merokok atau asbestos.

Penemuan terbaru agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dilihat mampu menggoncang amalan kesihatan orang awam terutama di negara Eropah di mana sosej menjadi hidangan utama dan ham salai adalah makanan istimewa.

Menurut laporan WHO juga menunjukkan kanser berkaitan perut adalah pembunuh nombor dua untuk wanita manakala nombor tiga untuk lelaki di seluruh dunia.

Sekumpulan 22 saintis dari IARC yang menilai lebih 800 kajian daripada beberapa benua mengenai daging dan kanser menunjukkan lebih 12 jenis kanser dalam populasi dengan diet yang pelbagai dalam tempoh 20 tahun lalu.

Berdasarkan analisis berkenaan, IARC mengklasifikasikan daging diproses sebagai karsinogenik kepada manusia, dengan menyatakan ia berkait rapat dengan kanser kolon.

Bagaimanapun, agensi itu berkata daging merah mengandungi beberapa nutrien penting tetapi masih dilabel sebagai karsinogenik, dengan menjurus kepada penyakit membabitkan kanser kolon, prostat dan pankreas.

Satu daripada 10 kajian menyatakan bahawa kira-kira 50 gram daging diproses diambil setiap hari oleh seorang individu akan meningkatkan risiko kanser kolorektal sebanyak 18 peratus seumur hidupnya.


HAMPIR 80 peratus rumah di negara ini menjadikan produk sejuk beku sebagai stok makanan utama.

Secara keseluruhan, risiko mendapat kanser kolorektal di Amerika Syarikat adalah kira-kira 1 dalam 20, atau lima peratus, menurut pertubuhan kanser. Berdasarkan rekod WHO, menikmati sandwich sejuk setiap hari berpotensi menghidap kanser sebanyak 6 peratus.

Pakar pemakanan sudah lama memberi amaran mengenai bahaya bahan kimia yang digunakan di dalam daging seperti nitrit dan nitrat yang menjadi punca kepada penyebab kanser.

Ia juga menyatakan memanggang atau menyalai daging boleh menjadi penyebab karsinogen.

"Bagi individu, risiko untuk mendapat kanser kolorektal masih kecil kerana pengambilan daging diproses tetapi risiko ini bertambah mengikut jumlah daging yang dimakan," kata Dr Kurt Straif daripada IARC.

"Memandangkan jumlah yang besar individu yang mengamalkan daging diproses, kesan global ke atas penyebab kanser adalah kepentingan kesihatan orang awam."


NUGGET dikatakan pembunuh secara senyap dalam tempoh jangka panjang jika tidak dikawal pengambilannya.

Agensi kanser menyatakan kajian oleh Projek Penyakit Tanggungan Global menunjukkan bahawa 34,000 kematian akibat kanser setiap tahun di seluruh dunia berkaitan dengan diet yang berat terhadap daging diproses.

Angka itu berbanding dengan 1 juta kematian setahun berkait dengan amalan merokok, 600,000 mengamalkan minuman alkohol dan 200,000 membabitkan pencemaran udara.

Sementara itu, doktor di negara kaya terutamanya sudah lama memberi kaunseling mengenai bahawa mengambil terlalu banyak daging merah atau diproses - bukan hanya kerana bahaya kanser tetapi risiko penyakit jantung membabitkan lemak dan natrium tepu.

Penyelidik WHO yang mengtakrifkan daging diproses seperti apa-apa sahaja perubahan untuk meningkatkan rasa atau mengekalkannya termasuk sosej, daging lembu dikisar atau yang disalai.

Mereka mentakrifkan daging merah termasuk daging lembu, anak lembu, babi, kambing dan kuda.

Menurut laporan itu, memanggang, menggoreng atau kaedah memasak pada suhu tinggi menghasilkan bahan kimia yang tinggi yang disyaki penyebab kanser.

'Ini adalah langkah yang penting dalam membantu individu membuat pilihan pemakanan yang sihat untuk mengurangkan risiko kanser kolorektal khususnya," kata Susan Gapstur daripada Persatuan Kanser Amerika, yang mengesyorkan had pengambilan daging merah atau daging diproses sejak tahun 2002 dan mencadangkan memilih ikan atau ayam atau daging merah yang dimasak pada suhu rendah.

Institut Daging Amerika Utara menyangkal dakwaan itu dan berkata dalam satu kenyataan bahawa kanser adalah penyakit kompleks yang tidak disebabkan oleh makanan tunggal.

Pakar bebas menegaskan bahawa penemuan WHO ini perlu diteliti dengan perspektif yang khusus.

"Tiga batang rokok meningkatkan risiko kanser paru-paru enam kali ganda atau 500 peratus, berbanding 18 peratus mengambil beberapa keping bologna sehari," kata Gunter Kuhnle, seorang saintis pemakanan di Universiti Reading. - AGENSI

Berita Harian X