Sabtu, 7 November 2015 | 12:47am

Wartawan BH, NST menang anugerah kewartawanan DBKK


JURUGAMBAR NSTP Sabah, Malai Rosmah Tuah (kanan); wartawan Berita Harian, Mohd Izham Unnip Abdullah (kiri); wartawan sambilan Harian Metro, Erdiehazzuan Ab Wahid (dua dari kiri) dan Roy Goh diwakili, Avila Geraldine (dua kanan) bersama anugerah masing-masing yang dimenangi pada malam Anugerah Kewartawanan Mayor 2015, DBKK di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Wartawan BH, Thaddius Unnip @ Mohd Izham Unnip Abdullah menggondol tempat pertama Anugerah Terbaik Bahasa Malaysia bagi kategori penulisan berita, Anugerah Kewartawanan Mayor, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini, malam tadi.

Kejayaan menerusi artikel bertajuk 'Kudrat nelayan kekalkan kejuaraan, Masuk dalam kalender pelancongan' berkaitan Lumba Perahu Naga Sabah pada tahun lalu membolehkan Mohd Izham membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan sijil.

Mohd Izham turut mendapat tempat kedua Anugerah Penulisan Terbaik Bahasa Malaysia bagi kategori penulisan rencana menerusi artikel bertajuk 'Asal sebutan Mangga Gatal, Pekan Menggatal kian berkembang' dengan membawa pulang wang tunai RM700, piala dan sijil.

Turut memenangi hadiah ialah Ketua Biro New Straits Times Sabah, Roy Anthony Goh yang menggondol tempat pertama Anugerah Penulisan Terbaik Bahasa Inggeris bagi kategori rencana dan turut membawa pulang wang tunai RM1,000, bersama piala dan sijil.

Sementara itu, jurugambar NSTP, Malai Rosmah Tuah memenangi tempat kedua dan ketiga Anugerah Fotografi Terbaik, masing-masing menerusi gambar 'Iktiraf sekolah tanpa sampah' dan 'Program pembersihan pantai Tanjung Aru' yang disiarkan Harian Metro pada tahun lalu dan 2013.

Wartawan sambilan Harian Metro, Erdiehazzuan Ab Wahid, pula memenangi tiga anugerah, masing-masing tempat kedua dan ketiga laporan akhbar Anugerah Penulisan Terbaik Bahasa Malaysia serta tempat ketiga kategori rencana Anugerah Penulisan Terbaik Bahasa Malaysia.

Hadiah disampaikan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir.

28 dibaca
Berita Harian X